Khamis, November 26, 2015

Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel

Salam malam Jumaat. Adapun tarikh hari ini 26 November 2015 adalah ulang tahun kelahiran saya yang ke-45 menurut kiraan Barat. Kalau menurut kiraan Islam saya sudah masuk umur 46 tahun hampir 5 bulan lalu. Sementara masih ada lagi sisa 26 November ini ingin saya menamatkan siri Daulah Melayu di Jawa Timur. Oleh itu biar disambung cerita daripada Daulah Melayu di Jawa Timur - Daripada Sayyid Jamadil Kubro ke Maulana Malik Ibrahim.


Isnin 26 Oktober 2015 iaitu tepat sebulan lalu. Kami telah bersiap untuk menyambung kerja seawal jam 5 pagi waktu tempatan.


Keadaan ketika itu lebih kurang seperti jam 7 pagi di Semenanjung Malaysia. Lihat sahaja pemandangan sekitar yang diambil daripada tempat kami menginap di tengah kota Grisek. Lihat artikel Views of Gresik from a local hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Ia adalah hari terakhir penggambaran dalam perjalanan di Jawa Timur ini. Kami mahu memanfaatkan waktu yang tinggal sebaik mungkin lalu keluar meninggalkan hotel  sebelum jam 5.20 pagi.


Terus ke kompleks makam Sunan Giri di Giri, sekitar 3 km di luar Gresik. Tentang siapa itu Sunan Giri tak perlulah dipanjangkan ya. Ini adalah nama yang sangat besar dalam kalangan para Wali Songo.


Selepas bersarapan di warung berdekatan penggambaran pun dimulakan.



Peta tempat-tempat menarik melibatkan Sunan Giri, keluarga dan keturunan. Hampir semua tempat yang tertera sudah saya singgahi dalam perjalanan bersama keluarga lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Dari Giri ke makam Sunan Drajat dan Sunan Bonang.


Untuk pengetahuan Giri adalah salah satu tempat dalam kabupaten (daerah) Grisek. Ada beberapa tempat menarik dalam lingkungan yang dinyatakan dalam peta ini. 



Penggambaran diteruskan dalam kompleks makam yang terletak di puncak bukit.


Dahulu, kawasan yang kelihatan rata-rata terletak di bawah panas terik matahari. Sekarang semuanya sudah dilindungi bumbung. Lihat artikel Rupa baru makam Sunan Giri (New look of the tomb of Sunan Giri) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selesai urusan di Giri kami bercadang mahu ke makam Fatimah binti Maimun yang dikatakan datang berdakwah ke Pulau Jawa hampir 1,000 tahun lalu. Namun pemandu tidak tahu jalan lalu membawa kami kembali ke tengah kota Grisek untuk bertanyakan arah. Terlihat pula makam ini lalu saya  pun singgah. Lihat Makam (Tomb of) Raden Santri.


Sebetulnya pintu gerbang makam sudah saya lihat malam sebelumnya. Kedudukannya sangat dekat dengan hotel tempat kami menginap malam itu. Tetapi ia sedang terkunci, begitu juga keadaannya ketika kami lalu di hadapan dalam perjalanan ke Giri pagi keesokannya. Disebabkan makam ini tidak masuk dalam penggambaran (dan saya pun baru tahu kewujudannya malam itu), terpaksalah ziarah dilupakan kerana harus mengejar apa yang dirancang. 

Siapa sangka, disebabkan pemandu tidak tahu arah ke makam Fatimah binti Maimun saya dapat masuk ke dalam? Siapa sangka, pemandu boleh memberhentikan kereta  tak sampai 20 meter di hadapan pintu makam Raden Santri? Sedangkan dia berbuat begitu semata-mata untuk bertanya orang arah ke makam Fatimah. Dan ketika itu pintu pula sudah dibuka kerana dah hampir tengah hari. Terasa seolah-olah Raden Santri sendiri memanggil agar saya tidak merasa terkilan tidak sempat menziarahinya. 


Sepatutnya dari Giri kami boleh mengambil jalan potong ke makam Fatimah di Leran. Sebetulnya pemandu boleh bertanya pada orang di Giri tapi tak berfikir langsung kerana dia sendiri baru mendengar tentang kewujudannya, tidak tahu di daerah atau kawasan mana makam terletak. Bila dah kembali ke tengah kota Grisek iaitu pada arah yang berlawanan kami sudah kerugian banyak masa dan jarak. Kalau nak ke Leran harus keluar balik jauh sedang daripada Grisek dah boleh memotong pula ke destinasi kami seterusnya iaitu Ampel di pinggir utara Surabaya. Memandangkan sudah kesuntukan masa, tim kami memutuskan untuk terus aje ke sana...


Sebaik sahaja sampai, kereta berhenti di hadapan kedai nombor 131. Ini adalah nombor yang membawa makna home sweet home buat saya dan isteri. Adapun kawasan Ampel ini terkenal dengan makam Sunan Ampel, seorang pemimpin besar jemaah Wali Songo. Saya pula baru dapat tahu dalam tempoh sehari dua itu bahawa Sunan Ampel memiliki abang yang dikenali sebagai Raden Santri. Macam ada sesuatu yang tersirat nampaknya...


Penggambaran dimulakan daripada pintu lorong masuk ke Masjid Ampel.



Masuk ke lorong.



Sambung ke masjid. Sampai masa untuk menyelesaikan sesuatu yang agak tergantung daripada lebih 3 tahun lalu...


Adapun dalam perjalanan tahun 2012 saya dan keluarga tidak sempat masuk ke masjid kerana ia cuma dibuka pada waktu solat wajib. Kami sampai pada waktu lain, tidak dapat menunggu kerana ada banyak tempat perlu dikejar. Alhamdulillah, kali ini baru dapat masuk ke dalam, sempat bersolat jemaah Zohor di sana. Lihat Di dalam Masjid Sunan Ampel (Inside mosque of Sunan Ampel)



Lebih menarik lagi, dengan pertolongan dan lesen besar yang diberikan seorang waris keturunan Sunan Ampel yang memegang kedudukan tinggi di masjid dan kompleks makam tim kami ditunjukkan hal-hal yang katanya belum pernah ditunjukkan kepada krew penggambaran lain walau dari Indonesia. Ini menurut kata 4 orang krew upahan yang datang membantu dari Jakarta. Dapatlah kami melepasi batas orang awam dalam mendekati makam. Lihat Pandangan dekat makam Sunan Ampel (Closer look at the tomb of Sunan Ampel).



Kami selesai penggambaran sekitar jam 2 petang. Atas cadangan krew tempatan, terus berkejar untuk makan tengah hari istimewa iaitu satay kelapa di kedai yang kelihatan.


Kami mula makan hampir jam 2.30. Ini bersamaan jam 3.30 petang di Malaysia sedangkan kalau menurut turun naik matahari, tinggal tak sampai 10 minit aje lagi dah nak masuk waktu Asar di Surabaya., Ini disebabkan kedudukannya yang lebih jauh ke timur berbanding Malaysia. 


Adapun kami (yang dari Malaysia) dijadualkan bertolak kembali ke tanah air dengan pesawat jam 6.25 petang. Kami harus sampai ke lapangan terbang paling lewat sejam sebelum itu. Selepas makan kami pun bergerak melepasi pusat kota Surabaya menghala ke lapangan di selatan. Kelihatan tugu yang membayangkan asal usul nama kota iaitu ikan Sura (yu/jerung) berlawan dengan Baya (buaya)...





Kami sampai ke lapangan terbang sebelum jam 4.30 petang. Makan masa setengah jam lagi di luar untuk packing barangan penggambaran yang dibawa dari Malaysia.


Selepas siap segalanya kami pun berpisah dengan krew tempatan juga pemandu dan kenalan-kenalan baru yang membantu. Masuk waktunya sampailah masa untuk menaiki pesawat. Selesailah cerita perjalanan penggambaran pertama tim Daulah Melayu di luar negara. Harap apa yang diceritakan ini cukup untuk membayangkan usaha kami dalam menjayakan projek dokumentari ini. Untuk butiran dan maklumat yang lebih menarik tunggu ceritanya keluar nanti ya. Untuk pengetahuan ada banyak lagi penggambaran perlu dilakukan sebelum dokumentari dapat disajikan kepada umum. Harap dapat bersabar dan terus ikuti perkembangan kami, salah satunya melalui lama Facebook rasmi kami di sini.



2 ulasan: