Khamis, Oktober 19, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau

Salam pagi Khamis 28 Muharram. Setelah beberapa lama baru kita masuk pada cerita hari ketiga perjalanan di mana berlakunya panjat gunung. Bersambung daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Naik ke Cameron Highlands.


Awal pagi Sabtu 7 Oktober 2017. Selepas bermalam kemudian menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid jamek Tanah Rata kami bersedia untuk menyambung perjalanan.

Selesai mandi dan mengemas barang kami menghidupkan motosikal masing-masing jam 7.12. Kami bercadang untuk menunggang hingga ke puncak Gunung Brinchang kemudian melihat kawasan hutan berlumut terkenal yang dipanggil sebagai Mossy Forest. Selepas itu kalau rasa larat dan ada kesempatan kami mahu mendaki sampai ke puncak Gunung Irau, gunung tertinggi di Cameron Highlands juga di Banjaran Titiwangsa belah negeri Pahang.


Apa-apapun kena isi perut dahulu. Kali ini saya boleh makan bersama kerana sudah tamat tempoh berpuasa putih 13, 14, 15 Muharram.


Keadaan awal pagi di sekitar pekan.


Jam 8 kami bersedia untuk meninggalkan Tanah Rata.


Sampai di pekan Brinchang 5 km ke utara kami singgah di masjid jamek sana untuk membuang air dan apa-apa yang perlu. Kalau dah masuk atas gunung nanti tiada lagi kemudahan...


Dari Brinchang kami bergerak 4 km ke simpang masuk jalan gunung kemudian terus lagi 7 km melepasi beberapa bahagian curam sampai ke puncak Gunung Brinchang. Alhamdulillah kali ini motosikal besar kesayangan yang sudah berumur 20 tahun dapat mengharungi perjalanan tanpa perlu berhenti akibat semput atau/dan enjin panas seperti pernah berlaku dalam lawatan-lawatan terdahulu. Rujuk artikel lama Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak.


Kami mengambil masa meninjau persekitaran puncak dan pemandangan. Kawan-kawan yang ikut sama begitu seronok kerana baru pertama kali sampai. Lihat artikel Bringing friends to Gunung Brinchang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas lebih sejam melepak dan berlegar-legar di puncak Gunung Brinchang kami turun sedikit ke satu kawasan hutan berlumut yang dipanggil sebagai Mossy Forest.


Selepas mengatur barang-barang yang perlu ditinggalkan bersama motosikal kami melangkah masuk hutan tepat jam 11.


Tanpa persediaan sepatutnya yang menjadi kebiasaan bagi orang memanjat gunung kami menapak terus melepasi kawasan selamat umum yang dilingkungi definisi rasmi Mossy Forest. Dengan niat mencuba yang baru terbit 2 malam sebelumnya, itupun asalnya masih was-was nak ke tidak kerana dibuat secara spontan dalam rangka kerja besar perjalanan jauh bermotosikal besar, kami mahu mencapai puncak Gunung Irau. Ketinggian hampir 7,000 kaki menjadikan ia gunung kedua tertinggi di negeri Pahang iaitu selepas Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia Barat. Ia juga adalah gunung ke-9 tertinggi di Semenanjung dan ke-15 di seluruh Malaysia. 

Dipendekkan cerita saya berjaya mencapai matlamat setelah 4 jam 35 minit berhempas pulas turun naik gunung melalui denai yang licin berlumpur sehingga boleh tenggelam ke paras lutut. Seorang kawan yang 5 tahun lebih muda dan lebih cergas sampai sekitar 2-3 minit lebih awal,seorang lagi yang sama umur dengannya terpaksa berpatah balik selepas mencapai lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak kerana masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulin. Sepanjang pendakian juga kembali saya memakai tanjak seperti yang kelihatan. Di atas puncak baru ambik kesempatan memakai sampin dengan bengkung berisi selempang merah yang muncul kepada saya secara ghaib ketika awal pencarian salasilah keluarga lebih 15 tahun lalu berserta sebilah keris Bugis berlok 7, sebilah rencong Aceh dan sebilah keris kecil sejengkal 5 lok...

Cerita lebih lanjut tentang cabaran yang dialami insyaallah akan dikongsikan dalam artikel akan datang. Buat masa ini butiran perjalanan dan pendakian boleh diikuti melalui artikel-artikel berbahasa Inggeris berikut :-








Isnin, Oktober 16, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Naik ke Cameron Highlands

OK. Masuk pada cerita hari kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik.


Pagi Jumaat 6 Oktober 2017. Setelah puas bermalam di Janda Baik kami mengorak langkah meninggalkan rumah Pak Habib menuju ke arah Raub.


Sampai di Bentong berhenti sebentar mengisi minyak.


Sampai di Raub terus mengambil jalan ke Sungai Koyan lalu singgah di rumah almarhum Nenek iaitu ibu kepada ayah yang saya yang diduduki seorang ibu saudara.


Ke hadapan sedikit ziarah makam Nenek...


Perjalanan diteruskan lagi 40 km ke Sungai Koyan kemudian ke hadapan sedikit ke Kuala Medang untuk melepak atas jambatan menyeberangi Sungai Jelai...





Selepas itu baru berpatah balik sekitar 7-8 km untuk mengambil jalan naik ke Cameron Highlands. Ketika gambar ini diambil jam menunjukkan 12.48 tengah hari.


Masih ada dalam 20 minit sebelum masuk waktu Zohor ditambah lagi 20-30 minit sebelum solat Jumaat. Kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan. Kalau sempat solat Jumaat di mana-mana kami buat, Kalau tak sempat pun tidak menjadi kewajiban kerana kami sedang bermusafir jauh...


Sampai di satu bahagian selepas memasuki daerah Cameron Highlands berhenti sebentar untuk melihat pemandangan. Lihat artikel A stop up Cameron Highlands from Sungai Koyan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Ketika itu sudah jam 1.34 petang.



Ke hadapan lagi dalam beberapa kilometer ada bahagian jalan yang seperti sudah runtuh. Rupa-rupanya sudah ada empangan. Lihat The new dam close to Lembah Bertam.



Selepas jam 2 kami menghampiri pekan Lembah Bertam.





Perjalanan diteruskan melepasi pekan Ringlet dan Habu. Pertengahan jalan ke Tanah Rata baru berhenti untuk makan tengah hari di satu tempat bunga dan strawberi...





Seterusnya kami berhenti di ladang teh Cameron Valley untuk menikmati hidangan teh berlatarbelakangkan pemandangan cantik ladang.


Tetapi cuma kawan-kawan yang makan minum. Saya cuma boleh melihat sahaja kerana belum habis puasa putih 13, 14, 15 Muharram.


Sampai di Tanah Rata kami menuju ke masjid pekan...


Kami membuat keputusan untuk bermalam di masjid. Alhamdulillah pihak jawatankuasa masjid membenarkan.


Selepas mandi dan menukar pakaian kami berjalan kaki kembali ke pekan...





Masuk waktu Maghrib barulah saya juga dapat makan. Dengan itu tamat juga puasa sunat saya pertengahan bulan Islam selama 3 hari  berturut-turut.


Menariknya kembali ke masjid ada majlis tahlil khas diadakan dengan kehadiran wakil-wakil daripada jabatan agama dan istana Pahang. Dapat pula cenderahati tak disangka daripada istana...