Salam. Pembaca setia blogspot ini dan mereka yang peka dengan keadaan mungkin sedar betapa 2-3 bulan ini saya agak jarang menulis. Di sini biar diterangkan keadaan agar saya sendiri terasa lapang. Adapun sejak selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun 2013 kami suami isteri telah disibukkan dengan hal mencari rumah baru lantaran rumah yang kami duduki di Bandar Tasik Puteri sejak hujung 2008 mahu dinaikkan kadar sewa. Alang-alang dah nak naik bayaran bulanan biarlah ia untuk rumah yang dimiliki sendiri bukan? Apabila sudah terjumpa rumah yang dirasakan sesuai, kami disibukkan pula dengan urusan jual-beli diikuti urusan membaik-pulih serta mengelokkan lagi rumah yang sudah bertahun tidak diduduki... sehingga banyak barangan seperti kepala paip, wayar, tingkap dan sliding door telah hilang dicuri orang. Dalam keadaan itu kami tetap meneruskan beberapa aktiviti, antaranya penganjuran acara-acara HIKMAH. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Paling sibuk dan memenatkan adalah tempoh sebulan kebelakangan kerana sambil menyiapkan rumah, saya harus berusaha menjayakan 3 acara HIKMAH berturut-turut dalam masa terdekat. Lihat artikel 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul. Bayangkan. Lewat hari Rabu 29 Januari rumah tersebut baru siap dicat dan dibersihkan. Sedangkan tempoh kami menginap di rumah sewa tamat hujung bulan. Pagi Khamis kami mula memindahkan barangan secara besar-besaran dengan lori, lewat malam Jumaat baru siap dengan satu lagi trip lori. Itupun masih tinggal lagi sedikit barangan, selesai diambil setelah beberapa kali perjalanan ulang-alik dengan kereta 2-3 hari berikutnya.
Seminggu kemudian rumah menjadi lokasi acara ke-8 HIKMAH yang merupakan juga acara housewarming iaitu 'pemanas'/perasmian rumah. Bayangkan petang Jumaat saya masih sibuk mengecat pondok hadapan rumah yang mahu digunakan untuk meraikan tetamu. Malam hampir Isyak baru siap. Selepas Isyak pula bumbung tempat letak kereta hadapan rumah, satu lagi bangunan yang mahu digunakan untuk meraikan tetamu baru siap dipasang.
Pagi itu saya begitu sibuk mengemas barangan pertukangan sebelum dapat mandi kemudian memakai busana tradisional Melayu untuk acara. Kini alhamdulillah, acara sudah selesai. Lihat Acara kelapan HIKMAH di Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014. Bolehlah saya menumpukan tenaga dan fikiran pada hal-hal seterusnya. Walaupun penat dan sakit-sakit badan akibat melaksanakan pelbagai hal masih belum reda perjuangan harus diteruskan kerana kita sedang menggalas harapan ramai orang.
Dengan selesainya HIKMAH VIII di rumah sendiri, tumpuan harus diberikan untuk menjayakan acara ke-9 HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang Sabtu 22 Februari iaitu 9 hari sahaja lagi. Lihat artikel Aura HIKMAH mula membara di Pulau Pinang... yang baru dibuat kurang 2 jam tadi. Sambil itu saya juga harus memerhatikan perkembangan acara ke-10 HIKMAH yang mahu diadakan di Aceh 28 Mac. Sukacita dimaklumkan kebenaran telah diterima dari pihak berkuasa sana untuk mengadakan acara. Ada kemungkinan pada malam selepas acara rombongan HIKMAH dari Malaysia akan diraikan oleh Wali Nanggroe Aceh, serupa dengan Yang di-Pertua Negeri di Melaka, Pulau Pinang juga Sabah dan Sarawak.
Sesiapa yang berminat untuk mengikuti rombongan boleh menghubungi Ustaz Mahyuddin (019-5064949, FB Antiq Sufi) atau Suzairi Latip (019-6610165). Rombongan akan berada di Aceh 26-29 Mac menziarahi pelbagai tempat, antaranya makam Bendahara Johor Tun Sri Lanang di Samarlanga lebih kurang 3-4 jam perjalanan ke tenggara dari Banda Aceh dan makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh di Geudong, Lhoksuemawe 2 jam lagi perjalanan. Rombongan akan bertolak dari LCCT KLIA di Sepang pagi 26 Mac dengan memakai busana tradisional Melayu. Rancangan kami ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kedutaan Indonesia juga NGO-NGO di Aceh.
Oh, sebelum saya betul-betul dapat memberikan tumpuan pada 2 acara HIKMAH akan datang ini, saya harus dahulu menyelesaikan bab jemputan oleh Persatuan Sejarah Malaysia. Saya telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sesi sembang santai bertajuk "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah" di Wisma Sejarah, sebelah Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur jam 10 pagi 15 Februari iaitu Sabtu ini. Rujuk surat yang tertera di atas. Acara adalah percuma dan terbuka, semua dijemput datang. Insyaallah saya akan berbusana tradisional Melayu, bertanjak, bersampin dan berkeris. Sejumlah kawan seperjuangan telah menyatakan akan turut serta menyerikan majlis dengan berpakaian begitu.
p/s : Satu perkembangan menarik tentang blogspot ini... setelah lebih 7 tahun dibuka barulah pageviewsnya melepasi angka sejuta. Perkara ini disedari 2-3 hari selepas berpindah ke rumah baru. Biar dikongsikan print screen yang dibuat Rabu 5 Feb di mana kebetulan saya mendapat nombor pageviews yang sangat cantik...