Rabu, Januari 18, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka : Pembukaan malam Jumaat

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya kini berada pada penghujung pengembaraan pertama saya untuk tahun 2017. Pengembaraan itu telah membawa saya untuk menginap 2 malam di Patani, 1 malam di Songkhla atau nama asalnya dalam bahasa Melayu, Singgora juga 1 malam di Hatyai. Walaupun sudah kembali masuk ke Malaysia petang semalam saya masih berada di luar kawasan. Ada tempat-tempat yang mahu disinggahi sebelum kembali ke rumah. Apabila kembali ke rumah pula saya dijangka cuma dapat berehat beberapa hari sahaja sebelum dijadualkan berlepas ke luar negara untuk satu pengembaraan lain. Jadi sementara ada kelapangan dan peluang, juga WiFi yang boleh ditumpang untuk membuat penulisan biarlah dimulakan perkongsian cerita pengembaraan pembukaan tahun 2017 ini...


Khamis malam Jumaat 12 Januari 2017 pengembaraan dimulakan dengan saya membawa kereta ditemani isteri dan anak-anak keluar dari rumah menuju ke Batu Caves.


Di sana ada dua orang kawan perempuan saya dan isteri menunggu untuk pergi bersama dalam pengembaraan ini. Saya pun menaiki kereta kawan yang kami panggil sebagai Kak Nora. Untuk makluman beliau adalah pemilik tempat acara terakhir HIKMAH untuk tahun 2016 diadakan sebulan lalu. Lihat artikel Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Kak Nora yang merupakan seorang wanita gigih yang lasak pun memandu ke arah destinasi. Isteri tidak dapat ikut kerana kekangan kerja juga kerana anak-anak bersekolah.



Ke manakah destinasi kami itu? Perenggan pembukaan artikel ini di mana disebut saya telah menginap 2 malam di Patani, 1 malam di Songkhla dan 1 malam di Hatyai harus dapat memberikan gambaran arah tujuan.


Tapi itu adalah untuk saya. Kawan perempuan berdua itu cuma ikut sampai ke Patani sahaja.



Kami mahu menghadiri satu acara yang tema dan isinya akan diterangkan dalam artikel lain nanti. Biar tajuk siri ini iaitu "Misi jejak Aceh-Langkasuka" memberikan gambaran (atau teka teki?) buat masa ini.


Untuk masuk ke Patani kami harus sampai ke Kelantan dahulu. Google Map secara automatik mencadangkan agar kami mengambil laluan Gua Musang-Dabong-Jeli.


Seingat saya kali terakhir mengambil laluan ini adalah ketika berjalan pusing Pantai Timur bersama isteri dan seorang anak kami penghujung tahun 2010. Lihat artikel lama Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Pusing-pusing di Gua Musang sebelum ke Dabong


Sampai di satu bahagian yang menyeberangi sebuah sungai yang besar, sungai yang membentuk Sungai Kelantan tengok-tengok jambatannya dah roboh. Kena lalu jambatan sementara kepingan besi yang menuju ke bawah menghampiri permukaan sungai...


Saya cuba mengambil gambar sungai dari tengah jambatan kepingan besi tapi tak nampak. Rupa-rupanya jambatan konkrit telah roboh akibat banjir besar yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur tahun 2014.


Tu dia. Dah lama sungguh tak lalu jalan ini sampai tak sedar jambatan dah 2 tahun gitu roboh. Apapun kami sampai ke destinasi yang mahu dituju malam itu selepas jam 2 pagi.


Saya cuba mengambil gambar sesuatu yang menarik di latar belakang sana tapi tak nampak dalam gambar. Sedangkan ketika itu sebenarnya bulan penuh dan kami semua dapat melihat apa yang menarik itu dengan mata kasar. Begitu juga kami dapat melihat sungai semasa menyeberangi jambatan besi tadi.


Selain perkara yang menarik itu di sini ada chalet di kaki gunung. Tapi ia sedang ditutup...


Kami pun mencari satu tempat tidur berdekatan di mana masih boleh dilihat perkara menarik yang dimaksudkan di sekitar. Tapi tu le, walaupun boleh nampak dengan mata kasar kamera tidak dapat menangkap kerana tidak cukup cahaya. Untuk artikel seterusnya baru boleh dijelaskan apakah perkara menarik itu ya... 



1 ulasan:

  1. Patani negeri kesayanganku...auranya amat menenangkan diri...sungguh sedih bila sekarang Patani berada di bawah jajahan Siam...tkasih bro kerana berkongsi cerita dan kajian anda...

    BalasPadam