Adapun pada malam sebelum menghadiri wawancara di RTM saya terlihat pengumuman di atas terpapar dalam update seorang sahabat di Facebook.
Selesai wawancara pagi Sabtu saya dan isteri pun berkejar ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ilmu diadakan di bilik mesyuarat tingkat 29 dan kami sampai sekitar jam 10.09.
Inilah kali pertama saya menghadiri perkongsian ilmu oleh Profesor Madya Dr Pisol. Nampaknya beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang ilmu-ilmu falsafah Barat termasuk dari Yunani purba.
Saya dapat mengikut dengan baik kerana dahulu pernah berminat dan mengikuti dengan tekun bidang ilmu ini melalui pembacaan penulisan para pemikir Barat purba seperti Plato dan Socrates juga pemikir lebih moden seperti Descartes dan Nietzche. Kemudian saya mula mengkaji falsafah kebatinan Islam melalui kitab-kitab Tasawuf yang diterjemahkan oleh para cendekiawan Barat (yang sebenarnya Orientalis) seperti A.J. Arberry dan R A Nicholson. Setelah beberapa lama bergelumang dalam dunia pemikiran sebegini saya meninggalkan segalanya untuk melangkah masuk ke dalam dunia pengalaman sebenar. Ini kerana ia memerlukan saya untuk mengosongkan kembali cawan yang disangka penuh (empty the cup that is full, meminjam ungkapan daripada falsafah Zen kalau tak salah tetapi telah diInggeriskan) demi mengalami perkara-perkara yang selama ini cuma dapat difahami secara teori. Bermulalah penerokaan peribadi melibatkan hal-hal ghaib juga mencarik adat.
Berbalik pada wacana ilmu di DBP. Sudah disebut dalam artikel
Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1 bahawa saya tertinggal bateri kameri di rumah lalu tidak dapat menggunakan kamera. Nak tak nak saya cuma dapat mengambil gambart menggunakan telefon bimbit sedangkan hasilnya tidak sebaik menggunakan kamera. Ini amat mengganggu kebiasaan saya yang suka merakam keadaan suatu majlis sebanyak mana yang munasabah. Setelah beberapa minit saya berhenti mengambil gambar lalu memberikan tumpuan penuh pada wacana.
Begitu banyak ilmu dikongsikan oleh Pisol. Seharusnya lebih ramai anak Melayu yang sayangkan dunia pemikiran dapat bersama mengambil faedah daripada wacana ini. Selari dengan tajuk iaitu "Falsafah Yunani Dalam Sains Orang Melayu dengan Merujuk kepada Kitab Bustan as-Salatin" pengkhususan diberikan kepada kitab besar Melayu tersebut yang ditulis Sheikh Nuruddin ar-Raniri, ulamak besar Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani (1636-1641) Masihi. Kitab itu sendiri merangkumi amat banyak perkara, Kata Pisol ada 7 jilid yang kalau dihimpitkan antara satu sama lain harus tebal lebih sehasta (perkataan saya sendiri ini, beliau setakat mendepakan tangan untuk menunjukkan ketebalan koleksi penuh kitab asal). Maka itu wacana cuma mengkhususkan pada satu bab iaitu At-Tib (begitulah saya dengar bunyinya) iaitu tentang perubatan.
Saya rasa tak perlulah dipanjangkan perkongsian. Cukuplah ringkasan tentang wacana yang saya temui dalam FB dikongsikan dengan sedikit suntingan di bawah...
Falsafah Yunani Dalam Sains Orang Melayu dengan Merujuk kepada Kitab Bustan as-Salatin
Oleh : Dr. Pisol bin Maidin. ( UiTM )
Muqaddimah
1. Apakah falsafah?
~ Kecintaan kepada hikmah. (philo + sofia)
~ Ada banyak kategori falsafah.
~ Pertanyaan-pertanyaan tentag alam, etika, astrologi dan lain-lain menjadikan ilmu falsafah disusun.
~ Wujud dikotomi antara falsafah Barat dan Islam.
~ Falsafah dalam Islam = Tasawwuf ( falsafah etika ).
~ Friedrich Nietzche ( 1844-1900 ) berpegang dengan prinsip "Gott ist tot" = Tuhan itu mati.
~ Penglibatan Nazi Jerman ( Hitler ) dlm Perang Dunia Kedua dipengaruhi oleh falsafah Nietzche.
~ Perkataan 'Superman' berasal daripada konsep yang dibawa Nietzche.
2. Kepentingan falsafah
~ Tahafut al-Falasifah vs Tahafut at-Tahafut.
~ Imam al-Ghazali hanya kritik konsep ketuhanan dalam falsafah sahajam bukan tolak falsafah secara penuh. Sebab dalam ketuhanan sudah ada dalil naqli dan aqli. Jadi tak perlu falsafah untuk faham konsep ketuhanan.
3. TESIS : Sains orang Melayu atau sains Melayonesia ini berkembang daripada satu landasan falsafah tradisional tertentu dan mempunyai kaitan dalam jaringan keilmuan dunia.
Maknanya : Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada tamadun dunia.
4. Ciri-ciri Sains Melayonesia :
- Dalam bahasa Melayu.
- Berlandaskan falsafah Melayu.
5. Kitab Bustan as-Salatin ditulis oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri pada abad ke-17 M.
6. Wujudkah falsafah Yunani dalam Sains Melayunesia?
~ Kosmologi Aristotle bahawa alam terdiri daripada unsur api, angin, air dan tanah.
~ Idea ini bertapak dalam teks-teks bertulis awal seperti kitab Taj as-Salatin.
7. Daripada falsafah Spekulatif menjadi Sains yang Emperis.
~ Kosmologi Aristotle menjadi asas taakulan bahawa semua jasad akan mempunyai sifat alami yang khusus iaitu sifat hangat, basah, kering atau sejuk dalam perkadaran tertentu.
~ Unsur alam ini diwakili oleh humor/cairan tertentu dlm badan sesuai dengan idea bahawa manusia adalah mikrokosmos manakala alam adalah makrokosmos.
~ Keseimbangan tabiat alam dalam humor menentukan sama ada seseorang itu sihat atau sakit.
8. Patologi Humoral dalam Bustan as-Salatin.
~ Keseimbangan humor dalam badan menentukan kesihatan badan.
9. Tapisan dan Ubahsuai Falsafah Luar.
~ Galenisme yang diterima dalam doktrin perubatan Melayu telah mengalami ubah suai.
~ Galenisme Melayu menekankan kepentingan diet. Galenisme Yunani menekankan pengambilan ubat.
~ Susur galur ilmu perubatan Melayu :
Hippocrates > Galen > Galenisme + Tibb Nabawi = Ilmu Perubatan Melayu.
10. Bustan as-Salatin: Sains yang Rasional dan Saintifik.
~ Ilmu perubatan Melayu mengandungi huraian rasional.
Kesimpulan
* Manuskrip Melayu menyimpan khazanah sains Malayonesia yang sangat bernilai dan memerlukan penerokaan dan kajian lanjut.
* Sains Malayonesia kini di ambang kepupusan atau dilupakan.