Khamis, September 21, 2017

Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Cabaran dan kekangan terhadap institusi

Artikel terakhir tentang seminar. Masuk sesi pembentangan petang. Bersambung daripada artikel Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Sumbangan raja-raja dalam sosio-politik negara dan undang-undang berkenaan.


Jam 2.43 petang. Setelah makan tengah hari dan menunaikan solat saya kembali masuk ke bilik seminar.


Pembentang pertama sesi merangkap pembentang keempat keseluruhan, Profesor Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob baru hendak memulakan perkongsian. Beliau yang diisytiharkan dalam atur cara sebagai pemegang jawatan Head of Administration Council of Islamic University Malaysia (UIM) iaitu kepala jawatankuasa pentadbiran Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya membawa tajuk "Institusi Raja di Tanah Melayu".


Tajuk ini bertujuan untuk menjelaskan secara ringkas kedudukan raja sebagai ketua pemerintah daripada sudut pandangan Islam juga sejarah peradaban manusia. Bercakap tanpa bantuan slaid beliau membuka cerita tentang kepentingan dan keabsahan institusi raja-raja dengan membaca ayat Surah al-Mulk berkenaan yang mana al-Mulk itu sendiri bermaksud kerajaan.


Monir juga menerangkan daripada sudut kepakaran beliau dalam sejarah undang-undang Islam bagaimana penjajah British dengan liciknya dapat mengambil alih kekuasaan daripada raja-raja Melayu. Hal ini diterangkan dengan lebih jelas oleh pembentang seterusnya Profesor Madya Dr. Mohd bin Samsudin, pengarah Muzium Warisan Akademik, UKM. 


Beliau yang juga ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) memberikan tulang belakang cerita menggunakan slaid. Diceritakan bahawa kedatangan British ke Tanah Melayu memiliki motif untuk memenangkan kepentingan mereka sahaja sebenarnya... walaupun secara zahir ia kelihatan muluk berniat baik mahu menolong orang Melayu.





Menyedari perkembangan zaman di mana kuasa-kuasa Barat telah berjaya menancap pengaruh dan kekuatan di merata dunia termasuk berdekatan di Aceh, raja-raja Melayu terpaksa menggunakan strategi tertentu bagi melindungi kepentingan orang Melayu secara amnya dan raja-raja secara khususnya. Itu yang boleh muncul perkara-perkara seperti dalam Perjanjian Pangkor 1874 di mana penasihat British ditempatkan dalam istana tetapi ditegaskan mereka tidak boleh campur tangan dalam hal adat Melayu dan agama Islam...


Diceritakanlah evolusi perkara dan keadaan yang membawa pada pembentukan Malaysia dan undang-undang berkenaan...











Disebut hakikat sebenar raja-raja Melayu dipaksa dan diugut untuk menandatangani perjanjian Malayan Union. Tetapi ramai tidak sedar hakikat ini lalu raja-raja dikatakan cepat mengalah... kena tunggu pihak tertentu (baca : puak politik suara keramat rakyat konon) untuk menyelamatkan keadaan lalu merekalah yang berjasa besar terhadap agama, bangsa dan negara...








Kesimpulannya raja-raja Melayu sering diuji. Rakyat harus faham mereka memainkan peranan besar untuk menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Tetapi hal ini sering disembunyikan daripada umum oleh mereka yang berkepentingan.


Pembentang terakhir  Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya (UM) memanjangkan lagi hal tipu licik British dalam meraih kuasa sambil menghadkan penglibatan raja-raja. Membawa tajuk "Institusi Raja Melayu dalam Lipatan Sejarah Malaysia: Penerusan dan Perubahan" beliau mengangkat kembali persoalan apakah Tanah Melayu ini pernah dijajah British atau ia sekadar dilindungi mahupun dinaungi?


Daripada segi bahasa yang tersurat dalam perjanjian kita tidak dijajah. Tetapi hakikatnya bagaimana? Bila residen British diletakkan di Tanah Melayu sebagai penasihat bermula di Perak tetapi nasihat HARUS DIPINTA DAN DIIKUTI itu apa maknanya? Bila British boleh menurunkan raja yang tidak sesuai dengan kehendak mereka lalu menaikkan siapa yang mereka suka apakah kita betul-betul berdaulat untuk menentukan hala tuju sendiri? Bermacam-macam contoh diberikan Abdullah untuk menunjukkan kita sebenarnya dijajah walaupun tidak disebut begitu dalam dokumen-dokumen rasmi. Dan lagi bila Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman membawa rombongan ke London untuk menuntut KEMERDEKAAN. Jelas disebut yang dituntut itu KEMERDEKAAN. Kalau bukan dijajah kenapa pula KEMERDEKAAN mesti dituntut?



Oh lupa nak cakap. Menjadi moderator sesi petang (duduk di tengah dalam gambar) adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia iaitu Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad. Kalau ikut atur cara awal yang saya terima seminggu lalu moderator adalah Pengarah Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA) Profesor Supyan Hussin. Syed Danial memberikan sudut pandang beliau sebagai orang yang rapat dengan Majlis Raja-raja Melayu sebelum membuka sesi soal jawab. Muncul seorang hadirin bercakap panjang lebar menyatakan pendirian bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British tetapi saya lihat ia lebih bersifat emosi berbanding faktual. 

Dua hadirin lain yang bersuara dalam sesi termasuk saya menyokong  hakikat kita pernah dijajah malah daripada segi pemikiran kita masih dijajah sehingga kini. Persoalannya bagaimanakah Majlis Raja-raja hendak menangani hal tersebut? Nama sahaja kita negara Islam, perlembagaan mengangkat itu dan keistimewaan kita sebagai bangsa Melayu Tetapi hendak memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan Rang Undang Undang (RUU) 355 pun masih tak dapat dikehadapankan. Sebaliknya RUU 164 yang memberi ruang untuk orang Melayu murtad pula berjaya diangkat di parlimen.



Persoalan yang dikemukakan ditinggalkan tergantung apabila Syed Danial menyebut kuasa raja-raja ada hadnya. Maka teruslah kita pada resolusi yang diumumkan pada penghujung seminar...

















Bergambar bersama saudara Nurman dari PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) selepas majlis tamat. Saya adalah antara dua orang yang datang berbusana penuh tradisional Melayu...


Bergmbar ketika minum petang. Banyak perkara dibualkan. Sementara itu hujan sedang lebat di luar.


Jam 6.15 isteri menegur mengajak saya pulang. Anak-anak yang ditinggalkan di rumah asuhan perlu diambil sedangkan kami harus mengharungi hampir 80 km perjalanan, dalam keadaan lalu lints sesak orang balik bekerja ditambah hujan lebat. Kalau tidak kerana itu tak mustahil perbualan diteruskan sampai Isyak. Cukuplah cerita dan perkongsian terakhir saya untuk tahun 1438 Hijriah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan