Rabu, Mei 03, 2017

Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Selepas perarakan ke tengah malam

Pergi ke aktiviti selepas perarakan. Bersambung daripada artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad.


Selesai komponen acara di Tangga Kenari kami kembali ke Teratak Ayahanda. Saya adalah antara orang yang lambat kembali kerana mengambil masa untuk menikmati kenyamanan udara di kawasan perkelahan Titi Hayun. Sampai ke teratak kelihatan persembahan silat sedang diadakan.


Ketika itu sudah hampir jam 12 tengah hari. Kalau ikut jadual asal semua hadirin sudah berkumpul kembali di sini setengah jam lebih awal...











Selesai persembahan silat diadakan majlis menyampaikan sandang kehormat. Ini dimulakan dengan pengasas/pencetus Maulid Agung Bani Jawi & Haul Syeikh Abdullah Ahmad Al-Qumairi merangkap pemilik tempat, Dato' Hashim Ismail @ Ayah Hashim menyarungkan sandang tertinggi kepada tetamu kehormat dan perasmi majlis, YAM Syed Idrus bin Syed Bahrom Al Haj, Yang Di Pertua Majlis Kerabat Di Raja Kedah Darulaman.


Syed Idrus kemudian menyampaikan sandang kehormat kepada sejumlah ulamak dan pimpinan masyarakat/NGO.


Sandang-sandang diberikan menurut kategori seperti berikut :- 

Pusaka Wali Agama
Pusaka Wali Panglima
Khalifah Muda

Saya turut menerima sehelai...


Para penerima sandang bergambar bersama.


Selepas itu diadakan Tausiyah bertajuk "Sejarah Syeikh Abdullah Al Qumairi dan Peranan Sufi" oleh YM al Fadhil Abuya Aswad Al Kubra, seorang ulamak muda berwibawa. pengasas Madrasah Ahbabul Mustafa di Tumpat, penasihat agama kepada Sultan Kelantan (yang esoknya dijadualkan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15).


Sebetulnya majlis penyerahan sandang juga Tausiyah oleh Sheikh Aswad asalnya mahu dilakukan di Tangga Kenari iaitu selepas perarakan. Tapi biasa le. Pengalaman saya sendiri sudah menganjurkan 20 acara HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh menunjukkan seringkali muncul keadaan tak dijangka yang menyebabkan kita harus merombak sedikit jadual asal.


Jam 1 petang kami berehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Ini adalah setengah jam lewat daripada yang dijadualkan.


Kalau ikut jadual yang dimuktamadkan sehari dua sebelum itu, majlis harus disambung kembali jam 1.50 petang dengan perkongsian ilmu bertajuk  "Aku Melayu, Kalian Melayu, Siapa Melayu?" oleh saya sebagai seorang peneraju gerakan kebangkitan Melayu dan Islam terutama atas nama HIKMAH. Ini diikuti ceramah perdana bertajuk "Amal Makruf, Nahi Mungkar dan Isu Semasa Ummat Islam Di Malaysia" oleh al-Fadhil Ustaz Masridzi bin Sat daripada PERKID (Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia) jam 3.15. Seterusnya harus adaTausiyah bertajuk "Cinta Rasul dan Ahlul Bayt Senjata Kekuatan Ummah" oleh al Fadhil Syeikh Habib bin Abbas Al Hussaini, mursyid Halaqah Zikir di Daghestan, dekat Russia sana. 


Sebaliknya rehat dipanjangkan sehingga jam 3, baru saya dan Masridzi mengambil tempat di hadapan hadirin. Gambar ini diambil selepas saya selesai bercakap. Kelihatan Masridzi yang biasa berhadapan dengan remaja Melayu Islam bermasalah sedang berkongsi pengalaman.


Syeikh Habib pula tidak dapat muncul langsung lalu tempat beliau digantikan oleh Dr Yusri Mohammad, Yang Dipertua YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia). Baru teringat, sebelum itu iaitu sebelum perasmian majlis (rujuk balik artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad) Yusri telah memberikan kata-kata aluan.



Malah mengikut jadual asal beliau adalah perasmi majlis. Tetapi ini telah digantikan oleh Syed Idrus yang asalnya dijadualkan memasyhurkan perhimpunan di Tangga Kenari selain menyampaikan sandang. Ini adalah satu gambar yang dikongsikan seorang kenalan. Petang selepas jam 5 ada aktiviti bebas termasuk memanah dan menunggang kuda.


Ini pula keadaan selepas solat Isyak.


Ada bacaan Maulid, Qasidhah dan Tausiyah oleh beberapa orang ulamak...











Kehadiran waktu malam kelihatan lebih ramai berbanding pada waktu siang...





Malam itu juga sudah masuk 27 Rejab iaitu malam Isra' dan Mikhraj lalu ia disambut sekali...


Selepas mengambil beberapa gambar saya diajak mengambil tempat di hadapan lalu mengikuti majlis sehingga tengah malam...






Tiada ulasan:

Catat Ulasan