Salam pagi Khamis 28 Muharram. Setelah beberapa lama baru kita masuk pada cerita hari ketiga perjalanan di mana berlakunya panjat gunung. Bersambung daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Naik ke Cameron Highlands.
Awal pagi Sabtu 7 Oktober 2017. Selepas bermalam kemudian menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid jamek Tanah Rata kami bersedia untuk menyambung perjalanan.
Selesai mandi dan mengemas barang kami menghidupkan motosikal masing-masing jam 7.12. Kami bercadang untuk menunggang hingga ke puncak Gunung Brinchang kemudian melihat kawasan hutan berlumut terkenal yang dipanggil sebagai Mossy Forest. Selepas itu kalau rasa larat dan ada kesempatan kami mahu mendaki sampai ke puncak Gunung Irau, gunung tertinggi di Cameron Highlands juga di Banjaran Titiwangsa belah negeri Pahang.
Apa-apapun kena isi perut dahulu. Kali ini saya boleh makan bersama kerana sudah tamat tempoh berpuasa putih 13, 14, 15 Muharram.
Keadaan awal pagi di sekitar pekan.
Jam 8 kami bersedia untuk meninggalkan Tanah Rata.
Sampai di pekan Brinchang 5 km ke utara kami singgah di masjid jamek sana untuk membuang air dan apa-apa yang perlu. Kalau dah masuk atas gunung nanti tiada lagi kemudahan...
Dari Brinchang kami bergerak 4 km ke simpang masuk jalan gunung kemudian terus lagi 7 km melepasi beberapa bahagian curam sampai ke puncak Gunung Brinchang. Alhamdulillah kali ini motosikal besar kesayangan yang sudah berumur 20 tahun dapat mengharungi perjalanan tanpa perlu berhenti akibat semput atau/dan enjin panas seperti pernah berlaku dalam lawatan-lawatan terdahulu. Rujuk artikel lama Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak.
Kami mengambil masa meninjau persekitaran puncak dan pemandangan. Kawan-kawan yang ikut sama begitu seronok kerana baru pertama kali sampai. Lihat artikel Bringing friends to Gunung Brinchang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selepas lebih sejam melepak dan berlegar-legar di puncak Gunung Brinchang kami turun sedikit ke satu kawasan hutan berlumut yang dipanggil sebagai Mossy Forest.
Selepas mengatur barang-barang yang perlu ditinggalkan bersama motosikal kami melangkah masuk hutan tepat jam 11.
Tanpa persediaan sepatutnya yang menjadi kebiasaan bagi orang memanjat gunung kami menapak terus melepasi kawasan selamat umum yang dilingkungi definisi rasmi Mossy Forest. Dengan niat mencuba yang baru terbit 2 malam sebelumnya, itupun asalnya masih was-was nak ke tidak kerana dibuat secara spontan dalam rangka kerja besar perjalanan jauh bermotosikal besar, kami mahu mencapai puncak Gunung Irau. Ketinggian hampir 7,000 kaki menjadikan ia gunung kedua tertinggi di negeri Pahang iaitu selepas Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia Barat. Ia juga adalah gunung ke-9 tertinggi di Semenanjung dan ke-15 di seluruh Malaysia.
Dipendekkan cerita saya berjaya mencapai matlamat setelah 4 jam 35 minit berhempas pulas turun naik gunung melalui denai yang licin berlumpur sehingga boleh tenggelam ke paras lutut. Seorang kawan yang 5 tahun lebih muda dan lebih cergas sampai sekitar 2-3 minit lebih awal,seorang lagi yang sama umur dengannya terpaksa berpatah balik selepas mencapai lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak kerana masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulin. Sepanjang pendakian juga kembali saya memakai tanjak seperti yang kelihatan. Di atas puncak baru ambik kesempatan memakai sampin dengan bengkung berisi selempang merah yang muncul kepada saya secara ghaib ketika awal pencarian salasilah keluarga lebih 15 tahun lalu berserta sebilah keris Bugis berlok 7, sebilah rencong Aceh dan sebilah keris kecil sejengkal 5 lok...
Cerita lebih lanjut tentang cabaran yang dialami insyaallah akan dikongsikan dalam artikel akan datang. Buat masa ini butiran perjalanan dan pendakian boleh diikuti melalui artikel-artikel berbahasa Inggeris berikut :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan