Salam semua. Adapun pada awal artikel Car Book Sale dan acara Singgah Santai di Perpustakaan Negara yang dipersembahkan Ahad lalu ada disebut tentang perjalanan 3 hari 3 malam yang dibuat di Pahang baru-baru ini. Sekarang boleh dimulakan cerita perjalanan. Turut diceritakan sebab musabab perjalanan dibuat. Sesungguhnya banyak perkara yang tak disangka terlibat untuk membawa kepada pengembaraan kali ini.
Perjalanan dimulakan Selasa malam 10 Mei 2016 atas beberapa sebab. Antaranya adalah pertemuan dengan beberapa orang kawan lama satu kolej yang diadakan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Dalam pertemuan seorang kawan bertanya tentang buku terbaru saya yang baru sahaja keluar dari kilang petang Khamis sebelum itu lalu mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa KL 2016 keesokan harinya. Lihat artikel Mengambil berkat 1 Syaaban menelusuri jejak leluhur di Pesta Buku KL 2016 dan Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi.
Nasib baik ada sejumlah naskah percuma yang diterima ketika bertandang di pesta buku Ahad 2 hari sebelum itu. Terus beberapa naskah dibeli oleh kawan walhal tak terfikir pun untuk menjual buku ketika itu. Apapun, saya juga ada membawa beberapa buah lagi naskah dalam kereta, naskah-naskah yang diambil di stor penerbit iaitu Hijjaz Record Publishing (HRP) di Kota Damansara petang Selasa itu. Asalnya memang tidak bercadang untuk menjual walau senaskah pun buku terbaru ini. Saya mahu membiarkan sahaja penerbit melakukan semuanya. Tetapi apabila mendapat panggilan daripada pihak Perpustakaan Negara agar menyertai acara Car Book Sale yang mahu diadakan pada hari Sabtu 14 Mei, saya merasakan perlu mendapatkan stok buku. Kalau tidak cuma ada 3 tajuk dalam simpanan di rumah. Tak bestlah pergi buat jualan umum berbekalkan 3 tajuk buku sahaja...
Kalau ikutkan sudah malas hendak menyertai acara Car Book Sale atau mana-mana acara seumpama itu Dah malas hendak menjual buku. Saya mahu memberikan tumpuan penuh kepada penulisan dan beberapa hal lain, antaranya projek dokumentari"Daulah Melayu" dan aktiviti busana dan kedaulatan Melayu. Tetapi bila mengingatkan bahawa perpustakaan telah banyak kali menghubungi untuk mengajak menyertai acara Car Book Sale dan saya sudah menolak beberapa kali kerana komitmen lain (selain dah malas nak buat jualan umum) saya pun bersetuju. Kebetulan Selasa itu ada mesyuarat produksi "Daulah Melayu" di pejabat kami di Kota Damanasara, mesyuarat yang diadakan 2 minggu sekali. Pejabat dan stor HRP pula tak jauh dah daripada pejabat "Daulah Melayu". Tu yang sekali keluar ambik stok buku.
Sesungguhnya banyak perkara yang kelihatan tidak terkait seperti 'berkonspirasi' untuk membentuk perjalanan ke Pahang kali ini. Pada asasnya, perjalanan dibuat kerana menerima undangan untuk menghadiri satu seminar di Kuala Lipis yang dijadualkan berlangsung pagi Khamis 12 Mei. Kalau ikutkan mood saya ketika itu malas nak berjalan kecuali di sekitar Lembah Klang. Tetapi apabila terlihat nama seorang cendekiawan besar yang saya anggap sebagai guru dalam kajian sejarah tersenarai sebagai pembentang utama saya pun bersetuju.
Pun begitu, saya asalnya bercadang mahu bertolak ke Pahang pada tengah hari Rabu 11 Mei. Tapi nak dijadikan cerita, selepas kali terakhir ke Kota Damansara untuk mesyuarat "Daulah Melayu" iaitu 2 minggu sebelum perjalanan saya ada singgah di rumah kawan yang kelihatan dalam gambar paling atas. Letaknya di Taman Tun, tidak jauh dari pejabat Daulah. Saya mahu mengajaknya pergi ke sesi rakaman episod ke-10 Akademi Silat Pendekar Muda pada malam itu dengan menaiki satu kereta. Lihat Membawa Daulah Melayu dan HIKMAH ke Akademi Silat.
Sebelum berlepas ke tempat rakaman, saya ada menumpang mandi dan bersolat di rumahnya. Tengok-tengok dah tertinggal tuala kat rumah tu. Jadi bila nak datang lagi ke Kota Damansara untuk mesyuarat produksi Selasa lepas saya pun merancang ke Taman Tun untuk mengambil tuala. Dah alang-alang nak ke sana ajak juga beberapa orang kawan lama untuk bertemu minum teh tarik sambil lepak-lepak bercerita. Mereka bersetuju tetapi kena tunggu jam 9 malam baru dapat berkumpul kerana sebelum itu masing-masing ada kerja...
Apabila isteri mendapat tahu saya mahu bertemu kawan-kawan lama jam 9 malam beliau mencadangkan agar terus bermalam di rumah kawan. Dia tahu kalau dah berjumpa kawan tu mahu sejam dua kami akan berborak bercerita macam-macam. Kami pun jarang berjumpa dan isteri tahu saya juga perlukan masa sesekali menjadi seperti orang bujang. Jadi tak payahlah susah-susah memandu lebih 40 km untuk balik ke rumah lewat malam sedangkan esoknya tengah hari Rabu saya harus memandu lebih 40 km lagi dari rumah ke KL sebelum dapat menghala ke Pahang.
Kebetulan pula ketika itu saya sudah berkira-kira mahu berada di Pahang sehingga hari Jumaat. Ini kerana apabila melihat laluan yang boleh diambil untuk sampai ke Kuala Lipis teringat tentang Pulau Tawar di Jerantut lalu timbul rasa ingin bermalam Jumaat di masjid lama di sana. Kebetulan juga sejak seminggu dua kebelakangan itu ada terfikir hendak berjalan-jalan melihat aliran air Sungai Pahang. Ini kerana sebelum itu sering terlihat gambar-gambar di Facebook menunjukkan sungai kering kontang di beberapa tempat akibat musim kemarau yang melanda kawasan 2-3 bulan kebelakangan.
Semua hal yang disebut ini akhirnya membawa saya untuk bergerak ke Pahang sekitar jam 11.30 malam iaitu selepas puas berborak lama dengan kawan-kawan lama di Taman Tun Selasa malam Rabu. Sebelum itu saya sudah memikirkan hendak menginap Rabu malam Khamis di masjid lama di Kuala Lipis, Khamis malam Jumaat di Pulau Tawar. Bila isteri dah cadangkan agar bermalam di rumah kawan pada Selasa malam Rabu saya fikir lebih elok malam itu juga menginap di sebuah surau atau masjid di Pahang, Cantik le rupa, 3 malam di 3 buah masjid/surau di Pahang bukan?
Itu yang sanggup meredah hujan lebat melalui Lebuh Raya Karak yang berliku-liku memandu seorang diri lewat malam walaupun badan dah penat dan mata asyik nak terlelap. Alhamdulillah, saya dapat bertahan sehingga ditemukan satu tempat yang sesuai untuk beriktikaf. Di atas kelihatan gambar di tempat tersebut ketika waktu Subuh. Lihat artikel Surau (Small praying hall of) Kampung Gemeti, Bentong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan