Merujuk pada artikel Hang Tuah dan Ekspo Buku di PWTC yang dipersembahkan pagi tadi. Sekarang biarlah diceritakan apa yang berlaku sebelum itu.
Melalui Facebook saya dapat tahu tentang wacana ilmu terbaru di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tajuk yang diberikan sangat menarik. Seingat saya, sejak rajin menghadiri wacana-wacana ilmu yang dibuka kepada umum di universiti-universiti juga institusi-institusi seperti muzium, perpustakaan dan arkib inilah kali pertama tajuk sebegini diketengahkan.
Petang Jumaat 28 November 2015 saya pun bergegas ke tempat acara. Nampaknya ramai orang tertarik sama.
Kelihatan pembentang, Dr Azharudin yang merupakan pensyarah kanan jabatan sedang menerangkan topik-topik dalam pembentangan. Memandangkan gambar slaid agak kabur, saya tulis di bawah untuk memudahkan bacaan. Topik-topiknya adalah seperti berikut :-
Bahagian 1 : Pengenalan mengenai ulasan literatur serta latar belakang kajian
Bahagian 2 : Karisma harimau dan kewujudannya
Bahagian 3 : Mitos dan mistik
Bahagian 4 : Ilmu harimau, harimau jadian dan harimau keramat
Bahagian 5 : Memburu harimau
Bahagian 6 : Harimau Terengganu (pada slaid ini ditulis sebagai Bahagian 5 juga seperti di atas. Nampaknya ia kesilapan typo, maka saya betulkan menjadi Bahagian 6 lalu diikuti Bahagian 7 di bawah)
Bahagian 7 : Kesimpulan dan slides
Untuk menangani subjek yang menarik ini Azharudin telah membuat rujukan di merata Semenanjung Malaysia juga Indonesia terutama di Pulau Sumatera dan Jawa. Slaid atas menunjukkan acara yang dipanggil sebagai Sima-Maesa di Jawa. Ia merupakan acara di mana harimau dilawankan dengan kerbau. Secara rata beliau mahu menunjukkan bagaimana harimau dijadikan simbol keperkasaan pelbagai masyarakat di Alam Melayu. Hal ini disedari para pengkaji Barat yang ramai datang bersama penjajahan lalu ramai merekodkannya dalam tulisan masing. Tulisan-tulisan ini pula menjadi asas untuk orang lain memanjangkan kajian. Maka dapatlah sumber-sumber rujukan seperi berikut :-
Frontiers of Fear : Tiger and People in the Malay World 1600-1950 oleh Peter Boomgaard terbitanYale University Press
The Soul of Ambiguity : The Tiger in the Southeast Asia oleh Robert Wessing (1986)
Soul of the Tiger oleh Jeffrey A. McNeely dan Paul Spencer (1991)
OK. Walaupun diberitahu bahawa pembentangan dibahagikan kepada 7 bahagian seperti disebut pada slaid pertama saya tidak akan bercerita mengikut turutan bahagian. Saya lebih selesa bercerita menurut turutan slaid yang saya sempat atau tergerak untuk ambil gambar. Oleh kerana saya duduk jauh paling belakang, susah nak dapat gambar terang. Tapi saya cuba terangkan sebaik mungkin, ringkas apabila perlu (atau malas hendak bercerita panjang) asal boleh difahami ya.
Kelihatan Azharudin menunjukkan lambang yang dipanggil Kayon/ Gunungan. Ini melambangkan kosmologi alam masyarakat Melayu terutama di Jawa. Gunungan merujuk pada gunung melambangkan bentuk hierarki masyarakat dan kefahaman masyarakat di mana puncak adalah tingkat tertinggi. Apabila diletakkan dalam persembahan seni seperti wayang kulit di Jawa, ia dipanggil Kayon. Pada lambang ini kelihatan ada harimau di kiri kanan. Ia melambangkan semangat yang kuat membara, ingin meningkat ke atas. Ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan harimau dalam falsafah kehidupan masyarakat. Ia juga menunjukkan karisma harimau yang tinggi berbanding binatang-binatang lain di Alam Melayu/Nusantara.
Gambar harimau dikandar setelah ditangkap. Terlupa pula saya apakah sudah dibunuh. Nasib baik setiap hadirin diberikan satu salinan kertas kerja. Di bawah sub-topik "Karisma Harimau" diceritakan bagaimana harimau adalah antara haiwan yang paling dikagumi masyarakat dunia kerana keberaniannya dan ditakuti kerana kebuasannya. Namun ini juga menjadi sebab ia diburu oleh pelbagai pihak.
Selain India, cuma Alam Melayu memiliki jumlah harimau yang signifikan. Pada zaman sebelum penjajah Barat masuk, masyarakat tempatan terutama golongan bangsawan ada memburu harimau tetapi untuk keperluan tertentu seperti upacara adat. Selain itu kalau terbukti ada harimau membuat kacau sehingga selalu mengancam manusia baru ia diburu. Kalau tidak ia dibiarkan sahaja, tidak dikacau. Apabila Barat masuk, memburu harimau menjadi satu macam sukan atau kesukaan demi menunjukkan kehebatan seorang pemburu. Lagi banyak harimau dapat dibunuh, lagi hebat seseorang itu. Ini menjadi asbab kepada menurunnya secara drastik jumlah harimau pada zaman moden.
Pembentangan mula memasuki bab mitos dan mistik apabila harimau jadian disentuh. Ini adalah kisah manusia yang boleh bertukar menjadi harimau, satu cerita yang saya rasa ramai pernah dengar melibatkan orang Kerinchi di/dari Sumatera. Azharudin memberitahu bahawa di Kerinchi pun sebenarnya cuma daerah tertentu sahaja terkenal dengan orang boleh bertukar menjadi harimau. Mereka dipanggil sebagai Chenaku. Dikatakan kebolehan ini boleh diwarisi melalui keturunan.
Di atas adalah gambar tentang harimau jadian di Ulu Kelantan. Rupa-rupanya di Semenanjung Malaysia juga ada beberapa kejadian serupa dan ini direkodkan oleh pegawai British seperti W. W. Skeat dan C. O. Blagden. Mereka juga ada menyebut tentang harimau jadian Kerinchi. Hal sama turut disebut T. J. Newbold dan George Maxwell.
OK. Saya tidak mahu menulis panjang lagi. Maka cukuplah ditambah bab harimau keramat iaitu harimau yang boleh ghaib lalu muncul tiba-tiba untuk menjaga satu kawasan termasuk makam orang tertentu turut diceritakan dalam pembentangan ini. Secara rata, aspek mitos dan mistik melalui cerita-cerita rakyat cuba diselaraskan dan aspek-aspek nyata. Sebab itu tajuk seperti Harimau Terengganu disebut. Ia malah menjadi tajuk buku berbahasa Inggeris, The Tigers of Terengganu yang ditulis oleh A. Locker, pegawai daerah Kemaman 1949-1951.
Turut disebut adalah 4 orang watak yang dikenali sebagai Harimau Malaya dalam sejarah tanah air kita. Seorang daripadanya adalah Tengku Mahyuddin, seorang kerabat diraja Patani yang pernah menjadi komando di bawah pasukan gerak khas Force 136.
Disentuh juga tentang harimau dijadikan lambang dalam bendera, jata negeri/negara, institusi dan sebagainya. Cukuplah perkongsian daripada saya...