Selasa, September 13, 2016

Beruzlah ke Pantai Timur - Berbusana ke makam Tok Selehor dan Haji Abdul Malek

Hari ini, hari pertama daripada hari-hari Tasyrik (11, 12, 13 Zulhijjah) yang mana para jemaah haji di Mekah mula melontar batu ke arah Jamrah dengan niat mahu menghambat nafsu syaitan dalam diri eloklah disambung cerita perjalanan terbaru saya ke Pantai Timur baru-baru ini. Kalau ikutkan rancangan asal, 2 hari lepas iaitu pada hari wukuf di Arafah 9 Zulhijjah saya nak buat cerita sambungan... tapi tak dan kerana kepenatan akibat demam juga perjalanan balik kampung yang dibuat hari itu, Kemudian rancangnya nak buat pada hari semalam, hari perayaan Aidil Adha atau Raya Haji 10 Zulhijjah. Tapi tak dan juga disebabkan demam dan penat masih berpanjangan. Nampaknya ada sebab kenapa pagi ini baru dapat gerak yang lebih kukuh berserta sedikit kekuatan. Oleh itu biar disambung cerita daripada artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Melihat warisan Maharaja Perba Jelai...


Hari kedua perjalanan di Pantai Timur itu jatuh pada hari Rabu 31 Ogos 2016. Macam kena pula ceritanya dibuat pada hari ini Selasa 13 September 2016. Nampak tak hubungan 31 dengan 13? Nombor-nombor ini dan gabungan-gabungannya ada makna tersendiri buat saya dan isteri. 

Apapun pada tarikh 31 Ogos itu saya, sahabat yang ikut sama ke Kelantan dengan membawa 2 orang anaknya juga beberapa sahabat lain aktivis kedaulatan Melayu dan Islam sudah selamat berehat di sekolah pondok yang menjadi destinasi kami di Tumpat. Ini adalah gambar kereta-kereta kami di hadapan masjid sekolah, diambil pada pagi itu yang berkat. Jam kamera saya menunjukkan waktu 8,49 pagi.


Tentunya semua tahu pada pagi 31 Ogos rata-rata rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kebangsaan negara, juga dikenali sebagai Hari Kemerdekaan kita. Gambar ini diambil pada jam 11.22 pagi. Kami keluar untuk menziarahi beberapa tempat.





Tempat pertama adalah madrasah tradisional yang dikenali sebagai Pondok Tok Selehor.






Nama diberi sempena ulamak besar Kelantan, Tok Selehor yang dikatakan bertaraf wali, hidup sezaman dengan Tok Kenali iaitu separuh akhir abad ke-19 Masihi hingga separuh awal abad ke-20.


Oh, Kecuali Sheikh atau mudir sekolah pondok tempat kami menginap dan orang-orangnya, kami datang berbusana tradisional Melayu. Cerita tentang ulamak bertaraf wali yang disemadikan di sini pernah saya kongsikan melalui artikel bertajuk Tok Selehor pada tahun 2007. Pada tahun 2008 baru saya pertama kali sampai ke makam lalu cerita dikongsikan dalam artikel "Mematikan diri" di makam Tok Selehor....


Istimewanya tentang Tok Selehor dan sekolah pondoknya ini adalah berdekatan makam beliau ada sebuah lubang yang dibina khas untuk orang bersuluk mendapatkan pengalaman seperti berada di alam kubur. Lubang ini dikelilingi kubur-kubur sebenar dan parasnya sama seperti dalam kubur biasa orang Islam iaitu 6 kaki ke bawah tanah. Diceritakan bahawa Tok Selehor ada memberikan amalan-amalan tertentu untuk mereka yang sanggup dan layak bersuluk di dalam lubang ini. Apabila dilakukan dengan tertib caranya, insyaallah seseorang itu dapat merasakan pengalaman seperti betul-betul telah mati lalu disemadikan dalam liang lahad. Lalu muncul malaikat Munkar dan Nankir menanyakan soalan-soalan kubur dan perkara-perkara berkaitan. Lihat artikel Visiting tomb of Tok Selehor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Seterusnya kami dibawa ke Sungai Pinang di mana terdapat makam seorang ulamak lebih awal, katanya guru kepada Tok Selehor.


Yang ini saya tak tahu ceritanya langsung dan tak pernah dengar nama. Baru kali ini tahu, apabila diberitahu oleh Sheikh atau mudir sekolah pondok. Kami diberitahu bahawa ulamak ini namanya adalah Sheikh Abdul Malek. Cuma apabila mencari maklumat di Internet saya dapati bahawa beliau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Malek.


Gambar-gambar berkenaan telah diletakkan dalam artikel Makam (Tomb of) Haji Abdul Malek, Sungai Pinang, Tumpat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Ini adalah sedikit maklumat yang ditemui di Internet tentang beliau...


----------------


Haji Abdul Malek bin Hasan atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Malek Sungai Pinang merupakan salah seorang tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji Nik Mat Dagu dan Haji Ismail Pengkalan Paung. Merupakan rakan akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin ( Bilal Masjid Kayu Kota Bharu ).

Haji Abdul Malek bin Hasan dilahirkan pada tahun 1834 di Kg Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Pattani dan kota suci Makkah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim Al-Quran dan kitab Jawi. Selain mengajar al-Quran dan kitab Jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel utama yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh, hukuman ta'zir kepada orang yang tidak berpuasa (diarak keliling pekan) dan tidak menutup aurat (dilumur belakang).

Kebanyakkan murid-murid Tuan Guru Haji Abdul Malek diberkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.Antara murid-murid kenamaannya: Tok Jerulung @ Haji Mohd Said Muhammad, Haji Samad Hasan Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan Hilir, Haji Ismail Musa Temangan, Haji Wan Abdullah Kg.Chap/Sungai Pinang, Wak Haji Khatib Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @ Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji Mahmud Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong), Haji Mohd Akib Ismail Kg.Kelar, Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas, Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Osman (pensasas Pondok Selehong), Tuan Guru Haji Yusuff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Syeikh Osman Jalaluddin al-Kelantan)

Datuk kepada Dato' Dr.Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.


Berdoa di hadapan makam...


Bergambar beramai-ramai...



Kami kembali ke sekolah pondok tempat kami menginap sekitar jam 2 petang. Buat masa ini tak perlulah dinyatakan nama sekolah mahupun Sheikh atau mudirnya ya. Kelihatan sejumlah bendera negara Malaysia ada dipasang di beberapa tempat dalam kawasan sekolah. Ada le sedikit suasana sambutan Hari Kebangsaan walaupun mungkin tidak semeriah di luar.


Bukanlah kami tidak patriotik kurang mengambil tahu pasal Hari Kebangsaan, cuma tumpuan kami ketika itu lebih pada menuntut ilmu. Ini adalah gambar sebelum menikmati hidangan makan tengah hari walau sedikit lewat. Selepas makan kami dihidangkan pula dengan beberapa 'juadah pemikiran'.



Malam selepas Maghrib kami mendengar syarahan kitab yang diberikan kepada murid sekolah pondok.



Agak lewat malam iaitu sekitar jam 10,30 gitu baru Sheikh mengkhususkan masa lagi untuk kami. Biar dimaklumkan ilmu yang dikongsikan tak semuanya boleh disampaikan kepada umum. Kami ada disajikan dengan bab-bab keTuhanan yang boleh tahan sulit selain bab umum terutama melibatkan pemakaian busana tradisonal Melayu yang disertakan dengan dalil-dalil menyokong oleh ulamak-ulamak lama Melayu terutama dari belah Patani...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan