Jumaat, Disember 30, 2016

Mengharapkan terungkai lebih banyak perkara tersurat dan tersirat daripada perjalanan 3 kali ke Pantai Timur dalam tempoh dua bulan

Salam petang Jumaat. Adapun sejak siang semalam saya sangat disibukkan dengan usaha bagi menyiapkan sejumlah artikel di blogspots saya (3 blogspot untuk berkongsi pelbagai perkara tentang kehidupan terutama pengembaraan dan pencarian sejarah, 1 untuk aktiviti-aktiviti NGO). Sampai sekarang saya belum tidur akibat hal ini. Ia adalah untuk memastikan menjelang masuk tahun baru 2017 tidak sampai 48 jam lagi daripada sekarang apa-apa yang tersangkut dengan tahun 2016 dapat dilepaskan atau diluahkan dengan baik lalu saya boleh menutup kalendar lama dengan senang, kemas dan tenang. Untuk mencapai hasrat  ini saya juga perlu mengemaskinikan beberapa perkara tentang blogspots.

Antaranya adalah meletakkan kompilasi pautan artikel-artikel bagi perjalanan atau pengembaraan yang cukup panjang dan bermakna untuk dipaparkan secara kekal di sisi atau bahagian bawah blogspot. Atas tujuan inilah saya membuat satu gabungan kompilasi pautan artikel-artikel tentang 3 perjalanan ke Pantai Timur, lebih khusus ke Kelantan yang berlaku dalam tempoh 2 bulan iaitu dari 30 Ogos sehingga 1 November lalu. Dalam memastikan bagaimana 3 perjalanan itu saling berkaitan dengan jelas terkeluarlah dengan spontan dan deras beberapa luahan hal berkenaan yang mengganggu fikiran. Lalu saya rasa elok juga ia dikongsikan sebagai artikel baru di sini demi pencerahan diri. Beginilah ceritanya...



Beruzlah ke Pantai Timur - Memantapkan Tauhid dan Syahadah?



Satu perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat 30 Ogos hingga 5 September tahun 2016 dengan dua tujuan utama, satu adalah untuk menadah sedikit ilmu agama juga ilmu-ilmu lama tentang Melayu daripada seorang Sheikh muda di sebuah sekolah pondok di Tumpat. Satu lagi adalah untuk menghadiri majlis hol almarhum Tokku Paloh di Kuala Terengganu, wali besar abad ke-19 Terengganu. Dengan tak diduga terkeluar hal ilmu Syahadah Tokku Paloh. Sedangkan ia adalah ilmu sulit yang tidak disampaikan kepada semua orang...



























Beruzlah ke Pantai Timur lagi - 10 Muharram, ilmu keris dan perjuangan kedaulatan Melayu Islam



Perjalanan ke Pantai Timur dibuat lagi apabila saya ke sekolah pondok sama di Kelantan bersama beberapa orang rakan seperjuangan. Namun saya sampai paling awal apabila bertolak ke Kota Bahru dengan menaiki pesawat siang Isnin 10 Oktober. Asalnya saya bercadang untuk memandu kereta sahaja ke sana, Tanpa disangka dan dipinta wang belanja untuk pergi balik dengan penerbangan dihadiahkan oleh seorang wanita tertentu yang sudah 20 tahun sering keluar masuk dalam hidup saya.

Menariknya ini berlaku setelah lebih kurang sebulan isteri saya berusaha untuk menerima dan berbaik dengannya. Hal itu pula terbit apabila berlaku suatu perkara lain dalam perjalanan ke Pantai Timur sebelum itu. Selepas majlis hol Tokku Tuan Besar yang diadakan malam hari selepas hol Tokku Paloh siang Sabtu 3 September saya terpaksa mengaku kepada isteri tidak dapat melupakan wanita tersebut sejak sekian lama.

Malam sampai ke Kelantan masuk hari Asyura 10 Muharram yang penuh keberkatan, Kawan-kawan lain sampai lewat sehari dua kerana menyangkakan tarikh istimewa itu jatuh pada hari seterusnya! Kami sambung lagi mengaji pelbagai hal terutama dalam ilmu besi dan keris Saya berada di sana sehingga Khamis 13 Oktober.


















Melengkapkan gerak tentang mengaji sekolah pondok di Kelantan - 3 kali ke Pantai Timur dalam tempoh 2 bulan



Dalam perjalanan kedua ke sekolah pondok di Kelantan saya telah diminta oleh Sheikh yang memimpin pondok agar meninggalkan keris kesayangan saya bersama beliau di pondok. Katanya beliau mahu melakukan pemulihan berserta tabal adat keris dan saya pun menerima permintaan lebih-lebih lagi ia dibuat sekitar tarikh istimewa 10 Muharram. Pesan Sheikh ambillah keris setelah segala yang patut untuk menaikkan semangat besinya dan seri selesai dibuat, dalam tempoh seminggu dua. Sambil itu saya dipinjamkan satu keris kesayangan Sheikh yang katanya pernah dimiliki wali Allah besar Tanah Bugis/Makassar abad ke-17 Masihi iaitu Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, juga dikenali sebagai Sheikh Yusuf Makassar.

Sekembalinya ke Lembah Klang saya disibukkan dengan usaha-usaha penganjuran acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara 22 Oktober 2016. Keris milik Sheikh menjadi pakaian peribadi saya sepanjang waktu itu termasuk pada hari majlis, menggantikan keris milik sendiri yang ditinggalkan di sekolah pondok. Muncul sahaja kelapangan saya pun ke sana lagi untuk mengambil kembali keris seraya memulangkan yang milik Sheikh. Kali ini saya memandu sambil membawa isteri dan anak-anak berjalan sekali ke Pantai Timur.

Perjalanan dimulakan 29 Oktober. Setelah 3 malam menginap di tempat-tempat berlainan dalam negeri Kelantan kami kembali melalui laluan Grik-Kuala Kangsar di negeri Perak pada 1 November. Peliknya ini berlaku dalam keadaan saya putus hubungan lagi dengan wanita yang pernah menaja penerbangan saya ke Kelantan pada perjalanan sebelumnya. Atas sebab-sebab tertentu saya bergaduh besar dengannya sekitar seminggu sebelum menjayakan acara di muzium. Isteri tidak terkata apa kerana sudah bersedia untuk menerima wanita tersebut secara sah dalam hidup kami. Asalkan dia betul-betul bersedia untuk bersama dalam perjuangan hidup kami tanpa mengharapkan laba harta benda, sedia juga untuk berkorban apa yang perlu termasuk meninggalkan kesenangan dan kemewahan yang sudah biasa dikecapi sejak sekian lama.

Perjalanan ke Kelantan kali ini mencukupkan 3 kali perjalanan ke Pantai Timur dalam tempoh 2 bulan. Atas asbab mahu mengambil ilmu di sekolah pondok berlaku bermacam-macam perkara selain perlu mengembara pergi balik sekitar 1,000 km atau lebih setiap kali pergi. Dan setiap kali keluar itu saya harus meluangkan masa sekurang-kurangnya 3 malam di negeri orang..









Tiada ulasan:

Catat Ulasan