Salam. Merujuk pada artikel Tentang kehidupan zaman lampau di kota-kota Asia Tenggara - Batu Bersurat Singapura terkait dengan Raja Suran dan Badang? yang dikongsikan 6 hari lalu. Saya masih belum dapat bercerita tentang perjalanan terbaru ke Kelantan yang berlaku sebelum itu. Kena lepaskan pula cerita mengenai satu lagi majlis ilmu...
Pagi Isnin 7 November 2016 saya ke auditorium Perpustakaan Negara untuk Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu.
Menurut jadual majlis bermula dengan sesi pembukaan jam 9.30 pagi.
Tetapi disebabkan harus menemani isteri menyelesaikan satu perkara, saya sampai selepas jam 12 tengah hari.
Seminar itu sendiri dijadualkan bermula dengan pembentangan ilmu jam 11 pagi.
Namun saya masih sempat mengikuti perkongsian oleh pembentang pertama, Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Arkeologi Malaysia. Beliau membawa tajuk "Asal Usul Melayu dalam Pelbagai Perspektif Kajian Terkini".
Nampaknya sesi pembentangan itu sendiri bermula agak lewat. Kalau ikut jadual Zaharah seharusnya sudah tamat membentang jam 11.45.
Apapun saya lihat pembentangan beliau adalah pengemaskinian daripada beberapa pembentangan serupa yang pernah saya ikuti sebelum ini. Seperti biasa Zaharah masih menekankan dan mendakwa bahawa kajian DNA menunjukkan orang Melayu berasal daripada Orang Asli. Sedangkan apa yang saya faham daripada pihak yang lebih dekat dengan kajian lapangan tentang perkara, orang Melayu dan Orang Asli berasal daripada nenek moyang yang sama, bukan Melayu daripada Asli atau Asli daripada Melayu...
Secara rata Zaharah bercakap tentang bagaimana orang Melayu telah bertapak lama zaman berzaman di tanah besar purba yang dikenali sebagai Sundaland. Ini merujuk pada Asia Tenggara ketika paras air laut adalah sekitar 150-200 meter lebih rendah berbanding kini lalu perairan sekitar seperti Lautan Cina Selatan masih berupa daratan Keberadaan orang Melayu cuba dikaitkan dengan sumber-sumber kitab. Gambarajah di atas menunjukkan pergerakan keturunan Nabi Nuh daripada 3 orang anak yang bertebaran selepas tamatnya banjir besar zaman nabi tersebut.
Dipercayai orang Melayu yang bertapak di Sundaland atau Benua Sunda berasal daripada kelompok manusia awal yang berhijrah dari Timur Tengah mengikut jalan pesisir. Saya rasa cukuplah pembentangan Zaharah diterangkan melalui perkongsian-perkongsian beliau yang terdahulu. Lihat artikel-artikel lama berikut...
Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP
Pembentang kedua adalah Profesor Emeritus Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh daripda Universiti Pertahanan Nasinal Malaysia. Beliau membawa tajuk "Asal Usul Melayu : Pengalaman Penyelidikan Selama Lebih 20 Tahun dari Pelbagai Disiplin Ilmu".
Beliau menyorot kembali zaman mudanya dalam menggali kebenaran dan ilmu. Ketika itu bukan senang untuk kita mengambil pendirian yang menongkah arus zaman, pendirian melawan apa yang sudah diterimapakai ramai sebagai 'kebenaran' yang tidak boleh disanggah.
Pada zaman mudanya beliau seperti ramai percaya bahawa orang Melayu berasal dari Yunan atau selatan China.
Hal tersebut diulang kepada seorang cendekiawan dari Sri Lanka. Ketika itu, pada tahun 1987 Wan Hashim sedang membuat kajian tentang diaspora orang Melayu iaitu penghijrahan besar-besaran bangsa kita ke bahagian dunia lain yang jauh seperti ke Sri Lanka di selatan India dan Pulau Madagaskar di perairan Afrika. Tiba-tiba beliau disuakan dengan pandangan lain yang menongkah arus. Kata cendekiawan bernama Profesor De Silva, penulis buku "A History of Sri Lanka" (terbit 1984) mana mungkin orang Melayu berasal daripada selatan China? Menurut kajian beliau orang di Asia Tenggara terlebih dahulu mengetahui cara untuk menanam padi dan sebagainya, seawal 15,000 Sebelum Masihi. Teknologi ini kemudian dibawa ke China dan sebagainya, bukan dari China turun ke Asia Tenggara.
Ini membawa Wan Hashim untuk mengkaji lebih banyak perkara tentang Melayu lalu menyedari betapa hebatnya bangsa kita suatu masa dahulu. Penyelidikan demi penyelidikan termasuk di negara China membuahkan satu kesimpulan. Pada tahun 1994, beliau dan rakan sealiran, Nik Hassan Shuhaimi (juga kini bergelar Profesor Emeritus Dr) pun membuat pengumuman bahawa orang Melayu memang sedia berasal dari Asia Tenggara. Cuma ketika itu tidak ramai yang mengambil perhatian. Bertahun-tahun kemudian baru muncul kajian DNA untuk mengesahkan fakta ini. Lihat cerita serupa daripada beliau ketika membentang dalam satu majlis lain di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih setahun lalu. Lebih butiran telah dikongsikan dalam artikel lama Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Menyelaraskan peristiwa purba menurut sains berbanding kitab.
Sesi petang ydimulakan sekitar jam 2.30 dengan pembentangan bertajuk " Menyusuri Asal Usul dan Migrasi Bangsa Melayu Melalui Kajian Genetik" oleh Profesor Madya Dr. Zafarina Zainudin dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Saya telah mengikuti pembentangan beliau dalam majlis-majlis lain sekurang-kurangnya 2 kali. Kali ini saya dapati paparan slaid Zafarina lebih mesra umum, tidak begitu teknikal berbanding apa yang dilihat sebelum ini.
Beliau diakui ramai sebagai pakar kajian DNA yang paling terkehadapan di Malaysia kini. Kajian-kajian cendekiawan yang saya lihat ada muka sedikit ala-ala pelakon Rita Rudaini ini menjadi rujukan sehingga ke peringkat antarabangsa dalam menentukan hal ehwal dan asal usul orang Melayu zaman berzaman,
Kajian DNA beliau dianggap bukti saintifik paling kuat untuk mengesahkan orang Melayu bahkan sudah wujud bertamadun dan beranak pinak di Asia Tenggara seawal 60,000 tahun yang lampau!
Saya kongsikan slaid-slaid berikutnya tanpa penerangan ya. Lihat dan baca apa yang dapat...
Secara rata Zafarina mengulangi hal sama tentang asal usul Melayu sejak kajiannya mendapat perhatian media massa, kalau tak salah ingatan lebih kurang 4-5 tahun lalu. Cuma setiap kali membentang beliau cuba memasukkan dapatan baru dan membuat persembahan sesuai dengan khalayak. Ilmu DNA ini amat teknikal tetapi ada yang boleh dimudahkan kepada umum melalui cara penerangan yang dapat dibaiki melalui pengalaman. Lihat juga artikel-artikel lama saya melibatkan perkongsian ilmu daripada Zafarina :-
Pembentang kedua sesi petang merangkap pembentang ke-4 dan terakhir keseluruhan seminar untuk hari itu (ia dilangsungkan selama 2 hari) adalah Profesor Emeritus Dato' Dr Abdullah Zakaria Ghazali daripada Universiti Malaya. Bercakap tanpa slaid tetapi ada memberikan kertas kerja bertulis (kertas kerja pembentang lain dibekalkan kepada hadirin dalam bentuk DVD) beliau membawa tajuk "Asal Usul Sembilan Raja Melayu".
Apa yang diceritakan adalah lebih kurang sama dengan apa yang saya dengar di UKM lebih setahun lalu. Lihat Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Menyelaraskan peristiwa purba menurut sains berbanding kitab. Cuma ketika itu tajuk pembentangannya adalah "Kerajaan Melaka Dan Kelangsungan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu, Namun ia juga menceritakan bagaimana kerajaan Melaka yang diasaskan tahun 1262 Masihi membawa kepada kemunculan beberapa lagi kerajaan. Sambil itu kerajaan Kedah yang sudah masuk Islam seawal 1136 M terus berjalan,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan