Isnin, Oktober 05, 2015

Bila yang tiada daya dan upaya mengharapkan gerak penulisan yang tepat daripadaNya...

Ada sesuatu yang mahu diluahkan terlebih dahulu sebelum saya dapat mempersembahkan satu artikel tertentu selepas ini..  Penulisan di bawah asalnya mahu dibuat dalam Facebook. Tetapi bila ia terkeluar panjang lebar, lebih eloklah dipaparkan di sini dalam format penulisan blog kemudian linknya dipautkan dengan penerangan ringkas di FB...





MELEPASKAN GERAK LAGI MENURUT ATURAN TERTENTU DEMI PENULISAN BUKU SIRI BARU


Salam. Selasa lalu saya ada membuat update bertajuk "MENGHARAPKAN BERKAT 15 ZULHIJJAH" di FB di mana dinyatakan telah dilakukan beberapa perkara hari itu semata-mata untuk dapat memulakan penulisan buku untuk satu siri baru yang akan dipanggil "Siri Pemikiran Merah Silu". Walaupun petang itu saya cuma dapat menurunkan 2-3 ayat, cukuplah syarat untuk mengambil berkat tarikh itu. Sebetulnya penulisan buku sudah dimulakan penghujung Februari iaitu lebih 7 bulan. Sejumlah bahan sudah dikumpulkan untuk diperhalusi, ditambah dan diperbaiki lagi  Ini kerana ia adalah tajuk pertama dicadangkan apabila Hijjaz Records Publishing  (HRP) mencari saya untuk menawarkan kerjasama penulisan awal tahun ini.

Kemudian saya hilang rentak lalu menukarkan tumpuan pada kerja penulisan lain. Hasilnya terbitlah buku ke-8 saya menjadi buku pertama bersama HRP, buku pertama saya sejak hujung tahun 2011, buku yang diberi nama "Mencari Diri dan Erti :  Menjejak Salasilah Kesultan yang Hilang" bulan lalu. Dibuat sebagai penambahbaikan bagi siri trilogi asal "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) ia adalah pembuka "Siri Pengembaraan Merah Silu". Namun sambil itu saya diharapkan agar dapat menyiapkan manuskrip buku pertama Pemikiran paling lewat pun awal November. Ini kerana HRP bercadang untuk menerbitkannya bulan Disember.

Masalah saya adalah mudah terganggu rentak lalu disibukkan dengan hal lain. Namun hakikatnya saya adalah orang yang sudah lama menyerahkan diri kepada hamparan takdir, apabila terganggu suatu rentak kerja ia sebenarnya bermakna saya harus menyelesaikan kerja lain terlebih dahulu sebelum dapat menyambung rentak. Maka apabila dapat menyambung kembali penulisan walau dengan 2-3 ayat sebelum 15 Zulhijjah saya pun melayan perkara lain. Antaranya adalah menghadiri majlis ilmu di Tanjung Malim petang Rabu lalu menulis tentangnya di blogspot hari Khamis diikuti majlis di Ipoh pagi Sabtu lalu menulis tentangnya semalam.

Dalam tempoh itu saya mendapati perlu membuat beberapa perkara lain lagi sebelum dapat menyambung rentak penulisan buku. Antaranya adalah mengemaskinikan senarai links untuk artikel berkaitan dunia fikiran di blogspot CATATAN SI MERAH SILU yang dikumpulan bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah". Artikel-artikel ini boleh dikatakan adalah paling relevan dengan koleksi buku "Siri Pemikiran Merah Silu" akan datang. Terletak di bahagian paling bawah blog, ia banyak berkongsi tentang ilmu yang didapati setelah menghadiri wacana di beberapa menara gading, jabatan-jabatan kerajaan dan lain-lain institusi yang menggalakkan penyebaran dan perkongsian ilmu.

Apabila pengemaskinian terbaru dibuat saya dapati sudah lebih 100 artikel dikumpulkan bawah tajuk Refleksi berbanding 84 sebelum itu. Timbul rasa elok diletakkan dalam artikel baru agar pembaca setia blog sedar perkembangan ini. Semasa menyediakan artikel timbul pula rasa ia patut dihias dengan satu gambar yang menunjukkan saya dalam keadaan berfikir. Saya pun menyemak kembali satu fail gambar memaparkan diri dalam beberapa posisi berbusana santai tapi penuh tradisional Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris dalam satu sesi fotografi di pejabat HRP. Ia dibuat penghujung Julai agar boleh dipilih gambar yang sesuai untuk menghias buku "Mencari Diri dan Erti".

Satu daripada gambar digunakan untuk membentuk silhoutte besar yang menghias kulit buku. Satu lagi dijadikan ikon kecil melambangkan buku sebagai sebahagian daripada "Siri Pengembaraan Merah Silu". Ketika melihatnya timbul rasa untuk berkongsi di FB menyatakan dengan terang gambar mana yang dijadikan ikon itu. Untuk pembacaan berkaitan lihat artikel-artikel berikut. Sekarang selesailah luahan panjang lebar ini demi menerangkan kenapa timbul gerak untuk memaparkan gambar atas. Baru saya boleh meneruskan dengan artikel yang menunjukkan senarai terkini Refleksi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan