Isnin, Januari 23, 2017

Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat

Salam semua. Sukacita dimaklumkan Sabtu lalu saya telah berjaya menamatkan pengembaraan pertama saya untuk tahun 2017, setelah 9 hari 9 malam berkeliaran jauh di rantau orang termasuk berada di selatan Thailand 13-17 Januari. Sedikit pengenalan tentang perjalanan telah diberikan dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Pembukaan malam Jumaat yang dibuat 5 hari lalu. Hari ini, apabila bercerita tentang aktiviti hari ke-3 perjalanan baru dapat diterangkan kenapa siri penceritaan perjalanan dipanggil sebagai "Misi jejak Aceh-Langkasuka".



Sekitar seminggu dua sebelum perjalanan ini dimulakan 12 Januari saya mendapat tahu tentang acara yang tertera di atas Saya tertarik kerana soal Batu Aceh atau lebih tepat, Batu Nisan Aceh menjadi perbincangan utama selain mendapat tahu akan diadakan lawatan ke makam-makam lama berkenaan. Inilah menjadi asbab utama pengembaraan terbaru yang membuka kalendar perjalanan saya untuk tahun 2017 ini dibuat. Lihat sendiri tajuk acara iaitu forum "Batu Aceh" dalam gambar. Disebut sekali : "Sejarah Langkasuka yang berhubung kait dengan penemuan Batu Aceh di Patani Darussalam". Bukankah ini merupakan satu misi jejak Aceh-Langkasuka sekurang-kurangnya di Patani yang kita kenali hari ini?

Untuk makluman, Patani dahulukala iaitu sebelum kalah perang kepada kerajaan Thai penghujung abad ke-18 Masihi meliputi wilayah yang mencapai hingga berpuluh kali ganda lebih luas berbanding sekarang. Sejarawan menyatakan bahawa Patani berasal daripada kerajaan Langkasuka sedangkan ada yang percaya Langkasuka adalah kerajaan lebih besar yang pernah meliputi Kedah dan beberapa lagi kawasan. Saya pula mendapati semua kawasan dalam liputan perjalanan ada kaitan tersendiri dengan kerajaan Aceh sekurang-kurangnya melalui kewujudan batu-bau nisan unik yang dikenali sebagai Batu Aceh. Maka sesuailah jika nama siri cerita perjalanan dipanggil sebagai "Misi jejak Aceh-Langkasuka". Sekarang biarlah disambung cerita daripada artikel hari ke-2 perjalanan yang dipersembahkan 4 hari lalu iaitu Misi jejak Aceh-Langkasuka : Air terjun Gunung Stong dan faktor 313 sebelum masuk ke selatan Thailand.



Pagi Sabtu 14 Januari 2017, masuk hari ke-3 perjalanan buat saya dan dua orang kawan wanita yang datang bersama dengan menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru, Kelantan Khamis malam Jumaat 12 Januari. Itulah hari pertama saya dapat melihat wilayah Patani pada waktu siang. Lihat artikel Patani town from the 5th floor of a main hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Bagi kawan-kawan lain yang datang melalui penerbangan dari Subang ke Kota Bahru petang Jumaat, itu adalah hari ke-2 perjalanan. Bersarapan beramai-ramai di hotel sebelum bersiap untuk keluar.



Forum dijadualkan bermula hari Sabtu itu jam 9 pagi. Sekitar jam 8,45 kami meninggalkan hotel untuk ke lokasi.


Ia adalah Sekolah Amanasak, sebuah sekolah cemerlang dalam wilayah Patani sekarang.


Difahamkan ia adalah satu sekolah yang gigih menerapkan nilai-nilai Islam sambil mengingatkan asal-usul penduduk Patani sebagai orang Melayu yang memiliki kebudayaan sendiri walaupun sejak lebih 200 tahun telah diserapkan ke dalam kekuasaan kerajaan Thailand yang beragama Buddha.


Namun sebagai satu wilayah yang kini dikuasai pihak lain mereka harus akur bahawa bahasa dan tulisan yang harus diutamakan secara rasmi adalah bahasa dan tulisan Thai.


Rombongan kami terdiri daripada 9 orang rakyat Malaysia, semuanya berbusana tradisional Melayu. Turut berada dalam rombongan adalah seorang Melayu rakyat Thai yang mengatur acara bersama seorang lagi Melayu rakyat Thai pemandu van yang ditemani seorang anak. Kami diajak masuk dahulu ke bilik mesyuarat oleh pengetua sekolah. Saya mendengar beliau dipanggil sebagai Ku Nab. Kalau tak salah nama Melayu beliau (rata-rata orang Patani memiliki 2 nama, satu dalam bahasa Thai satu dalam bahasa Melayu) adalah Tengku Zainab.





Sambil menunggu di bilik mesyuarat seorang kawan kami, saudara Zam membuka gerai buku.


Beliau biasa berniaga buku-buku ilmiah di majlis-majlis ilmu di merata Lembah Klang, sesekali di negeri-negeri lain. Untuk forum ini beliau membawa beberapa buku terbitan Malaysia yang dirasakan kena mengena atau ada melibatkan sejarah Patani mahupun Langkasuka.



Sekitar jam 10 kami diajak masuk ke dewan forum diadakan.








Di hadapan kelihatan saudara Ibrahim, rakyat Thai yang mengatur forum sedang membuat fine tuning projektor bersama tetamu khas dari Malaysia, Dato' Dr Othman Yatim. Beliau yang kami kenali sebagai Profesor Othman (secara rasmi memegang jawatan itu apabila berada di menara gading, beliau dah lama pencen tetapi pada bila-bila masa boleh dipanggil berkhidmat lalu menyandang lagi jawatan dan gelaran akademik tersebut) telah menulis beberapa buah buku ilmiah. Satu bukunya, "Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia" yang dibuat berdasarkan thesis PhD beliau di England sekitar tahun 1985 kalau tak salah menjadi rujukan ramai termasuk oleh para sarjana antarabangsa dalam mengkaji batu-batu nisan Aceh. Ini merujuk pada batu-batu nisan yang memiliki bentuk-bentuk ukiran tertentu, dipercayai ditempah khas dari Aceh kerana ketinggian mutu seni dan bahan buatan yang susah hendak ditemui di tempat lain.





Dewan pula dipenuhi oleh sejumlah anak muda dan orang dewasa. Nampaknya mereka terdiri daripada guru-guru sekolah, ahli masyarakat tempatan dan para aktivis budaya dan sejarah.


Sambil pengenalan dibuat oleh moderator saya mengambil satu tempat di barisan hadapan. Untuk makluman saya adalah satu-satunya hadirin juga ahli rombongan yang datang membawa keris.


Menurut rancangan asal seperti yang tertera pada gambar paling atas, ada lima orang panelis akan berkongsi ilmu, seorang rakyat Malaysia iaitu Prof Othman, empat lagi rakyat Thai yang memiliki kedudukan tinggi dalam masyarakat. Namun atas sebab yang saya tak tahu apa keempat-empat rakyat Thai itu tidak dapat muncul. Sebaliknya mereka digantikan oleh dua orang pengkaji muda sana.


Seorang bercakap tentang tinggalan kota lama yang dipercayai pernah dikenali sebagai Kota Mahligai, katanya pusat kerajaan Langkasuka sekitar abad ke-6 Masihi. Ditunjukkanlah gambar-gambar tinggalan kota yang berada dalam kawasan yang kini dikenali sebagai Yarang, sekitar 20 km di luar bandar Patani sekarang. 



Sambil itu kulit hadapan buku "Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia" tulisan Prof Othman menjadi latar belakang pada skrin projektor.


Othman pula mendengar dengan tekun dari satu sudut. Beliau mungkin merupakan satu-satunya ahli akademik Malaysia bertaraf profesor yang biasa berbusana tradisional Melayu di majlis-majlis ilmu. Semoga semakin ramai orang berkedudukan mengikut jejak langkah beliau untuk memartabatkan kembali warisan lama kita.


Selepas beberapa lama, panelis kedua anak muda menjadi tumpuan dengan bercakap tentang batu-batu nisan Aceh yang ditemui di wilayah Patani.





Kedua-dua ahli panelis ini mewakili kumpulan-kumpulan anak muda penggiat persendirian yang rajin mengkaji dan mengkaji untuk melestarikan sejarah lama Patani dan Langkasuka...






Sekitar jam 11 Prof Othman naik mengambil tempat. Beliau diharapkan untuk mengesahkan penemuan-penemuan para pengkaji muda Patani tentang batu Aceh di sana.


Othman membuka dengan menceritakan bagaimana beliau boleh tergerak untuk mengkaji tentang batu Aceh lebih 30 tahun lalu. Disebutlah tentang sejarah dan taburan batu-batu Aceh yang turut didapati di bahagian lain Asia Tenggara selain di Malaysia dan Aceh. Disentuh juga tentang kajian-kajian kemudian termasuk yang dibuat oleh pengkaji Barat.





Sesi soal jawab menyusul selepas pembentangan Othman tamat sekitar jam 11.38.


Selesai forum kami pun makan tengah hari kemudian bersolat di masjid dalam kawasan sekolah. Lihat artikel Masjid sekolah Amanasak (Mosque of the Amanasak school), Patani di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Menariknya ia menjadi masjid pertama saya singgahi dalam wilayah Patani. Mungkin ini petanda kecemerlangan lama Patani cuma dapat dicapai melalui kecemerlangan ilmu dan pembelajaran termasuk celik hakikat sejarah yang disampaikan kepada generasi muda sekarang?



2 ulasan:

  1. Tkasih Tn Radzi atas perkongsian catatan perjalan anda ini...juga atas usaha anda membantu dlam usaha meningkatkan jatidiri bangsa Melayu di Patani tersebut...

    "Mungkin ini petanda kecemerlangan lama Patani cuma dapat dicapai melalui kecemerlangan ilmu dan pembelajaran termasuk celik hakikat sejarah yang disampaikan kepada generasi muda sekarang?"

    Saya amat bersetuju dengan pandangan anda di atas...semoga Allah membantu usaha murni anda ini.

    BalasPadam