Adus. Susah sungguh hendak memulakan penulisan kali ini. Tapi nak tak nak kena gak selesaikan, kalau tidak banyak kerja boleh tersangkut. Pada artikel Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti" yang ditulis semalam ada disebut 2-3 hari kebelakangan berlaku beberapa aktiviti yang patut dikongsikan dalam blogspot. Sekarang ini dah jadi 4-5 hari kebelakangan. Kita mulakan.
Beberapa hari lepas saya mendapat tahu melalui Facebook ada perkongsian ilmu menarik akan dilaksanakan di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam pada hari Khamis 17 September 2015.
Sampai waktunya saya pun bergegas ke tempat.
Cuma disebabkan ada urusan tertentu di Bukit Jelutong, saya sampai ke dewan sekitar sejam lewat.
Namun saya diberitahu pembentang pertama dan utama, Profesor Thuy Chanthourn dari Cambodia baru sahaja memulakan syarahan sekitar beberapa minit. Yang saya betul-betul terlepas adalah kata-kata pengenalan dan pembukaan daripada Prof Madya Dr Wan Salleh Wan Ibrahim daripada FSPU (Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur), UiTM.
Tajuk utama syarahan adalah berkenaan tamadun Angkor.
Ia dipercayai bercambah daripada tamadun kerajaan Chenla yang telah mengambil-alih kekuasaan Empayar Funan ke atas sebahagian besar wilayah Indo-China bermula pertengahan abad ke-6 Masihi.
Kami pun dibawa menelusuri tinggalan kerajaan Angkor. Kerajaan ini juga dikenali sebagai Empayar Khmer.
Tentunya ramai pernah mendengar tentang kuil Angkor Wat yang dipercayai dibina pada abad ke-12 Masihi.
Namun menurut Thuy, Angkot Wat sebenarnya satu bahagian kecil daripada kompleks bandar raya ibadat yang mengandungi tidak kurang 300 buah kuil kecil besar!
Ditunjukkan di sini peta sistem jalan raya purba Angkor yang menjangkau jarak ratusan kilometer. Sebahagian daripada sistem ini masih utuh sehingga jalan raya dan jambatan purbanya mampu menampung kegunaan kenderaan berat seperti kereta kebal hinggalah sekarang.
Peta kompleks bandar raya ibadat yang pernah menjadi pusat ketamadunan Angkor/Khmer. Nampak kota kecil di tengah> Di dalam kawasan kotak sebesar 1.5 km x 1.5 km (ke 1.5 km x 1.8 km? Dah terlupa pula) itulah etaknya Angkor Wat. Sedangkan ada kawasan kuil lebih besar misalnya yang diwarnakan hijau ke utara.
Daripada hal-hal melibatkan seni bina Angkor, Thuy mula mengalihkan perhatian kepada perusahaan besi purba.
Katanya, Cambodia pernah membuka beberapa kawasan untuk dijadikan lebuh raya tahun 2010 tetapi bertemu kesan-kesan yang menunjukkan pernah terdapat perusahaan besi purba di sekitar itu.
Hal ini menyebabkan kerja-kerja membuat lebuh raya dihentikan atas perintah pihak tertinggi kerajaan. Kerja-kerja cari gali arkeologi pula menjadi ganti.
Sampel barangan daripada beberapa tempat telah dihantar ke makmal luar negara pada tahun 2013 untuk dikenalpasti umur dan zaman. Satu sampel rosak kerana pernah berlaku kebakaran hutan di sekitar menyebabkan pembacaan makmal memberikan umur sampel cuma 8 tahun. Apapun, secara rata, sampel-sampel ini memberikan gambaran bahawa perusahaan besi purba telah wujud di Angkor/Khmer sejak abad ke-8 Masihi.
Hal ini boleh memberikan jawaban bagaimana bangunan-bangunan batu hebat seperti Angkor Wat dapat dibina. Perusahaan besi yang cukup maju membolehkan peralatan sesuai dibuat untuk memotong dan membentuk batu.
Antara corak-corak ukiran/motif yang terdapat pada kuil di Angkor dilakarkan kembali...
Kesimpulannya, kemajuan dalam perusahaan besi memainkan peranan penting dalam membentuk ketamadunan tinggi di Asia Tenggara.
Seterusnya pembentang kedua Dr Mohammad Zain Musa memberikan syarahan.
Beliau bercakap tentang penduduk Islam di Cambodia, sejarah awal mereka dan bagaimana mereka boleh terlibat dengan masyarakt Islam di Malaysia. Rata-rata mereka ini adalah keturunan orang Islam Champa yang dahulunya bertebaran merata akibat kerajaan Champa dikalahkan lalu ditakluki puak Dai Viet daripada selatan China, Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baru Vietnam sambil keberadaan masyarakat asal Islam Cham seperti cuba dilenyapkan kesan dan sejarah.
Rupa-rupanya Zain sendiri seorang warga Islam Champa tetapi sudah lama berhijrah ke Malaysia dan menjadi warga negara sini.
Beliau kemudian memperincikan usaha-usaha yang telah dibuat oleh saudara seIslam di Malaysia untuk memajukan masyarakat Islam Champa di Cambodia .
Akhir sekali seorang ustaz Champa menceritakan tentang perkembangan masyarakat Islam di sana. Beliau tidak ada dalam program asal, cuma diminta berkongsi pengalaman apabila muncul ruang...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan