Jumaat, Jun 10, 2016

Berbuka puasa di Masjid Jamek Kuala Lumpur - Tentang nostalgia zaman lari rumah dan rasa keinsafan hidup di sekitar gelandangan...

Ini kiranya bersambung daripada artikel Lambang-lambang pada bangunan Freemason di Bukit Jalil.


Siang tadi, Khamis 9 Jun 2016, hari ke-4 kita berpuasa bulan Ramadhan saya ke Bukit Jalil lagi untuk satu urusan. Seperti pada hari Isnin 3 hari sebelum itu saya singgah ke Masjid Jamek Kuala Lumpur pada waktu petang. Kelihatan ramai orang sedang beratur untuk mendapatkan juadah percuma bagi berbuka puasa.



Pada hari Isnin yang merupakan hari pertama kita berpuasa Ramadhan saya juga dapat melihat ramai orang datang mengambil juadah percuma.



Cuma ketika itu saya harus kembali berbuka puasa di rumah bersama isteri dan anak-anak memandangkan ia hari pertama berpuasa. Sejak itu saya menyimpan hajat untuk berbuka di Masjid Jamek KL. Bila dah kena keluar jauh dari rumah dengan Kuala Lumpur terletak di tengah (rumah saya jaraknya sekitar 54 km dari Bukit Jalil, kalau tiada hal di luar saya akan duduk di rumah kerana boleh buat kerja menggunakan laptop dan Internet), baru boleh menzahirkan hajat. Tiga hari kebelakangan dah berbuka puasa bersama isteri dan anak-anak, kali ini tak mengapalah berbuka di luar...


Saya tak ingat jika pernah berbuka puasa di masjid ini. Singgah bersolat tu boleh kata selalu bila masuk ke KL tapi berbuka puasa? Yang saya ingat kalau nak berbuka di masjid tengah KL saya selalu menuju ke Kampung Baru. Sebab ia sangat terkenal dengan bubur lambuknya...


Satu perkara yang istimewa tentang Masjid Jamek adalah kedudukannya di tengah pusat bandar raya KL yang asal iaitu di pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Klang, tempat yang menerbitkan nama Kuala Lumpur.


Ia juga dekat dengan Pasar Seni dan Pudu Raya di mana saya selalu melihat kehadiran ramai orang luar, dan sekarang ini ramai gelandangan,


Jadi bila masjid menawarkan juadah terbuka kita boleh agak yang ramai datang tu orang bagaimana. Bukan nak menghina atau memandang rendah. Tetapi sekadar memerhatikan dan merekodkan keadaan. Kalau pergi berbuka di kawasan mewah misalnya masjid di Bukit Damansara kita boleh nampak beza sangat keadaan orang yang datang berbuka puasa.


Mungkin sebab saya sendiri dah lama tak turun padang bergaul dengan masyarakat bawahan. Sambil duduk itu tiba-tiba timbul rasa terharu. Walaupun saya datang daripada lingkungan keluarga yang agak berada saya pernah beberapa kali hidup di tepian jalan terutama pada masa-masa lari daripada rumah akibat bergaduh dengan bapa yang sama-sama kepala panas baran.


Masa zaman saya selalu lari rumah tahun 1985 membawa ke awal 90an Kuala Lumpur belum ada atau belum banyak gelandangan. Yang selalu saya jumpa di tepian jalan misalnya di sekitar Pasar Seni, Kompleks Pudu Raya dan Chow Kit adalah orang-orang daripada luar seperti dari Kelantan, Terengganu dan sebagainya mengadu nasib di KL. Sempatlah bergaul dengan macam-macam orang termasuk kepala gangster juga seniman jalanan. Sempat merasa keluar dalam TV RTM tahun 90 ke 91 memetik gitar mengiringi lagu bersama beberapa orang kawan dari Pasar Seni mewakili masyarakat sealiran sebelum berlepas ke London untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti dalam bidang matematik tulen...


Semasa duduk beramai-ramai di Masjid Jamek KL menunggu waktu berbuka saya juga teringat zaman pernah cuba hidup gelandangan atau homeless di tengah kota London selama 3 bulan cuti musim panas tahun 1995. Selepas itu saya keluar mengembara pusing Eropah seorang diri selama sebulan dengan wang belanja yang sangat dhaif berbanding kebanyakan orang. Pernah juga timbul rasa nak pukul orang untuk dapatkan duit akibat kelaparan tapi alhamdulillah, saya dapat tahan. Sambil itu teringat juga zaman saya kurang belanja di universiti. Bila bulan puasa aje terus tuju masjid besar di taman bunga Regent's Park di pinggir pusat kota London... terasa keadaan saya ketika itu lebih kurang aje seperti masyarakat bawahan yang menunggu juadah percuma di Masjid Jamek KL.


Dah nak dekat berbuka puasa baru terfikir betapa beruntungnya kita dapat berbuka dengan juadah percuma yang cukup perisa, ada air putih, ada air sirap, kopi, apel, bubur lambuk, nasi berlauk dan sebagainya berbanding masyakarat Islam Palestin juga Syria dan lain-lain tempat yang sedang kacau bilau akibat perang dan sebagainya.


Kalau saya menurut cadangan seorang bapa saudara agar berbuka di masjid Bukit Damansara mungkin susah nak timbul rasa keinsafan begini. Bila duduk dalam kalangan orang kaya lain rasanya. Kalau pergi masjid Kampung Baru yang banyak dihadiri golongan pertengahan dan bawahan pun tak begini sebab jangkauan sosialnya tidak sama. Di Masjid Jamek KL, tempat Kuala Lumpur mendapat nama, yang kawasan sekitarnya, Pasir Seni, Puduraya dan sebagainya selalu menjadi tumpuan mana-mana orang baru datang ke KL untuk mengadu nasib lalu ada yang kemudian menjadi gelandangan kerana tidak cukup belanja untuk menyewa rumah waima sebuah bilik memang suasananya lain. 

Bila melihat perkara ini kembali setelah entah berapa lama, baru teringat kenapa dahulu saya agak selalu keluar berjalan kaki malam-malam seorang diri di tengah bandar raya KL, biasanya meliputi kawasan sekitar PWTC membawa ke Chow Kit turun ke Jalan TAR, Masjid India, Masjid Jamek, Pasar Seni, Pudu Raya membawa ke Bukit Bintang. Ia mengingatkan pada zaman-zaman remaja menentang arus zaman dalam kebingungan mencari makna hidup, diri dan erti. Sambil itu ia menginsafkan betapa ragam dunia ini berbagai-bagai. Sesekali kita perlu keluar untuk melihat dan merasainya sendiri. Sesekali, kita perlu lari daripada kepompong kebiasaan hidup lebih selesa yang boleh membawa kealpaan...


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum wbt Tuan, Semoga hari2 yg Tuan lalui sentiasa dibawah naungan kasih sayang Allah SWT..semoga suatu hati nanti kita akan dapat bertemu..kerana seperti laluannya makin terbuka

    BalasPadam
  2. Wassalam. Terima kasih atas kata2 doa kebaikan itu. Insyaallah, amin...

    BalasPadam