Masuk pada suatu yang lebih serius. Bersambung daripada Berkelah di Sungai Klah.
Adapun perkelahan di Sungai Klah itu dibuat hari Sabtu. Petang Jumaat iaitu sehari sebelum itu, saya dan seorang kawan pergi ke UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim.
Ada urusan berkenaan buku sebelum menghadiri satu majlis ilmu pada malamnya. Sementara menunggu malam kami berjalan-jalan ke beberapa tempat.
Sempat meninjau-ninjau tepian Sungai Bernam yang menjadi sempadan semulajadi antara negeri Selangor dan Perak. Lihat artikel Where another river enters the Bernam at Tanjung Malim dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Jam 8 kami ke UPSI lagi lalu ke satu bilik kuliah.
Majlis ilmu yang dipanggil "Seminar Memartabatkan Perjuangan Sultan Ismail yang Dibuang ke Skudai" baru hendak bermula.
Pengerusi majlis, Profesor Madya Dr.Talib Samat membuka bicara dengan sedikit pengenalan mengenai Sultan Ismail yang pernah menjadi sultan ke-25 Perak 1871-187. Pensyarah kanan UPSI ini telah menulis beberapa buah buku mengenengahkan beberapa tokoh Perak sekitar zaman itu.
Tuan Mohd. Zamberi Abdul Malek yang juga sudah menulis beberapa buah buku tentang sejarah perjuangan orang Melayu membuat pembentangan pertama. Cerita Sultan Ismail menaiki takhta Perak diperincikan - bagaimana walaupun baginda bukan waris keturunan Perak sebelah laki-laki (ibunya yang berdarah raja Perak) baginda telah diangkat menaiki takhta. Ini berlaku kerana Raja Muda Perak ketika itu, Raja Abdullah tidak muncul-muncul untuk pengebumian jenazah sultan sebelum itu. Mengikut adat Perak (juga kebanyakan negeri Melayu kalau tak salah) seorang sultan baru mesti diangkat sebelum sultan sebelumnya dikebumikan lalu Sultan Ismail yang ketika itu memegang jawatan Raja Bendahara menjadi pilihan.
Keadaan ini menyebabkan Raja Muda Abdullah tidak berpuas hati. Baginda mendapatkan pertolongan British untuk masuk campur lalu dapat menaiki takhta Perak, selepas menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 yang ternyata akan menjerat orang-orang Melayu nanti. Sultan Ismail diturunkan daripada takhta lalu diberi jawatan Sultan Muda dan mendapat pencen. Natijah daripada perjanjian, kuasa sultan dan para pembesar jadi tersekat sementara penasihat British yang dipanggil residen bermaharajalela. Itulah yang membawa kepada pembunuhan residen tersebut iaitu J.W.W. Birch 1875. Perang antara Perak dan British pun menyusul lalu pada 1877 sejumlah pembesar Perak ditangkap, Sultan Ismail dibuang negeri dan ditahan di Skudai, Johor.
Pembentang kedua dibuat seorang pelajar sarjana atau Masters.
Beliau membuka dengan memperbetulkan persepsi tentang asal keturunan Sultan Ismail yang sering disebut sebagai berpunca daripada keluarga Saiyid al-Shahab Siak. Tetapi sudah ditunjukkan beberapa orang baginda sebenarnya berasal terus daripada seorang tokoh terkenal abad ke-18 yang dikenali sebagai Raja Kechil.
Selepas itu apa yang diceritakan adalah lebih kurang seperti disebut tuan Zamberi. Cuma pembentang pertama itu lebih memperinci peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pengangkatan Sultan Ismail ke atas takhta Perak, penurunan selepas Perjanjian Pangkor 1874 dan pembuangan negeri selepas tamat Perang Perak-British 1877 menggunakan dialog antara pembesar dan para kerabat seperti direkodkan dalam sumber-sumber British.
Pembentang ketiga juga adalah pelajar sarjana. Perspektif kertas kerja beliau adalah sesuatu yang agak baru buat saya kerana bercakap dengan peranan Sultan Ismail menaikkan industri perlombongan bijih timah di Perak.
Sebelum itu saya lebih tahu kisah perlombongan di daerah Larut yang dipelopori Long Jaafar sekitar tahun 1848 kalau tak salah. Melalui pembentangan ini baru saya tahu Sultan Ismail mempelopori perlombongan di Lembah Kinta yang ternyata menerbitkan hasil lebih besar. Kepesatan ini menyebabkan muncul beberapa bandar baru seperti Papan dan Pengkalan Pegoh. Malah aktiviti perlombongan pesat di Lembah Kinta inilah yang membawa kepada penubuhan bandar Ipoh, ibu negeri Perak zaman moden.
Seterusnya seorang pengkaji sejarah Cikgu Alang pula bercakap. Cuma beliau saya lihat sering lari daripada topik. Apapun ini adalah satu seminar yang menarik demi memartabatkan seorang tokoh lama Perak yang jarang diperkatakan orang. Selepas itu saya dan kawan ikut bersama Prof Talib Samat dan beberapa orang lama makan mee rebus di sebuah restoran berdekatan.
Lama juga kami berbincang tentang sejarah negeri Perak dan tokoh-tokoh yang terlibat. Walaupun inilah kali pertama saya berbual panjang dengan Prof Talib (kami pernah terserempak 2-3 kali tetapi rasanya tidak pernah bertegur sapa), banyak perkara dibualkan, mungkin kerana baru menyedari sayalah penulis siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang pernah menjadi rujukan beliau untuk mengenali satu watak lama Perak yang dikenali sebagi Keramat Kuala Bidor. Malah isi daripada buku pertama saya pernah diulang-siar dalam sebuah buku beliau. Lihat artikel HIKMAH III, PESAWAD, Laksamana Muhammad Amin dan Keramat Kuala Bidor yang ditulis hampir 2 tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan