Kita mulakan cerita perjalanan. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Satu lagi tawaran tak disangka.
Subuh Jumaat 13 Februari 2015. Selepas bermalam di rumah seorang penggiat/pengkaji sejarah muda di Putrajaya kami bergegas ke lapangan terbang KLIA2.
Penggiat tersebutlah yang menawarkan saya untuk ke Aceh lalu menanggung segala kos yang perlu. Beliau mewakili satu kumpulan yang dipanggil GPTD (Grup Penjejak Tamadun Dunia) cawangan Putrajaya, Bangi dan Kajang sekali kalau tak salah. Turut dibawa 3 orang gadis ahli kumpulan berserta seorang ustaz. Ini memberikan jumlah 6 orang kesemuanya, 3 laki-laki, 3 perempuan.
Kami berlepas dengan penerbangan jam 8 pagi, tu yang perlu berada di lapangan terbang seawal Subuh. Bila dah masuk pesawat dan berlepas sungguh lega hati saya. Ini kerana mengingatkan pengalaman pernah terlambat check-in untuk ke Aceh lalu dihalang daripada menaiki pesawat. Lihat artikel lama Lawatan tak dijangka ke Putrajaya, Hulu Langat dan sekitar ganti lawatan tak dijangka ke Aceh yang dibuat November 2013.
Bila dah mendarat di lapangan terbang atau Bandara (singkatan untuk bandar udara) Sultan Iskandar Muda di Banda Aceh baru boleh dinyatakan dengan rasminya perjalanan ke-7 saya di Aceh sudah bermula.
Kami disambut oleh sahabar saya Ustaz Mujib, seorang penggiat budaya dan sejarah yang turut memegang jawatan Duta Muzium Aceh selain memiliki syarikat tour and travel sendiri. Beliau menyediakan sebuah van yang cukup besar kerana awalnya menjangka kami datang 10 orang. Ada yang merancang mahu bersama tapi membatalkan kerana muncul hal lain.
Tempat pertama disinggahi adalah kuburan massal atau kubur besar-besaran mangsa Tsunami di Siron yang terletak dalam perjalanan dari bandara ke kota Banda Aceh.
Sudah berapa kali saya singgah di sini tetapi sekadar melihat daripada luar pagar, kali ini baru masuk ke dalam.
Kami juga singgah di Makam Maharajalela yang terletak di seberang tanah perkuburan. Saya mahu menunjukkan kepada ahli-ahli GPTD yang belum pernah sampai ke Aceh sebelum ini bahawa di sini pun ada orang memakai gelaran Maharajela. Apakah ada kaitan dengan yang di Perak? Lihat artikel Misi HIKMAH Aceh - Makam Maharajalela dan panggilan mistik Lamuri yang dibuat hampir setahun lalu.
Selepas sarapan di kota kami pergi menziarahi makam ulamak dan wali Allah terkenal Syeikh Abdul Rauf.
Ustaz Mujib memberikan penerangan tentang ulamak tersebut.
Daripada makam menghala kembali ke kota kami melalui kampung Lampulo tempat bot tersangkut atas rumah akibat pukulan Tsunami.
Saya juga sudah beberapa kali ke tempat bot tersangkut itu tetapi baru pertama kali masuk ke rumah Ustaz Mujib yang terletak di sebelah. Untuk pengetahuan beliau ialah salah seorang yang terselamat daripada Tsunami setelah naik berlindung di atas bot. Ustaz Mujib menunjukkan kesan pukulan ombak besar yang muncul selepas gempa terhadap rumah...
Selesai itu kami check-in di Hotel Medan. Biasanya apabila berada di Banda Aceh saya suka menginap di Hotel Lading yang terletak 5 minit sahaja perjalanan kaki ke Masjid Baiturrahman. Hotel Medan kelihatan lebih cantik tetapi 4-5 kali ganda lebih jauh ke masjid utama itu. Tapi kali ini saya ikut sahaja apa yang dicadangkan untuk kumpulan. Ini kerana kedudukan Hotel Medan lebih dekat dengan kedai-kedai makan juga kedai-kedai souvenir...
Hampir masuk waktu Zuhur kami yang laki-laki bertolak ke Masjid Baiturrahman untuk bersolat Jumaat. Lihat artikel Jumaat prayers at Baitur Rahman early 2015 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selesai solat kami mengambil ahli-ahli perempuan di hotel lalu keluar makan tengah hari. Selepas itu kami ke Muzium Aceh untuk melihat kesan-kesan sejarah dan pameran yang ada.
Saya sudah beberapa kali ke muzium ini tapi baru kali ini masuk bangunan yang nampaknya merupakan ruang pameran utama. Baru sedar khazanah maklumat yang terdapat di dalamnya.
Kalau ikutkan satu hari suntuk diperlukan untuk mengkaji apa yang ada dalam ruang pameran ini sahaja. Lihat artikel Melihat ke dalam ruang pameran utama Muzium Aceh (Looking inside the main display section of the Aceh Museum) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Namun ada begitu banyak tempat mahu ditunjukkan kepada kumpulan GPTD agar para penggiat muda ini dapat merasa kebesaran sejarah keIslaman Aceh lalu jatuh cinta untuk menyelidik lebih jauh. Sedangkan pagi Ahad 15 Februari mereka harus kembali ke tanah air. Masa yang singkat harus diisi sebaik mungkin dengan seberapa banyak lawatan dan aktiviti yang mampu.
Itupun kami di muzium sampai ia tutup jam 4. Seterusnya kami menziarahi makam Sultan Iskandar Muda yang terletak berdekatan. Lihat artikel lama Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda?.
Ini diikuti ziarah ke satu kompleks pemakaman berdekatan mengandungi makam nenek-moyang Iskandar Muda. Lihat artikel lama Komplek makam (Tomb complex of) Kandang XII.
Lewat petang kami berjalan menikmati udara segar di sekitar Ulee Lheue sebelum berehat minum petang di satu tempat cantik berdekatan. Lihat Tea at Kuala Changkoi.
Malam kami makan di sebuah restoran bernama Canai Mamak KL.
Sambil makan bermesyuarat dan bersilaturrahim pula dengan sejumlah aktivis/penggiat sejarah dan budaya Aceh...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan