Isnin, April 27, 2015

Menghiasi Kosmo Alam Melayu

OK. Artikel Pesta buku bersama Hijjaz dan Duta Arab Saudi yang dipersembahkan pagi telah menunjukkan bagaimana saya secara tidak sengaja menjadi semacam duta Alam Melayu kepada orang Arab. Pagi ini juga saya melihat diri dan pandangan menghiasi ruang rencana satu akhbar nasional. Ini ceritanya...


Lihat Kosmo hari ini, Isnin, 27 April 2015. Kelihatan gambar saya tersenyum memegang keris memenuhi sebahagian besar muka surat 21. Untuk pengetahuan gambar ini sebenarnya diambil 3 bulan lalu. Ketika itu saya menyertai satu majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia. Lihat Forum "Melayu Bukan Pendatang" di UKM.


Saya tak pakai busana penuh pun sebenarnya, setakat berbaju Melayu atas bawah dan bertanjak, tak bersampin dan tidak bercapal. Keris pun simpan dalam beg kerana mahu datang dalam keadaan lebih santai berbanding biasa, Apabila wartawan meminta untuk mengambil gambar baru dikeluarkan keris. Tak sangka pula gambar malah pandangan saya tentang usaha memartabatkan Melayu diangkat tinggi dalam rencana utama yang keluar 3 bulan kemudian.


Saya dihubungi wartawan kembali pun kalau tak salah kurang 2 minggu lalu. Ketika itulah beliau menyatakan mahu meletakkan pandangan saya tentang Melayu dalam rencana. Saya tanya kenapa tak angkat isi forum sebagai tajuk utama. Jawabnya mereka hendakkan sesuatu yang lain, satu human angle yang lebih senang menarik pembaca kemudian baru diletakkan sedikit isi pembentangan oleh para cendekiawan. Tu yang boleh ada sekali temu ramah dengan pemanah berkuda juga gambar aktivis kebudayaan/kedaulatan Melayu yang lain.

Kalau nak baca dengan lebih terang sila buka dalam windows lain. Semoga ini menjadi pendorong untuk mereka yang sealiran bergerak terus ke hadapan. Buktikan perjuangan ini bukan bersifat kekampungan atau sekadar dalam lingkungan budaya dan persilatan. Angkat ia ke peringkat intelektual tinggi dan siasah negara. Biar kita lihat para pemimpin kita berani berbusana tradisional penuh ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dan sebagainya, tidak selamanya pakai kot atau blazer. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan