Kalau tak salah, sejak 2 bulan lalu saya ada beberapa kali menyebut di blogspot ini tentang penglibatan dalam satu projek dokumentari bernama "Daulah Melayu". Pada pertengahan Februari saya dipanggil untuk menjadi salah seorang penyelidik utama untuk projek itu, beberapa minggu kemudian saya diminta untuk turut menjadi hos. Ini bermaksud saya perlu menonjolkan diri dalam beberapa sesi penggambaran. Siang tadi penggambaran pertama melibatkan diri ini pun dimulakan...
Penggambaran ini dilakukan di kediaman saya di Sungai Buaya, Rawang selepas Zuhur.
Namun ia bukan untuk pengisian dokumentari 13 episod sepanjang sejam setiap satu itu (itu untuk pasaran antarabangsa, untuk pasaran tempatan ia menjadi 26 episod sepanjang setengah jam setiap satu) tetapi untuk pengenalan dokumentari.
Pengenalan ini adalah untuk membuat crowd funding, mendapatkan sokongan dana awam. Hasil rakaman yang akan diproses bersama beberapa bahagian tambahan, antaranya adalah temuramah bersama orang ramai yang dilakukan oleh tim ini pagi tadi akan diviralkan melalui satu platform atau wadah tertentu untuk mendapatkan dana tambahan bagi mencukupkan keperluan penuh menjayakan projek.
Ini kerana buat masa ini kami kurang separuh belanja yang diperlukan untuk menjayakan keseluruhan kerja. Projek dijangka memakan masa sekurang-kurangnya setahun lagi untuk siap...
Secara rata penggambaran hari ini dibuat untuk mengajak orang ramai menjiwai tujuan dokumentari diterbitkan. Untuk itu pengalaman saya sendiri sebagai seorang yang dahulu agak keBaratan tetapi boleh berubah arah mencari makna keMelayuan cuba diangkat, minat saya terhadap pembacaan berkaitan ditonjolkan.
Isteri menyapu peluh saya selepas selesai satu sesi di loteng rumah. Nah. Dahulu banyak kali juga saya menghadiri sesi penggambaran drama dan sebagainya memerhatian orang lain beraksi. Saya sendiri setakat pernah ditemuramah di kaca televisyen sekali dua. Bila kena beraksi lalu diminta mengulang apabila hasil belum cukup memuaskan baru terasa cabarannya. Memang boleh berpeluh-peluh...
Nasib baiklah saya memiliki seorang isteri yang setia menyokong. Tanpa dia saya tidak akan ke mana...
Ruang uzlah di loteng rumah turut menjadi sasaran...
Turun ke loteng bawah (loteng rumah saya ada dua tingkat, Lihat
Rumahku Baitul Hikmah) pun sempat
posing sat. Oh, gambar-gambar ini semuanya diambil oleh seorang ahli tim projek. Saya sendiri tiada kesempatan untuk mengambil gambar...
Nah. Bukak salasilah pun ada dalam penggambaran. Tak tahulah nanti bagaimana rupanya apabila sudah disunting menjadi video yang mahu diviralkan untuk crowd funding. Saya dimaklumkan 3 buah video akan diterbitkan untuk tujuan ini lalu disiarkan berselang 2 minggu antara satu sama lain bermula minggu pertama bulan hadapan insyaallah. Video ke-3 akan meonjolkan pengambaran bersama saya siang tadi.
Pertengahan bulan puasa insyaallah saya akan mula mengikuti penggambaran di luar dengan menemurah sejumlah cendekiawan pilihan, selepas raya pula mengelilingi Semenanjung untuk meliputi tempat-tempat tertentu yang boleh membantu pengisian termasuk ke Singapura. Pertengahan Oktober, insyaallah kami akan bergerak lebih jauh untuk meliputi Aceh, Pulau Jawa, Champa dan Selatan Thailand. Penghujung Februari pula ke Eropah untuk meliputi tempat-tempat seperti London dan Oxford di England, Amsterdam dan Leiden di Belanda, Lisbon di Portugal juga Istanbul di Turki.
Oh, saya juga telah dibawa untuk terlibat dengan 2 lagi projek dokumentari (syarikat-syarikat lain) selain janji untuk menghasilkan 11 buah buku baru untuk satu syarikat penerbitan dalam tempoh setahun. Doakanlah agar saya sentiasa diberi kekuatan, kesihatan, ilham dan gerak kerja yang patut untuk melaksanakan ini semua demi agama, bangsa dan negara ya. Amin... :]