Selasa, Mac 24, 2015

Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya

Adapun 10 hari lalu saya telah membuat artikel bertajuk Pelancaran buku "Sejarah Melayu" dari Batam di DBP - Mengingatkan Raja Isa Nongsa menceritakan tentang majlis yang berlangsung 4 hari lebih awal. Selepas itu saya telah dihadiahkan senaskah buku oleh penganjur. Ini ada sedikit cerita.


Saya memang bercadang untuk mengulas buku ini suatu hari nanti. Tentunya ia cuma dapat dilakukan setelah selesai membaca buku yang meliputi 600 muka surat sejarah pelbagai kerajaan di Alam Melayu ini.Tetapi sejak sebulan kebelakangan ini saya disibukkan dengan hal-hal melibatkan satu projek dokumentari tentang sejarah Melayu dan Islam untuk televisyen. Selain itu saya juga disibukkan dengan satu projek penulisan baru, usaha untuk menyajikan lagi trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) tetapi dikembangkan daripada 3 menjadi 6 buku yang turut menyertakan gambar-gambar serta fakta sokongan membentuk apa yang dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu"...


Dalam beberapa hari lepas saya berjaya menyiapkan penulisan buku pertama siri baru. Saya pun memulakan penulisan buku kedua. Tetapi semalam saya terasa penat yang amat sangat begitu juga hari ini. Maka selepas Zohor saya bercadang untuk berbekam dan berurut badan. Sementara menunggu itu, sambil termangu nak menulis tak boleh kerana terasa penat amat hendak berfikir saya pun tergerak untuk membuka buku "Sejarah Melayu" yang diterima 2 minggu lalu. Dapat  membaca sekurang-kurangnya sehelai dua muka surat pun jadilah sebagai langkah awal dan pembukaan. Saya mulakan dengan meneliti daftar isi kandungan. 



Nampaknya buku mengandungi begitu banyak maklumat yang berguna...


Lihat sahaja apa yang tertera. Jenuh juga nak baca buku sampai habis apa lagi saya ada banyak komitmen lain yang perlu dilaksanakan juga.





Tak mengapa. Dengan mula membuka buku ini lalu meneliti daftar isi kandungan pun saya sudah buat satu langkah positif walaupun kecil. Saya kongsikan ini kerana mahu memberitahu pembaca bagaimana luasnya skop buku ini. Kedua, saya mahu memberitahu bahawa ia harus mengambil masa untuk dibaca kemudian baru dapat diulas. Dan ketiga, dengam membuat artikel pembukaan ini saya secara rasmi telah menyatakan komitmen akan membaca dan mengulas untuk tatapan anda semua. Sekarang bolehlah saya bersiap untuk keluar berbekam dan berurut... :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan