Selasa, September 22, 2015

Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1

Salam semua, salam 8 Zulhijjah. Alhamdulillah, walaupun kurang sihat, mengantuk dan kepenatan, walaupun susah hendak mendapatkan mood penulisan, dapat juga saya mempersembahkan artikel Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa diikuti Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer dalam tempoh beberapa jam kebelakangan. Sekarang bolehlah bercerita perkara yang paling mengujakan dalam tempoh 4-5 hari ini iaitu wawancara siaran langsung di televisyen yang memaparkan diri ini pagi Sabtu, 19 September 2015.


Wawancara yang berlangsung dalam studio di Angkasapuri ini dipaparkan melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1. Saya dimasukkan dalam slot Resensi untuk bercakap tentang buku terbaru saya "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Kesultanan yang Hilang". Rujuk "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar!.


Hos program adalah saudara Sayed Munawar, seorang personaliti televisyen. Pernah berniaga buku selama beberapa tahun, beliau kini memimpin Perbadanan Kota Buku, sebuah badan berkaitan kerajaan (Goverment-linked company atau GLC) yang ditugaskan untuk memajukan industri buku tempatan selain mengangkatnya ke persada antarabangsa. Sayed Munawar pernah mewancara saya dalam program sama 8 tahun lalu, Maka itu beliau cukup sedar bagaimana buku baru saya ini merupakan penambahbaikan daripada buku pertama siri asal trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007. Lihat artikel lama Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007...


Sesungguhnya peluang untuk muncul secara live ini memang rezeki yang tidak disangka. Buku pun baru keluar daripada kilang 9 hari sebelum itu, entah dah masuk kedai-kedai ke belum, yang saya tahu masih dalam proses distribusi atau pengedaran ke serata Malaysia. Saya diberitahu, biasanya seminggu dua lagi baru buku boleh didapati di kedai. Memang pihak saya juga penerbit iaitu Hijjaz Records Publishing ada menghubungi Sayed untuk mendapat tempat dalam program Resensi. Tapi kalau ikut giliran 2-3 minggu lagi baru boleh dapat. Siapa sangka orang yang patut muncul pagi Sabtu itu tidak dapat memenuhi komitmen lantaran sibuk dengan hal lain? Saya pun dihubungi lewat petang Jumaat lalu ditanya samada dapat memunculkan diri di RTM pada jam 8 pagi. Ketika itu saya baru sahaja sampai rumah setelah menghadiri wacana ilmu di UKM lalu bersolat Jumaat di sana. Lihat Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer.


Turut diwawancara adalah wakil penerbit, Cik Nor Faezah, Saya meminta beliau dimasukkan agar dapat menerangkan kenapa Hijjaz sudi untuk menerbitkan kembali siri trilogi "Berpetulang ke Aceh" menjadi siri baru "Pengembaraan Merah Silu" yang memiliki format lebih menarik lagi berwarna-warni dan penuh info tambahan termasuk gambar dan peta-peta.  Setiap buku asal dalam trilogi BKA mahu dipecahkan menjadi dua. Ini bakal membentuk 6 buku baru bawah siri pengembaraan yang insyaallah akan dipanjangkan lagi untuk merangkumi beberapa perjalanan lain yang pernah dan akan dibuat saya ke merata ceruk rantau.


Ini adalah gambar yang diambil Faezah sejurus sebelum kami on air.


Ketika inilah saya tersedar kamera telah dibawa ke RTM tetapi bateri pula teringgal... terlupa nak pasang balik setelah mengecas di rumah tengah malam. Sesungguhnya sudah menjadi kebiasaan saya untuk membawa kamera kompak ke mana-mana apa lagi majlis sepenting ini bagi saya. Isteri pula tak bawah handphone kerana meninggalkannya untuk anak-anak bermain. Maka itu beliau menggunakan telefon Faezah untuk merakamkan keadaan semasa penggambaran berlangsung.


Nak dijadikan cerita isteri tersilap tekan butang ke hapa lalu tiada video dirakamkan. Yang ada cuma gambar seperti ini, gambar-gambar sejurus sebelum siaran langsung.



Nasib baik ada bapa saudara saya membuat sedikit rakaman daripada rumah lalu mengedarkannya kepada saudara mara. Untuk pengetahuan bapa saudara tesebut, Dato; Dr Hamid Arshat, seorang pakar sakit puan terkenal adalah orang yang bertanggungjawab meminjamkan modal untuk saya mencetak buku pertama siri "Berpetualang ke Aceh" 9 tahun lalu. Sudah takdir dan jodoh agaknya beliau dapat merakamkan video. Walhal setelah itu baru saya dan isteri mendapat tahu bapa saudara ini dan isterinya baru sahaja kembali daripada perjalanan di Moscow dan St. Petersburg di Russia selama seminggu. Kami menghubungi mereka pagi Sabtu untuk memberitahu tentang siaran langsung tanpa sedar mereka baru sahaja kembali ke tanah air...




Satu lagi video yang dirakamkan bapa saudara. Sukacita juga dimaklumkan, beliau juga bertanggungjawab membiayai kos penerbitan buku ke-7 saya, buku terakhir sebelum "Mencari Diri dan Erti" dapat dihasilkan baru ini. Lihat Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Menariknya tentang buku tersebut, sebelum betul-betul keluar daripada kilang pun ia telah dipaparkan dengan saya diwawancara secara langsung penghujung 2011. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia. Dah memang aturan Tuhan. Walaupun saya sendiri tidak dapat merakamkan keadaan wawancara terbaru kerana tertinggal bateri kamera, tengok-tengok ramai kawan lain telah mengambil gambar lalu memaparkannya di FB. Dengan itu dapatlah saya menunjukkannya dalam artikel ini. Saya memilih 4 daripadanya menjadi gambar-gambar terawal di atas.


Sebagai penutup artikel ini lihatlah gambar yang menunjukkan saya pertama kali masuk dalam program Resensi tahun 2007 diikuti kedua tahun 2011. Bandingkan pakaian ketika itu dengan sekarang di mana saya berbusana penuh tradisional Melayu. 



Ketika wawancara, saya sempat memberikan contoh pemakaian dahulu berbanding sekarang sebagai satu bentuk penzahiran nyata evolusi perubahan diri yang tercetus selepas berjaya meluahkan pengalaman sebenar berserta pelbagai ilmu yang didapati melalui siri asal "Berpetualang ke Aceh". Sesungguh siri tersebut adalah luahan untuk meringankan beban ilmu dan pengetahuan yang sangat sarat dalam dada. Sebab itu ia dipersembahkan sangat padat lalu memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi untuk dicerna sehingga tamat. Buku baru pula dibuat agar lebih senang dan menarik untuk dibaca semua peringkat masyarakat. Ia dapat dibuat begitu kerana saya kini sudah jauh lebih tenang dan aman, berbanding dahulu di mana saya mahu meluahkan semua yang patut secepar mungkin kerana sudah amat tertekan dengan keadaan.

Menunjuk pada tubah badan saya Sayed pun bertanya apakah ini, penampilan berbusana tradisional Melayu menunjukkan kemuncak evolusi diri? Saya cuma tersenyum lalu menjawab tidak. Sesungguhnya ini, keadaan saya sekarang ini masih lagi permulaan bagi sesuatu yang lebih besar. Cuma tidak dinyatakan semasa wawancara. Jika diizinkan dan dibenarkan dipertontonkan diri ideal sendiri yang pernah diberikan bayangan suatu waktu dahulu, apa yang sudah ditunjukkan setakat ini sekadar tapak, itupun belum lengkap. Kalau betul-betul dah jadi bangunan siap, memang jauh berbeza keadaannya nanti. Cukuplah cerita. Allahumasolli ala Muhammad wa ala ali Muhammad... :]

1 ulasan:

  1. Sila lihat video penuh di sini... https://youtu.be/3rssHfEIyYk

    BalasPadam