Isnin, September 26, 2016

Menyahut panggilan Linggi - Berkongsi ilmu sambil menurut gerak terbaru

Salam semua. Adapun hampir tengah malam tadi saya baru kembali daripada satu perjalanan ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar juga melawat beberapa tempat di sekitarnya. Pada hari sebelumnya iaitu hari Sabtu saya telah menghadiri satu majlis syarahan dan bacaan kitab Dalail Khairat di Muzium Kesenian Islam, Taman Tasik Perdana kemudian majlis kahwin di pusat bandar raya Kuala Lumpur, teman isteri cari kain baju di Masjid India, pergi Pesta Buku SOGO sebelum bergerak ke Bukit Chandan bersama seorang kawan. Singgah pula di Sarang Art Hub, Tanjung Malim yang diselenggarakan sutradara terkenal saudara Mamat Khalid melihat konsert rock melibatkan 15 buah kumpulan kugiran, sampai di Kuala Kangsar dekat tengah malam sebelum bermalam di surau berdekatan makam Tok Temong. 

Memang penat amat terasa apa lagi dan lebih 2 minggu  saya batuk selsema, demam-demam dan sakit-sakit badan. Namun saya tidak boleh berehat kerana banyak kerja nak buat, antaranya adalah mahu menganjurkan acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara, insyaallah pada hari Sabtu 22 Oktober 2016, kurang sebulan lagi. Petang ini pula saya harus berkejar ke Kuala Linggi berdekatan sempadan antara negeri Melaka dengan Negeri Sembilan demi memenuhi harapan orang. Di sini biar dilepaskan sedikit cerita berkenaan...



Adapun perjalanan ke Linggi ini disebabkan saya diminta untuk berkongsi ilmu di dua buah kolej berdekatan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dekat Kuala Sungai Baru iaitu ke tenggara Kuala Linggi diikuti Kolej UNITI Negeri Sembilan, ke barat-laut Kuala Linggi. Antara perkongsian ilmu di dua tempat ini ada tempoh lapang sekitar 36 jam, sedangkan dua kolej ini terletak sekitar 12 km sahaja antara satu sama lain. Rumah saya pula terletak sekitar 160km dari KUIM. Maka itu saya membuat keputusan untuk pergi sekali keluar, tidak perlu berulang-alik ke rumah di Rawang, Sungai Buaya. Maksudnya dalam tempoh lapang antara dua perkongsian ilmu itu biarlah saya berlegar-legar di Linggi dan persekitarannya. Bolehlah melihat beberapa tempat menarik di sekitar sambil membuat kerja menggunakan komputer riba...



Ini adalah poster untuk acara di KUIM. Saya dijadualkan berkongsi ilmu bersama seorang pembentang lain bermula jam 8 malam ini, Isnin 26 September.


Perkongsian ilmu di Kolej UNITI melibatkan saya seorang sahaja. Selesai majlis di KUIM saya akan bermalam di sana, hari Selasa baru berjalan ke sana ke mari lalu saya merancang untuk menginap di surau kecil bersebelahan makam Sheikh Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas yang terkenal dengan batu-batu hidup agak misteri itu. Esoknya awal pagi Rabu baru bertolak ke Kolej UNITI.

Adapun kali terakhir saya ke berjalan-jalan ke sekitar Linggi adalah bersama isteri dan anak-anak 3 bulan lalu. Lihat Dari Rembau ke Linggi ke Dataran Merdeka - Perjuangan berbusana tradisional Melayu tetap diteruskan walau apa jua.... Di sini saya ingin mengambil peluang untuk mengumumkan. Sesiapa yang ingin berjumpa saya bolehlah mencari di surau sebelah makam Selasa malam Rabu hingga awal pagi. Selain itu anda boleh mencari saya di KUIM juga Kolej UNITI seiring dengan masa perkongsian ilmu. Ini kerana kedua-dua majlis adalah terbuka kepada umum. Sekian perkongsian buat hari ini. Sebentar lagi bolehlah saya mengorak langkah ke Linggi... :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan