Rabu, April 22, 2015

Misi HIKMAH Chenor - Menggamit rasa "Aliran Sungai Pahang"

Pada penghujung artikel Bermalam di Kampung Tauhid - Berkhemah bersama isteri dan anak-anak yang dibuat 13 jam tadi saya menyebut harus keluar dari hutan belakang Sri Gombak sebelum tengah hari kerana ada komitmen lain di Pahang. Ini ceritanya...


Tengah hari Ahad 19 April 2015, isteri menurunkan saya di masjid berhadapan Medan Batu Caves sebelum berlepas ke Rawang bersama anak-anak. Saya berehat sehingga masuk waku Zuhur lalu bersolat berjemaah sebelum meninggalkan masjid menghala ke Batu Caves.


Saya telah berjanji dengan seorang kawan akan berjumpa di kedai hadapan Lebuh Raya MRII di Sri Gombak sekitar jam 5 petang. Sementara itu saya pun berjalan-jalan di sekitar.


Selepas jam 6.40 baru kawan tersebut muncul. Rupa-rupanya dia ada banyak kerja yang perlu disiapkan kemudian harus mengharungi kesesakan lalu lintas untuk sampai ke Sri Gombak dari Kota Damansara. Yang penting beliau berpegang pada janji untuk membawa saya ke Chenor, Pahang. Dalam kelebatan hujan lewat petang, kereta membelah jalan masuk ke Lebuh Raya Karak.


Kami ke Chenor untuk membincangkan penganjuran acara ke-14 HIKMAH di sana 9 Mei ini. Lihat artikel HIKMAH Beruas ditunda ke 6 Jun menjadi acara ke-15 dan terakhir, HIKMAH Seri Menanti ganti menjadi acara ke-13 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Oh, artikel yang dibuat pada 11 Februari lalu ini merupakan kali terakhir saya menyebut tentang HIKMAH di Chenor dalam blogspot itu. Selepas itu saya memberikan tumpuan penuh untuk melaksanakan acara di Negeri Sembilan. Lihat Acara ketiga belas HIKMAH di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan 4 April 2015

Bila segala yang perlu diceritakan tentang acara ke-13 itu selesai 12 hari lalu baru saya berkongsi perkembangan terbaru tentang acara di Chenor, itu pun setakat di Facebook. Hinggakan pertukaran tarikh daripada 2 Mei menjadi 9 Mei pun belum dikongsikan lagi di blogspot HIKMAH. Untuk pengetahuan, kawan tersebut bertindak sebagai wakil penganjur tempatan kerana memiliki ramai saudara mara di Chenor. Beliaulah yang mencadangkan agar satu acara HIKMAH dibuat di situ. Saya menerimanya apabila mendapat gerak hati bahawa selepas bertandang ke Negeri Sembilan acara HIKMAH seterusnya mesti dibuat di Pahang berdekatan aliran Sungai Pahang. Lihat artikel Acara ke-15 HIKMAH di Chenor, Pahang 2 Mei, penutup kalendar 2015... (ditulis 3 bulan lalu). Ketika itu saya menjangkakan ia akan menjadi acara terakhir HIKMAH sekurang-kurangnya untuk tahun 2015...


Kami bermalam di rumah ibu bapa kawan tersebut di Felda Jenderak dekat Kuala Krau. Pagi Isnin pula harus ke Temerloh terlebih dahulu kerana beliau ada satu urusan melibatkan keluarga yang perlu diselesaikan.





Sementara beliau menyelesaikan urusan saya berjalan-jalan di bandar Temerloh.


Pergi ke masjid jamek berehat sehingga masuk waktu Zuhur lalu bersolat jemaah. Ketika itulah saya dihubungi oleh seorang kawan yang baru dikenali lalu beliau datang untuk membawa saya berjalan-jalan.


Kawan baru ini diperkenalkan kepada saya malam sebelumnya. Sebetulnya sebelum bermalam di Jenderak saya telah terlebih dahulu dibawa ke rumah kawan baru itu untuk ditunjukkan sejumlah barangan lama milik beliau yang bersifat mistik. Cerita punya cerita tengok-tengok kawan baru itu kenal beberapa orang kawan saya yang pernah mengaji bab keTuhanan dan rahsia roh daripada beberapa orang manusia pelik yang dipercayai sebagai manusia jenis mati hidup balik mati hidup balik. Banyaklah kami bercerita dan berkongsi rasa sehingga tanpa diajak mahupun dirancang kawan baru itu sanggup menunggu lebih sejam di bandar Temerloh tengah hari Isnin semata-mata untuk berjumpa dan membawa saya berjalan.

Beliau membawa bersama seorang lagi kawan yang sealiran. Satu perkara menarik sempat diperhatikan ketika menuju ke luar bandar Temerloh adalah paras Sungai Pahang sedang menurun agak teruk sehingga kelihatan pasir di kiri kanan sungai. Saya telah pergi ke Temerloh tidak kurang 5 kali, lebih 10 kali pun mungkin ada. Tetapi inilah kali pertama saya dapat melihat pasir sungai di sekitar ini. Walhal baru beberapa bulan lalu Pahang dilanda banjir teruk dengan air Sungai Pahang meningkat begitu tinggi sehingga merosakkan banyak infrastruktur termasuk papan gergasi yang membentuk nama Temerloh seperti kelihatan di atas...


Sebelum pergi lebih jauh mereka membawa  saya makan tengah hari di satu tempat (saya pekena ikan patin gulai tempoyak). Kawan sealiran yang dibawa bersama membuka bab keTuhanan dan perjalanan roh, kawan dikenali malam sebelumnya lebih banyak memerhati dan mengangguk. Selepas itu mereka membawa saya menziarahi beberapa makam lama di sekitar Temerloh. Menariknya pemilik makam dikatakan terkait dengan Sultan Malikus Saleh di Aceh (lebih tepat di Samudera Pasai). Lihat artikel Beberapa kubur lama di Temerloh (Some old tombs in Temerloh) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Hampir waktu Asar baru kawan yang membawa ke Temerloh selesai urusan lalu kami berjumpa di masjid. Selepas solat kami pun bergerak ke Chenor.





Jarak perjalanan dari Temerloh ke simpang masuk Chenor adalah sekitar 22 km menghala ke timur. 


Ambil simpang dan masuk sekitar 5 km ke selatan, sampailah ke Chenor atau lebih tepat, pekan lama Chenor...


Tempat pertama disinggahi adalah masjid lama pekan Chenor, dipanggil Masjid Warisan Kampung Chenor.


Di sinilah acara mahu diadakan 9 Mei nanti. Saya mendapati ia cukup luas dan sesuai untuk menampung keperluan peserta dan majlis. Lihat artikel Masjid Warisan (Heritage mosque of) Kampung Chenor, Pahang.


Selepas itu baru ke pusat pekan 200 meter ke utara untuk bertemu dengan seorang bapa saudara kawan yang memimpin persatuan anak tempatan dipanggil Warisan Chenor.


Ke kanan atau timur barisan kedai-kedai lama yang membentuk pekan kelihatan pemandangan menarik Sungai Pahang.


Kami berbincang dan bermesyuarat di pondok tepian sungai. Suasana terasa begitu damai, cocok dengan tema atau tajuk HIKMAH kali ini iaitu Aliran Sungai Pahang. Lihat artikel Quaint views of Pahang river at Chenor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Sambil itu anak-anak buah bapa saudara tersebut bermain gendang di serambi bawah.


Petang sedikit saya diajak berjalan kaki 200 meter ke utara untuk melihat sebuah rumah lama. Bapa saudara kawan sebenarnya ingin mencadangkan agar HIKMAH Chenor diadakan di rumah tersebut. Lihat Rumah bersejarah (Historical house of) Chenor. Namun saya dapati sokongan infrastukturnya kurang sesuai untuk mengadakan majlis penuh. Namun ia tetap boleh dimanfaatkan sebagai tempat untuk bersilat, bersantai dan selepas selesai bahagian utama acara. Oleh itu dicadangkan hadirin/peserta berarak selepas Asar ke situ, berjalan kaki dari masjid sekitar 400 meter berbusana tradisional Melayu, berkeris, bersampin dan bertanjak menghilir aliran Sungai Pahang. Tentu menarik....


Oh. Seberang Sungai Pahang ada satu masjid lama yang boleh kelihatan dengan terang dari pondok tadi. Fikir saya selesai mesyuarat nanti mahu bertandang lalu mengambil gambar.


Cuma mesyuarat terlajak sampai matahari terbenam. Hampir waktu Isyak baru bertandang ke masjid tersebut. Lihat Masjid (mosque of) Kampung Pantai, Chenor...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan