Jumaat, September 09, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Melihat warisan Maharaja Perba Jelai

Salam Jumaat. Adapun saya sebenarnya baru beberapa hari kembali daripada satu perkelanaan di Pantai Timur yang memakan masa 7 hari 6 malam. Perkelanaan dibuat dengan 2 tujuan utama, untuk menuntut sedikit ilmu agama juga ilmu keTuhanan dan juzuk-juzuk berkenaan Melayu daripada seorang Sheikh di Tumpat, Kelantan kemudian menghadiri majlis hol almarhum Tokku Paloh, wali besar Terengganu abad ke-17 di Kuala Terengganu. Dah alang-alang berjalan jauh gitu tentunya persinggahan dibuat di beberapa tempat. Hari ini biar dimulakan perkongsian cerita.


Perkelanaan secara rasminya bermula apabila saya bertolak bersama isteri ke stesyen minyak Petronas di Batu Caves tengah hari Selasa 30 Ogos. Di situ isteri meninggalkan saya supaya dapat diambil oleh seorang sahabat yang mahu bersama menuntut ilmu di Kelantan.


Sebenarnya sahabat itu yang mengajak saya juga beberapa orang aktivis budaya Melayu agar turut serta ke sekolah pondok. Ini adalah natijah daripada pertemuan beliau dengan Sheikh muda yang mengasaskan sekolah itu, dalam satu majlis mempromosikan keris di Patani, selatan Thailand pada awal bulan Ogos. Kelihatan dalam gambar 2 buah beg yang dibawa untuk perkelanaan. Sementara menunggu sahabat tersebut muncul dari arah Kota Damansara timbul rasa seolah-olah seperti saya sedang mengulangi perkelanaan seorang diri yang rajin dibuat ke merata tempat di seluruh Semenanjung dengan menaiki kenderaan awam juga menumpang kereta orang tahun 2003 hingga 2006 gitu.


Disebabkan hal tertentu sahabat itu muncul lebih sejam lewat berbanding apa yang dirancang. Sempat saya melepaskan isi perut kemudian bersolat jamak Zohor dan Asar di surau stesyen minyak.


Ikut rancangan asal, jam 12 tengah hari kami mahu bergerak dari Batu Caves. Saya sampai dengan isteri dalam 20 minit lewat. Tapi apa yang terjadi, jam 2 petang baru kami bergerak. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya saya sudah selesa berada dalam kereta yang dipandu sahabat.


Maka meluncurlah kami laju membelah lebuh raya Karak menuju ke Bentong yang terletak dalam perjalanan ke Kelantan.


Sampai di Raub saya mengajak sahabat yang membawa 2 orang anak laki-lakinya bersama menikmati hidangan enak ikan keli gulai asam rong juga beberapa masakan kampung di Simpang Kallang.


Perjalanan disambung dengan mengambil laluan ke Sungai Koyan yang boleh bersambung kembali dengan jalan utama ke Kelantan atas atau ke utara dari Kuala Lipis.


Selain mahu mengelak banyak kereta yang biasa menggunakan laluan utama Raub ke Lipis kami mengambil laluan tersebut kerana mahu singgah di Bukit Betong.


Adapun saya sudah banyak kali menggunakan laluan Sungai Koyan itu tapi baru kali ini tergerak untuk singgah di Bukit Betong. Ini kerana ketika kali terakhir bertandang ke Kuala Lipis iaitu untuk satu seminar pada 12 Mei saya baru dapat tahu bahawa Bukit Betong yang terletak cuma 1-2 km ke luar daripada laluan merupakan pusat pemerintahan lama orang besar Pahang yang bergelar Maharaja Perba Jelai. Lihat artikel Seminar Patriotisme di Kuala Lipis - Meningkatkan Patriotisme Melalui Pengalaman Sejarah diikuti 'Menimbang' air Sungai Pahang - Kaitan Perak-Aceh membawa ke Pulau Tawar dan Mat Kilau. Jawatan yang termasuk dalam orang kaya 4 istana negeri Pahang sejak lebih 100 tahun kebelakangan ini bermula sebagai satu jawatan bertaraf raja tempatan di Hulu Pahang pada zaman Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin memerintah Pahang 1592 - 1614. Sejak itu saya menyimpan hajat untuk melihat kesan-kesan sejarah berkaitan di Bukit Betong. 



Sahabat yang turut sama pun belum pernah sampai ke Bukit Betong. Cerita punya cerita, rupa-rupanya dia juga menyimpan hajat untuk ke sana kerana katanya ada juga hubungan kekeluargaan dengan Maharaja Perba Jelai. Dia pun menelefon seorang waris lalu dicadangkan agar pergi ke rumah peninggalan seorang pemegang jawatan. Disebabkan memang ada hubungan kekeluargaan kami semua dilayan dengan baik oleh ahli keluarga yang bertanggungjawab menjaga rumah lalu ditunjukkan bendera yang melambangkan kekuasaan Maharaja Perba Jelai.


Kami juga diberi peluang meneliti keris pusaka yang diwarisi ahli keluarga tersebut. Kalau tak salah ingatan bapa beliau adalah pemegang jawatan Maharaja Perba Jelai sebelum ini, penyandang sekarang adalah seorang abang beliau. Setiap adik beradik dihadiahkan sebuah barangan pusaka peninggalan ayah. Menariknya pada pangkal bilah keris ini ada terselit sekeping emas, tak tahulah untuk apa.


Seterusnya kami ke Bukit Kota yang masih terletak dalam kawasan besar Bukit Betong. 


Letaknya menyeberang Sungai Jelai hampir berhadapan rumah peninggalan Maharaja Perba Jelai tadi.


Kami dimaklumkan Bukit Kota pernah menjadi pusat pemerintahan beberapa orang Maharaja Perba Jelai. Oh, setiap pemegang jawatan dikenali penduduk tempatan dengan panggilan Tok Raja. Di puncak bukit ini terdapat sebuah masjid juga tanah perkuburan yang mengandungi makam beberapa orang Tok Raja. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...



Makam (Tomb of) Maharaja Perba Jelai di (at) Bukit Kota



Kami juga diberitahu di sekitar Bukit Kota terdapat rumah lama milik seorang Tok Raja yang terdahulu...


Selepas cukup puas meninjau persekitaran kami meneruskan perjalanan dengan menghabiskan laluan Sungai Koyan untuk masuk kembali ke jalan utama ke Kelantan lalu singgah melihat Gua Bama juga Kampung Relong yang terletak sebelah-menyebelah. Untuk maklumat tentang tempat-tempat ini sila lihat artikel 'Menimbang' air Sungai Pahang - Antara Sungai Lipis dengan Sungai Jelai yang dipersembahkan hampir 4 bulan lalu.





Dekat jam 7 baru kami menyambung perjalanan ke Tumpat. Ia masih memakan jarak sekitar 300 km. Kali ini saya pula menjadi pemandu...


Lagi 100 km lagi perjalanan gitu baru sahabat mengambil alih kembali pemanduan. Campur berhenti rehat untuk buang air, makan malam dan sebagainya kami akhirnya sampai ke destinasi iaitu sekolah pondok di Tumpat sekitar jam 12.15 tengah malam.



Ketika itu sudah masuk hari Rabu juga tarikh 31 Ogos 2016 iaitu tarikh ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-59. Rupa-rupanya kami baru sahaja terlepas satu sambutan kemerdekaan berserta tazkirah berkenaan di sekolah pondok tersebut. Pun begitu kami terus menerima layanan baik Sheikh pengasas sekolah walaupun sudah lewat. Kami dijamu dengan hidangan makan malam dan selepas itu terus diberikan sedikit ilmu keTuhanan. 

Paling menarik, apabila disebut bahawa kami mahu ke majlis hol Tokku Paloh selepas Tumpat, terus Sheikh menunjukkan satu kitab tulisan beliau yang mensyarahkan apa yang dikenali sebagai Syahadah Tokku Paloh berserta dalil-dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis. Malam itu juga kami dibukakan dengan satu ilmu sulit berkenaan ucapan dua kalimah Syahadat Lailahaillallah Muhamadarrasulullah. Menariknya adalah apabila Sheikh mengupas konsep sebenar Syahadah daripada sudut perjanjian roh di alam arwah dan bagaimana ia terkait dengan perjalanan kita sendiri dalam mengenal diri dan Pencipta. 

Menurut rekod dalam kamera, gambar di atas diambil pada jam 3.04 pagi. Ini adalah sejurus sebelum kami masuk tidur di asrama sekolah pondok pada malam pertama. Ketika itu beberapa orang lagi kawan aktivis telah muncul untuk sama menimba ilmu di tempat tersebut. Sepanjang berada di situ kami bangun awal sebelum Subuh. Kami menerima limpahan ilmu secara terus daripada Sheikh setiap kali masuk ke rumah beliau untuk makan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, selepas jam 2 pagi gitu baru masuk tidur. Hal kami boleh disamakan seperti orang beruzlah sambil menerima ilmu. Begitu banyak perkara kami terima dalam tempoh 3 hari 3 malam sejak itu...


3 ulasan:

  1. Alhamdulillah ...ingatkan lama menyepi pasal sibuk shooting film....memang hubungan Patani Besar dengan kita adalah sangat rapat....teori saya,Patani Besar memang sengaja dirancang agar dipisahkan dari Semenanjung Melayu agar usaha untuk melemahkan Bangsa Melayu di kedua-dua belah bahagian mudah dilakukan...amat menyedihkan..

    BalasPadam
  2. Cerita pasal Tok Raja Bukit Betong, Tuan admin tahukan sejarah Tok Raja tu? Dia adalah Rajo Adat ditanah Rao(Rawa) yg kaya raya, beliau telah membeli Jelai(Lipis) dari Raja di Hilir Pahang dengan nilai 7 gantang baghdad wang emas dan 1 tandan kolang-kaling(bentuk buah kabong)Emas dan Raja dihilir pahang memjualnya dgn perjanjian dimana Tok Raja dihulu tetap patuh dan bernaung dibawah kerajaan pahang. Selepas kedatangan Tok Raja, beliau menjemput semua kaum Bangsawan Rao(rawa) untuk turut tinggal dan membuka tanah baharu dan beliau mentakbir Jelai(Lipis) kawasan nya meliputi sempadan Kole Semantan(Temerloh). Dari itu dtg lah segala org bangsawan Rao(Rawa) membuka tanah dihulu pahang, salah seorg nya adalah Tok Linggi yg membuka Sungai Sia, Relong, Gua Bama sehingga ke Bapong. Ikut salah silah Ibu saya adalah cucu cicit Tok Linggi dikeranakan jalur keturunan Arwah tok(perempuan) saya berhubung terus dengan Tok Linggi(makam tok linggi ada di Ulu Terikh di kawasan Kg. Relong. Jd semua org Relong, Gua Bama dan kawasan sekitar itu adalah Rao(Rawa). Datang pula seorg Raja Rao(Rawa) yg beliau membuka Temau, Dong, Smpai ke lembah budu yaitu Rajo Ibadah Rao(Rawa)dan salah seorg keturunan terus Rajo Ibadah adalah Tengku Ali(tok shahrom) jd hampir semua org Raub tu org rawa..disebalah Atok(lelaki) adalah cicit kepada Wan Halijah anak Tengku Ali(tok shahrom), Tengku Ali sblm menukar nama kepda Tok Shahrom adalah mengusahakan lombong2 emas di hulu pahang dan menjualnya kepada Tok Raja Bukit Betong. Apa hubung kait 2 Rajo Rao(rawa). Diranah Rao mereka mempunyai struktur 3 Rajo yg mane 3 rajo itu adik beradik. Jadi ia dipanggil Lareh Nan Batigo *Rajo Alam *Rajo Adet *Rajo Ibadah tiap2 Lareh punya kuaso yg sendiri tetapi Rajo Alam adalah raja yg bersemayam tetapi tidak bertahta. Maksudnya 3 lareh (Rajo) akan bermasyarat utk membuat keputusan atau hukuman. Akan tetapi apabila Rao diserang org Koto Sapuloh..Rajo Alam mula mendominasi dan menyebab kan Rajo Adet lari ke Jelai dan Rajo Ibadah dijemput sama membangun Hulu pahang yg telah dibeli. Semua ni adalah sumber dari kajian sy ke tanah Rao untuk membuktikan kisah turun temurun dari Atok sy. Ada hubung kait pulak bila knpa Atok sy Mengahwini Tok sy kern memang dari Tanah Rao(Rawa) keturunang bangsawan berkahwin dgn bangsawan sahaja.bnyk peninggalan kepada kami keturunannya antaranya Cindai 3 beradik, Keris Raja Alang Kuning(dulu seingat sy masa kecil keris ini stabil buatannya smpai blh berdiri dan disepoh emas) sy yg bertanggungjwb menjaga Keris tersebut dan 1 helai Cindai Betina, mak sy meyimpan Cindai Temu Benang dan Pakcik sy Cindai jundai..dari keturunan Rajo Ibadah. Krn dia menjaga hal agama diranah rao jadi semua keturunan seterusnya bergelar Tengku/Imam/Khatib(lelaki) Wan/Raden(perempuan) tetapi sejarah Imam Khatib Rasul Abdul Salam telah membuatkan mereka tidak lagi memakai gelaran kecuali segelintirnya. Begitulah yg saya ingt utk kongsikan pd admin. Dan admin ada sebut knpa keris Tok Raja Bukit Betong ada emas...krn memang 2 saudara tersebut Rajo Adet & Rajo Ibadah telah lama mewarisi kekayaan Rao(rawa) emas adalah tanda kebesaran mereka. Sehingga gigi juga dipakaikan emas..Atok & Tok sy memakai gigi Emas...sblm ke tanah suci dan meninggal mereka mencabutnya..

    BalasPadam