Merujuk pada artikel kompilasi Beruzlah ke Pantai Timur lagi - 10 Muharram, ilmu keris dan perjuangan kedaulatan Melayu Islam yang dipersembahkan pagi Sabtu lalu. Pada penghujung perenggan penerangan saya ada menyebut akan membuat satu lagi perjalanan ke Kelantan. Adapun pada petang itu juga saya berlepas ke sana, kali ini membawa sekali isteri dan anak-anak. Lewat Selasa malam Rabu kami sampai kembali ke rumah lalu bolehlah dibuat cerita tentang perjalanan yang memakan masa 3 hari 3 malam ini. Tapi sebelum itu biar dilepaskan satu cerita tentang majlis ilmu di Kuala Lumpur.
Hampir 3 minggu lalu saya menerima undangan yang kelihatan melalui e-mail. Ia adalah untuk satu syarahan bertajuk "Lives in Ancient Southeast Asian Cities" oleh seorang profesor warga Amerika yang mengajar di Universiti Kebangsaan Singapura. Tajuk ini boleh diterjemahkan menjadi "Kehidupan Zaman Lampau di Kota-kota Asia Tenggara".
Atur cara yang diberikan kelihatan menarik juga. Lebih menarik pada saya adalah lokasi majlis yang memiliki nilai tersendiri buat diri ini...
Sampai waktunya iaitu semalam pagi Khamis 2 November saya pun bergegas ke lokasi.
\
Sudah hampir 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sini. Suatu masa dahulu saya rajin juga bertandang kerana seni bina dan suasana lokasi yang melambangkan kecintaan tinggi terhadap ilmu dunia Islam. Lihat artikel Centre for Malay World and Islamic Civilisation, Bukit Damansara di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Tempat ini dan institusi berkenaan pada waktu itu bernama ISTAC, International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun). Ia diasaskan oleh pemikir besar bertaraf antarabangsa, Syed Muhammad Naquib al-Attas (bergelar Tan Sri Prof. Dr) pada tahun 1987. Tetapi bangunan ini siap dibina beberapa waktu kemudian...
Setelah beberapa lama, atas-atas sebab yang saya dimaklumkan melibatkan pertembungan aliran fikiran melawan kepentingan politik pihak tertentu, institut ini terlepas daripada tangan Syed Naquib. Ia pun diberikan sepenuhnya kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk dikendalikan.
Di sini saya tidak ingin mengimbas kembali apa yang berlaku. Saya cuma bersyukur setelah beberapa lama kompleks ini diabaikan ia baru dihidupkan kembali dalam sebulan dua lepas lalu syarahan semalam menjadi majlis ilmu pertama diadakan di dewan kompleks sejak sekian lama.
Sebagai menggambarkan semangat saya sendiri apabila pertama kali menjejakkan kaki lagi di sini biar diletakkan lirik lagu berikut. Untuk pengetahuan, atas saranan dan arahan Syed Naquib kompleks ini dibina menurut citarasa senibina Andalusia yang melambangkan zaman kegemilangan Islam di sana lebih 600 tahun yang lampau.
Andalusia – M. Nasir
Cahaya mu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubah mu
Kian pudar untumu
Setanggi ini ku bakar
Cahaya mu sediakala
Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulam fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niat ku bertemu
Cahayamu tiada tara
Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia
Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu
Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah andalusia
Corus
Cahayamu tiada taranya
Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia
Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu
Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah andalusia
Apakah sudah kering
Lautan darah yang tertimbus
Di bumi Al Hambra
Ataupun masih bergelora
Menanti saat
Melimpah mengikut mata air
Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia
Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu
Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haqqu
OK. Kita berikan tumpuan kepada majlis. Adapun tetamu utama atau VVIP adalah Tan Sri Rais Yatim, orang lama dunia politik tanah air yang pernah menjadi menteri dalam banyak kementerian. Beliau kini adalah penasihat kebudayaan kepada kerajaan Malaysia juga presiden UIAM. Rais sampai lalu masuk ke dewan sekitar jam 10 dan majlis pun bermula seperti dijadualkan. Kelihatan tetamu sedang berdiri untuk menyanyikan lagu Negaraku diikuti lagu UIAM.
Tajuk syarahan dan nama pensyarah yang terpampang di hadapan...
Rais memberikan ucapan sebelum merasmikan.
Profesor Dr. John Miksic yang juga seorang pakai arkeologi antarabangsa naik ke pentas untuk memberikan syarahan.
Paparan pertama daripada slaid beliau. Selain tajuk yang sudah diwar-warkan ada tajuk kecil tambahan. Ia boleh diterjemahkan seperti berikut : "Urbanisma dalam konteks Asia Tenggara - Asia Tenggara sebagai sebuah pusat urbanisma silam, kota-kota pertahanan, pelabuhan, istana, kuil dan pasar".
Slaid yang dipaparkan semuanya dalam bahasa Inggeris. Namun Miksic sebenarnya bersyarah hampir 100 peratus dalam bahasa Melayu kerana cukup fasih akibat sudah biasa dan lama duduk dan mengajar di bumi sebelah sini iaitu sejak tahun 60an!
Selepas memberikan takrifan apa itu bandar untuk menggambarkan ketamadunan sejagat baru beliau memberikan tumpuan kepada Asia Tenggara. Apakah yang istimewa tentang bumi sebelah sini? Antaranya adalah lokasi sebagai persimpangan antara Timur dan Barat...
Tak perlulah saya bercerita panjang lebar ya. Cukuplah diberikan sedikit faham, Di sini ditunjukkan lokasi tempat-tempat bertaraf kota juga bandar (kota juga boleh merujuk pada kota pertahanan) zaman lampau di Asia Tenggara. Ia adalah seperti yang disenaraikan oleh pengkaji Barat lain, Paul Wheatley.
Begitu banyak kota lama tersenarai sebenarnya. Maka Miksic mahu memberikan tumpuan kepada 5 sahaja iaitu Angkor di Cambodia, Sungai Batu/Lembah Merbok di Kedah, Kota Cina di Sumatera, Mojokerto (pusat kerajaan Majapahit) di Jawa Timur dan Singapura.
Miksic pun memulakan penerangan tentang Angkor. Menariknya di sana terdapat monumen ibadat yang sangat besar seperti Angkor Wat namun kurang penempatan manusia di sekelilingnya. Ini membayangkan pola bandar raya yang berlainan daripada kebiasaan. Biasanya bandar raya tentu ramai penduduk. Walaupun ada banyak bangunan ditemui di sekitar bangunan utama ibadat Angkor Wat ia tidak kelihatan seperti penempatan orang awam.
Beliau kemudian menunjukkan beberapa slaid sekitar Sungai Batu dan Merbok. Entah kenapa saya terlupa hendak mengambil gambar. Bila dah masuk bab Kota Cina di Sumatera baru kembali mengambil gambar.
Sebenarnya rentak kebiasaan saya suka mengambil gambar agak terganggu kerana masalah kamera tidak dapat memfokus dengan baik setelah jatuh ketika sibuk menganjurkan acara di Muzium Negara hampir 2 minggu lalu. Lihat Sekitar acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara. Hal kamera bermasalah ini ada diceritakan dalam artikel ilmu sebelum ini iaitu Wacana politik dan pemerintahan kesultanan Melayu di DBP. Namun ada kalanya dapat juga gambar yang cukup tajam terutama ketika zoom in daripada jauh.
Apapun, antara yang diceritakan adalah kehebatan ilmu pelayaran dan perkapalan orang Melayu purba. Ramai kini sudah sedar betapa kita pernah mendahului bangsa-bangsa lain di dunia dalam hal ini dan kajian Miksic mengesahkan lagi perkara.
Kajian arkeologi menunjukkan bahawa dalam lingkungan geografi yang ditunjukkan ini ditemui tinggalan-tinggalan seramik yang sama. Ini menjadi bukti kawasan dalam lingkungan pernah menerima dan menggunakan barangan serupa juga berdagang dengan pihak yang sama.
Artifak-artifak yang ditemui dalam Sungai Musi di Palembang. Dalam penerangan tentang Kota Cina yang dipercayai mendapat nama kerana menjadi penempatan besar orang Cina yang datang berdagang, beberapa kawasan lain di Pulau Sumatera turut dikaitkan juga.
Kehidupan di Kota Cina. Walaupun penduduknya dikatakan terdiri daripada pelbagai etnik, yang menetap secara kekal adalah orang Melayu. Bangsa-bangsa atau etnik lain seperti orang India, Cina, Arab dan Parsi datang menurut musim terutama untuk berdagang. Ini disebabkan pelayaran dari Timur ke Barat dan sebaliknya bergantung kepada pergerakan angin monsun yang bertukar arah secara signifikan setiap setengah tahun.
Catatan Marco Polo tentang bagaimana para pedagang luar di satu kota duduk dalam kawasan tertentu kerana takutkan serangan penduduk tempatan yang katanya suka makan orang. Ini dipercayai merujuk kepada etnik Batak di bahagian utara Sumatera.
Beralih ke Majapahit dan pusatnya di Mojokerto, Jawa Timur. Ditunjukkan catatan pengkaji lama Barat bernama Wallace tentang kehebatan binaan tembok-tembok kota yang pernah dilihatnya.
Tentang definisi Nagara atau Negara menurut sebuah teks kuno Jawa. Nampaknya Nagara di sini merujuk kepada kota atau bandar raya kerana definisinya adalah semua kawasan yang kamu boleh pergi (di luar laman rumah kamu sendiri) tanpa perlu melalui sawah padi.
Dari Majapahit kita beralih ke Singapura. Gambaran pegawai British Raffles ketika bertemu Temenggung, pembesar Melayu yang bertanggungjawab terhadap pulau itu.
Peta persekitaran muara Singapura. Terdapat tanah tinggi dipanggil Bukit Larangan di mana pernah berdiri istana raja-raja Melayu dahulukala.
Miksic kemudian bercerita tentang tinggalan Singapore Stone atau Batu Bersurat Singapura. Ia asalnya adalah sebiji batu besar tetapi tinggal serpihan setelah diletupkan oleh British atas sebab apa entah, sekarang tersimpan di muzium sana.
Kewujudan kota lama di Singapura dikaitkan dengan Melaka.
Menariknya, satu perkara yang saya tak sangka akan keluar daripada mulut pengkaji warga Amerika yang mengajar di Singapura ini adalah apabila beliau bercakap tentang makam dan batu-batu hidup di Pengkalan Kempas, dekat Linggi, Negeri Sembilan,
Kata beliau kita sepatutnya lebih mengkaji apa yang ada di sana. Ini kerana ia adalah antara sedikit peninggalan nyata yang masih wujud daripada zaman kegemilangan Empayar Melaka.
Miksic percaya jangkauan pendudukan atau urbanisma Kota Melaka melebihi apa yang kita akui dan terima hari ini. Pengkalan Kempas harus termasuk dalam jangkauan ini. Beliau kemudian menunjukkan satu klip video sepanjang 5 minit tentang sejarah Singapura yang dibuat oleh badan berkenaan sana. Ia bertujuan untuk mempromosi satu permainan komputer berkenaan sejarah kerajaan lama situ. Bagaimanapun ia kelihatan melebihkan sudut pandang orang etnik Cina yang menguasai pulau sejak lebih setengah abad lalu..
Sekitar jam 11.48 pagi dimulakan sesi soal jawab.
Saya mengambil peluang untuk mengemukakan 3 persoalan seperti berikut :-
1. Bahasa Sanskrit merupakan bahasa lama elit yang sudah mati. Ia digunakan oleh golongan kasta tinggi di benua Hindi termasuk dalam penulisan kitab-kitab keagamaan. Kedudukannya begitu tinggi hinggakan orang kasta rendah dilarang bertutur atau menulis dalam bahasa tersebut. Namun banyak kosa kata dalam bahasa Sanskrit diserapkan ke dalam bahasa Melayu, misalnya neraka, syurga, derhaka, buana, suria dan purnama lalu menjadi ungkapan biasa bagi orang kita dahulukala. Kenapa boleh jadi begitu?
2. Tentang Batu Bersurat Singapura. Dalam kitab Sulalatus Salatin ada disebut bahawa selepas menakluki beberapa negara Raja Suran sampai ke satu kawasan di hujung tanah lalu membuat pengembaraan ke dalam laut pula, Sekembalinya ke daratan baginda memerintahkan orang-orangnya agar menulis satu bersurat untuk mengabadikan kisah ini. Apakah mungkin Batu Bersurat Singapura itu adalah batu yang ditulis atas arahan Raja Suran?
3. Tentang dinar atau duit emas Melaka. Ketika mahu menganjurkan satu acara di Pagoh, Muar 2 tahun lalu saya meminta agar sesiapa cuba mendapatkan dinar Melaka untuk dipamerkan kepada khalayak ramai. Lihat artikelAcara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ketika itu baru saya dapat tahu bahawa dinar Melaka belum ditemui oleh mana-mana pihak waima oleh muzium sekali pun. Kenapa boleh jadi begini? Mustahil dinar Melaka tidak wujud sedangkan kerajaan Pasai yang naik lebih awal pun masih ada dinarnya disimpan orang atau muzium mana-mana hingga kini, begitu juga dinar kerajaan Johor, kerajaan yang meneruskan peranan Melaka menguasai wilayah-wilayah di sekitar selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Malah Portugis yang menduduki Kota Melaka sehingga tahun 1641 pun sempat menerbitkan wang emas mereka sendiri. Mana mungkin Melaka yang diakui kehebatannya seantero dunia tidak pernah mengeluarkan duit dinar sendiri.
Jawab Miksic (saya tulis lebih kurang)...
1. Orang Melayu bersikap amat terbuka, senang menerima sesuatu yang berguna. Sanskrit pada zaman lampau adalah satu bahasa antarabangsa. Maka itu banyak kosa katanya diserapkan ke dalam bahasa Melayu sepertimana perkataan-perkataan Inggeris kemudian masuk ke dalam perbendaraan bahasa Melayu moden.
2. Beliau memang percaya Batu Bersurat Singapura ditulis atas arahan Raja Suran, Cuma Miksic menyebutnya sebagai Raja Syulan ke Raja Chulan (saya dengar lebih kurang), nampaknya merujuk pada satu versi kitab Sulatus Salatin yang menyebut yang turun ke laut itu bukan Raja Suran namanya. Bukan setakat itu, pakar arkeologi bertaraf antarabangsa ini percaya batu yang sama itulah yang diceritakan pernah dilontarkan oleh orang kuat Singapura iaitu Badang dari atas bukit ke kuala Sungai Singapura. Masyaallah. Ini satu pengakuan atau pengesahan yang sangat bermakna. Saya sendiri sudah lama mempercayai hal ini. Tetapi bila orang berkelayakan akademik tinggi seperti Miksic boleh bercakap begitu dalam satu majlis rasmi ilmu di hadapan ramai saksi? Ini bermakna ia telah ditahkikkan lalu kita boleh mengisytiharkannya kepada umum tanpa rasa takut atau ragu-ragu...
3. Tentang dinar Melaka beliau percaya ia memang wujud dan masih wujud. Oleh itu kajian arkeologi harus dipesatkan lagi. Ada baiknya kita melebarkan pencarian untuk masuk ke sungai-sungai dan Selat Melaka. Miksic percaya lambat laun ia akan ditemui.
Saya rasa cukuplah perkongsian tentang majlis ini. Sekian. Wassalam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan