Salam pagi Jumaat 13 Oktober 2017, Friday the 13th. Merujuk pada artikel Daripada hal panjat gunung mengimbau pula zaman pentadbiran Tun M membawa ke zaman Najib - Ke manakah hala tuju kita? yang dipersembahkan 3 hari lalu. Pada mukadimah artikel tersebut ada dinyatakan bahawa ketika itu saya baru 2 hari kembali daripada satu perjalanan bermotosikal besar meliputi beberapa tempat termasuk kawasan peranginan tanah tinggi Cameron Highlands. Hari ini biar dimulakan cerita tentang perjalanan itu...
Rabu malam Khamis 4 Oktober 2017. Saya mendapat panggilan telefon daripada seorang kawan yang sudah agak lama tidak ditemui. Beliau mengajak saya keluar mengembara dengan motosikal besar. Katanya seorang kawan yang menetap di Johor Bahru sudah lama menyimpan hajat untuk mengembara menaiki motosikal bersama saya kerana pernah mendengar cerita-cerita tentang pengembaraan saya termasuk bersama kawan lama tersebut.
Masalahnya perjalananan mahu dibuat bernula esoknya hari Khamis meliputi 3 hari 2 malam sedangkan saya sebenarya kurang sihat. Bajet pun tiada, motosikal pula dah lama tak servis. Kali terakhir saya membawa motosikal kesayangan berjalan jauh adalah ke Kota Bahru, Kelantan untuk mengatur satu acara anjuran saya awal tahun 2013. Lihat artikel lama Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km.
Saya pun mencadangkan laluan terbaik yang boleh diliputi dengan puas hati dalam tempoh cadangan 3 hari 2 malam. Oleh kerana mereka mahu singgah di Janda Baik, Pahang saya cadangkan agar selepas itu pergi ke Raub bermalam di sana. Esoknya naik Cameron Highlands melalui Sungai Koyan kemudian bermalam pula di sana. Hari seterusnya turun melalui jalan ke Simpang Pulai. Bolehlah singgah Ipoh sebelum mengorak langkah menghala ke selatan kembali ke rumah.
Kata saya pergilah berdua, saya tak dapat ikut sama. Insyaallah lain kali bila dah ada bajet dan motosikal dalam keadaan lebih baik saya akan turut mengembara. Lagipun saya sedang melakukan puasa putih tengah bulan Islam 13, 14, 15 Muharam bersamaan 4-6 Oktober Rabu hingga Jumaat. Tetapi beliau tetap mahukan saya bersama juga. Kawan ini sanggup menanggung segala belanja perjalanan termasuk untuk servis motosikal. Setelah memikirkan perkara dalam-dalam juga bertanya pendapat isteri saya pun bersetuju.
Pagi Khamis 5 Oktober keluarlah saya daripada rumah memulakan perjalanan menghala ke Kuala Lumpur daripada rumah di Sungai Buaya, Rawang. Sementara itu kawan dari Johor Bahru juga bergerak menuju ke rumah kawan lama dekat sempadan Selangor-Negeri Sembilan.
Sampai ke simpang Sungai Choh saya mengambil satu lorong kampung. Saya hendak meninjau satu kawasan yang sebelum itu cuma pernah dilihat dalam peta. Walhal saya selalu melepasi simpang apabila ke Rawang atau kembali ke rumah.
Motosikal dibawa sampai ke jalan pintas Serendah-Rawang. Setahu saya ia sudah siap dibina sepenuhnya tapi masih belum dibuka kepada awam.
Seterusnya saya ke sebuah bengkel motosikal besar di selatan bandar Rawang. Servis motosikal setelah 2 tahun tidak berbuat begitu kalau tak salah ingatan. Untuk makluman motosikal Yamaha Virago 535 cc ini adalah model tahun 1996. Saya membeli baru pada tahun 1997. Ini bermakna saya telah memakainya selama 20 tahun.
Selesai servis saya bergerak ke pinggir bandar raya KL kemudian masuk ke Lebuh Raya Karak menuju ke negeri Pahang. Sampai di Genting Sempah berhenti sebentar di tepi jalan untuk mengambil gambar...
Adapun jam pada kamera saya menunjukkan gambar tadi diambil pada11.55 pagi. Dari Genting Sempah saya masuk ke jalan lama KL-Pahang menuju ke Janda Baik.
Di sanalah saya akan bertemu dengan dua orang kawan sebelum meneruskan perjalanan. Saya sampai lebih awal supaya dapat menghabiskan sedikit masa di rumah rehat ayah angkat saya, penulis buku terkenal S.H. Alattas @ Pak Habib Syed Hussein al-Attas. Kebetulan beliau ada di rumah lalu kami berbual panjang. Di celah-celah itu saya meletakkan gambar yang diambil jam 11.55 pagi di Facebook berserta teks ringkas berbunyi "Lama tak keluar riding. Layan....".
Sekitar jam 3 petang saya menaikkan gambar sama di FB, kali ini berserta teks menyatakan ia diambil di Genting Sempah 3 jam lalu. Turut dinyatakan kali terakhir saya berjalan jauh adalah ke Kota Bahru awal 2013 lalu ditambah satu persoalan teka-teki - Agak-agak dah sampai mana saya ketika itu. Geli hati saya membaca maklum balas yang timbul kemudian, Ada yang kata saya dah sampai ke Kuala Lipis, ada kata sampai Kuantan. Yang kata dah sampai Kelantan pun ada. Walhal ketika itu saya masih berada di Janda Baik.
Gambar atas diambil di kandang kambing milik seorang kawan di sana jam 6 petang,
Adapun kawan-kawan yang mahu mengembara sama dalam perjalanan ini sampai ke rumah Pak Habib sekitar jam 4 petang. Selepas berbual beberapa lama dengan Pak Habib kami berjalan-jalan di Janda Baik termasuk ke rumah kawan pemilik kandang kambing. Kawan tersebut menjadi penyebab utama mereka terasa mesti singgah ke kawasan tanah tinggi rezab orang Melayu itu. Dahulu kami selalu bertemu dalam majlis zikir yang diadakan setiap malam Jumaat di satu kawasan ekslusif di pinggir KL...
Kami juga singgah di sebuah rumah lama milik seorang kerabat diraja terdekat Perak yang dialihkan dari Gunung Semanggol, Perak ke Janda Baik. Ikut rancangan asal selepas puas berjalan-jalan di Janda Baik kami mahu menuju ke Raub.
Tetapi Pak Habib pula mengajak kami bermalam supaya dapat mengikut satu majlis zikir yang akan diadakan selepas Maghrib. Kebetulan saya ada membawa sampin, tanjak dan keris lalu memakainya untuk majlis.
Alhamdulillah malam itu malam Jumaat kami mengambil berkat daripada majlis yang terdiri daripada sesi khatam Quran diikuti bacaan Ratib al-Attas. Selepas itu ada bacaan doa khas untuk kedua ibu bapa. Katanya ia biasa dipraktikkan di Hadramaut, Yaman. Ternyata ini adalah permulaan yang baik bagi perjalanan jauh bermotosikal besar pertama saya sejak awal 2013, pengembaraan yang muncul secara tiba-tiba tanpa dijangka demi memenuhi permintaan seorang kawan lama...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan