Rabu, Julai 22, 2015

Daulah Melayu - Ke Jeli dan Selatan Thailand

OK. Sampai masanya untuk menutup cerita shooting "Daulah Melayu" di utara baru ini. Bersambung daripada Daulah Melayu - Jejak industri besi purba di utara.


Adapun kerja-kerja penggambaran sudah selesai setelah meliputi tapak arkeologi Sungai Batu diikuti ziarah ke makam Sultan Muzaffar Shah I. Keesokannya Jumaat 10 Julai 2015 krew penggambaran boleh kembali ke Lembah Klang. Tapi bagi saya dan beberapa ahli tim "Daulah Melayu" kerja belum selesai. Daripada Sungai Petani kami bergerak ke Jeli. Kelantan melalui laluan yang menyambung ke Grik, Perak...








Setelah beberapa lama kelihatan sebuah gunung yang agak tajam.



Ini menandakan kami sudah menghampiri Grik.



Sejurus sebelum sampai ke bandar kami membelok kanan untuk masuk ke lebuh raya timur-barat.



Sampai di Tasik Banding berhenti sebentar berehat sambil menikmati pemandangan. Lihat artikel The temporary public jetty at Tasik Banding di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini pula di hentian rehat Banjaran Titiwangsa.


Kami berhenti menikmati pemandangan dan angin segar. Turut berhenti rehat adalah satu konvoi penunggang motosikal besar daripada Thailand...





Setelah beberapa lama sampailah kami ke daerah Jeli di Kelantan. Pemandangan Gunung Reng di tepian sungai cukup untuk menjadi pengenalan.


Kami meneruskan perjalanan beberapa kilometer lagi ke hadapan. Sampai di tempat rehat yang kelihatan kami check-in di sebuah hotel lalu berhenti rehat.


Hampir jam 3 baru kami keluar untuk berjumpa dengan kenalan dari Selatan Thailand. Asalnya kami bercadang untuk berjumpa di tempar kerja dan tinggalnya di Waeng, Thailand, cuma 22 km sahaja daripada hotel, melalui pintu sempadan di Bukit Bunga, sebelah Thailandnya bernama Buketa.


Tetapi kenalan tersebut kemudian memberitahu beliau ada urusan di Rantau Panjang, 40 km perjalanan lalu meminta kami bertemu di sana.


Sampai di Rantau Panjang beliau memberitahu tidak dapat masuk ke Malaysia kerana terlepas border pass terakhir untuk menyeberangi sempadan tanpa paspot hari itu. Maka kami pula terpaksa masuk ke Thailand. Nasib baik semua dah sedia bawa paspot.


Dah alang-alang masuk ke Thailand kami mengikut ke tempat kerja dan tinggal beliau di Waeng. Makanya kembali pada rancangan asal untuk bertemu lalu berbincang di sana, Cuma kami masuk melalui Rantau Panjang. Bila keluar baru lalu Bukit Bunga...

Kalau nak duduk lama, kenalan sudah mengajak bermalam di rumahnya. Malah kalau nak jalan beberapa tempat beliau yang memegang jawatan penting dalam kerajaan boleh membawa kami merata kerana ada kelapangan buat sehari dua. Cuma kami dah check-in hotel di Jeli lalu meninggalkan barangan di sana. Lagipun kami sudah 4 hari keluar jauh daripada rumah demi menjayakan dokumentari "Daulah Melayu". Sedangkan sambutan hari raya Aidil Fitri akan menjengah cuma seminggu lagi...


Secara rata kami cuma berada di Thailand 2 jam 20 minit sahaja. Itupun campur masa perjalanan, selainnya sempatlah kami berbincang sedikit tentang keperluan untuk membuat penggambaran "Daulah Melayu" di Thailand kemudian. Lihat artikel Two hours plus in Southern Thailand.


Esoknya pagi Sabtu 11 Julai kami pun mengorak langkah untuk kembali ke Lembah Klang.


Semua orang sudah penat dan rindu mahu kembali ke rumah. Jadi tidak adalah apa-apa persinggahan panjang ke mana-mana tempat. Dengan ini selesailah cerita perjalanan "Daulah Melayu" untuk segmen penggambaran di utara tanah air. Insyaallah beberapa hari lagi kami akan keluar lagi, kali ini untuk membuat penggambaran di Pantai Timur dan selatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan