Isnin, Jun 13, 2016

Iftar KL 2016 - Menggamit silaturrahim perjuangan sambil disapa hujan Ramadhan

Salam 8 Ramadhan. Tiga hari lalu saya telah bercerita tentang hal berbuka puasa di masjid utama tengah bandar raya Kuala Lumpur. Lihat Berbuka puasa di Masjid Jamek Kuala Lumpur - Tentang nostalgia zaman lari rumah dan rasa keinsafan hidup di sekitar gelandangan.... Sekarang  biar kita bercerita tentang berbuka puasa di tempat berdekatan yang tidak kurang gahnya juga. Daripada fail petang semalam.


Petang Ahad 12 Jun 2016, hari ke-7 kita berpuasa bulan Ramadhan tahun ini, saya, isteri dan anak-anak bergegas ke jalan di antara Dataran Merdeka dengan Bangunan Sultan Abdul Samad untuk satu majlis berbuka puasa beramai-ramai yang terbuka kepada awam.


Majlis ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan puasa. Ia adalah edisi atau tahun kedua satu siri majlis yang dimulakan oleh JKKN, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tahun lepas. 


Kami sampai selepas jam 6.30 petang. Sepatutnya sudah ada tikar-tikar panjang terbentang sepanjang jalan untuk orang ramai mengambil tempat duduk bersama juadah percuma yang disediakan. Rujuk artikel-artikel lama Iftar KL 2015 dan Iftar KL 2015 - Geng busana beraksi beramai-ramai yang dipersembahkan setahun lalu.



Tetapi petang itu hujan asyik turun di merata tempat sekitar Lembah Klang. Kami dapat berjalan-jalan ini pun  setelah hujan cukup surut tapi masih tak henti lagi sebenarnya. Cuma tinggal gerimis yang tidaklah begitu mengancam. Dapatlah mengambil gambar bersama beberapa orang rakan aktivis busana tradisional Melayu yang sudah berjanji mahu berbuka sama pada acara yang dipanggil Iftar KL 2016 ini...


Namun Tora... oopps, hujan datang lagi kembali agak lebat.


Apabila hujan berterusan begitu sedangkan waktu berbuka semakin dekat hadirin pun diundang berlindung sambil mengambil tempat untuk berbuka puasa di bahagian serambi dan luar Bangunan Sultan Abdul Samad yang berbumbung. Sebahagian daripada kami memilih untuk duduk di hadapan pintu utama.


Kelihatannya majlis yang dirancang agak terganggu. Tapi kami tak kesah malah tetap senang hati. Ini kerana kami merasa sangat gembira dapat duduk bersama bersedia untuk berbuka puasa bersama ramai rakan seperjuangan.


Saya rasa tidak kurang 50 orang datang berbusana tradisional Melayu bersampin, bertanjak, berkeris dan sebagainya. Ini adalah kawan-kawan dalan dunia persilatan, kebudayaan dan para aktivis busana. Hal ini tidak kelihatan dalam gambar. Terlupa saya nak dapatkan gambar yang dapat menunjukkan betapa meriahnya kehadiran semua orang. Yang menarik ada kawan-kawan sanggup datang jauh dari negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Melaka untuk bersama. Kali terakhir kami berkumpul begini adalah pada program televisyen silat yang disiarkan oleh tv Alhijrah. Lihat artikel-artikel berikut :-







Bergambar bersama beberapa rakan seperjuangan berdekatan pintu masuk utama bangunan.


Sampai masanya, sekitar jam 7.24 kalau tak salah kami pun berbuka puasa.



Ini pula gambar di hadapan pintu masuk ke Dataran Underground, kompleks membeli-belah bawah tanah di bawah padang Dataran Merdeka.


Selepas puas makan kami menunaikan solat Maghrib di surau bawah sana. Selesai itu kami kembali ke jalan di hadapan Dataran Merdeka. Berhenti sat bergambar beramai-ramai berdekatan air pancut di sebelah tiang bendera tinggi dataran...


Ketika itu terasa seperti hujan sudah berhenti. Tapi kadangkala rasa gerimis halus pun ada.


Kami berjalan-jalan melihat keindahan malam sekitar acara Iftar KL 2016 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Maklumlah, bukan selalu dapat berkumpul beramai-ramai begini bersantai...









Ketika ini sudah tinggal separuh sahaja daripada kami yang masih berlegar-legar. Yang lain sudah balik awal.



Kemudian ada lagi yang perlu bergerak kerana ada urusan masing-masing. Tinggallah dalam 20 orang menyambung sembang minum teh tarik di sebuah restoran mamak...







3 ulasan:

  1. Salam Tuan Merah Silu,

    Gambar tuan iftar di sini ade keluar kat Hmetro online.

    Sekian,

    BalasPadam
  2. Wassalam. Ya ke? Alhamdulillah. Terima kasih kerana bagitahu... :]

    BalasPadam
  3. Assalamualaikun Tuan Merah Silu, pernah berkunjung ke kota lama duyung di Pulau Duyung, Kuala Terengganu? http://berbaloiditerengganukita.blogspot.my/2010/09/keunikan-kota-lama-duyong.html?m=1

    BalasPadam