Tadi saya baru melihat satu e-mail orang mahu membeli semua buku-buku terbitan/tulisan saya sekaligus. Ini menyebabkan kos Poslaju harus disemak lalu saya pun mencari satu fail Word di mana ada senarai harga pos buku menurut berat dan zon berserta berat setiap buku, dibuat lebih kurang 2 tahun lalu. Tengok-tengok tiada dalam komputer riba. Terlupa pula bahawa kali terakhir saya melihatnya sekitar 4 bulan lalu adalah dalam komputer riba sebelum ini yang telah rosak lalu digantikan dengan komputer sekarang. Lihat artikel Hikmah laptop rosak.
Saya pun cuba mencari dalam external hard drive. Baru saya menyedari bahawa begitu banyak fail terlupa nak back-up, amat banyak. Saya ada dua external hard drive, satu akhir sekali dikemaskini tahun 2012. Tak jumpa dah kat dua-dua drive. Sebaliknya boleh pula terjumpa cetusan rasa lama ini. Rasa nak kongsi di sini...
SINAR NUZUL MEMBAWA WASILAH
Malam tenang di bawah sinar bulan tengah Ramadhan,
Dua hari sebelum Nuzul al-Quran menyinar maya,
Tika sembilan anak muda riang teruja atas tangki air di puncak alam,
Aku yang menunjuk jalan pula tenggelam dalam lamunan…
Sudah lima tahun aku kenal daerah ini, Janda Baik penuh kenangan,
Sudah ku rasa hampir segala ceruknya, dari lembah sempit pergunungan tempat jin bertendang sampai ke sungai penyatu air seluruh daerah tenggelam ke dasar bumi sebalik bebatuan.
Tika ramai kaku langkah gementar mendengar nama tempat penuh misteri,
Aku sudah berkelana menjejak kaki seorang diri santai dalam lindungan Nya.
Sudah ku kenal sangat daerah ini, juga sejarah rahsia zaman demi zaman kerajaan luas Iskandar Zulkarnain sampai ke wali-wali ghaib yang seringkali Qiraat Quran dan Zikirnya ku dengar sayup di balik deruan air di kali…
Namun malam ini sungguh teristimewa, sangat istimewa dan nyaman,
Aku sedang berkongsi rasa bersama lapan orang teman yang kuharap faham,
Faham akan perjuangan ku membuka salasilah dan wasilah demi membela nasib agama, bangsa dan negara dalam fitnah zaman yang semakin mencengkam.
Sambil itu aku memikirkan akan dua jiwa yang sekarang subur dalam hati nurani ini,
Seorang ku kenal 11 tahun dahulu, seorang muncul baru kebelakangan,
Namun seolah dirancang, masing-masing memiliki tempat tersendiri,
Dalam diri kelana yang masih jauh jalan perjuangannya ini…
Wahai wanita-wanita penghias hidupku sekarang,
Faham kah kamu akan jiwa terseni Abang?
Ya, mulut Abang mungkin celupar, langkah Abang mungkin kelihatan bongkak,
Tapi percayalah, semua itu dilakukan untuk melestarikan satu harapan dan mimpi…
Mungkin Abang terlalu gopoh mengatur acara mewar-warkan rancangan,
Niat yang sepatutnya rahsia dikeluarkan juga jadi tatapan umum…
Mungkin Abang kurang sabar lalu kelihatan kurang ajar…
Manakan tidak, rahsia agama, bangsa dan negara,
Leluhur demi leluhur beribu tahun pembawa daulah mahu Abang ingatkan
Dalam jiwa Melayu yang lebih 400 tahun terjajah…
Semuanya cuma dalam tempoh beberapa purnama,
Sedangkan Abang penat, capek meminta rehat,
36 tahun melangkah membawa amanah tanpa simpati manusia…
Fahamkah kawan-kawan kenapa aku ada masanya merintih seperti orang kecewa,
Dayus meminta nyawa sendiri segera ditamatkan tidak kira apakah caranya?
Fahamkah wanita-wanita ku, kenapa aku memerlukan kehadiran lembut kalian sebagai penguat wadah pengukuh cerita?
Ah… Aku sudah lama meminta kembali ke alam tinggi,
Di ketika orang menuduhku mengatur langkah menagih takhta,
Maka kata mereka sebab itu aku sibuk membuka cerita lama,
Aku merintih di atas sejadah meminta nafas ku tamat, sengsara ku selesai…
Tidak sedikit air mata menitik, dahi menyembah bumi dengan harapan jasad ini terbujur sepi di pembaringan akhirnya, roh terlepas dari roda alam maya…
Namun Ilahi juga menyebut… Jangan saudara, perjuangan mu masih belum selesai,
Jauh lagi perjalanan mu wahai hamba Ku,
Kamu memikul amanah leluhur mu zaman berzaman…
Jangan engkau kecewa wahai anak muda,
Ketika kau menangis menahan rasa,
Bukankah Aku juga telah memberi mu jalan-jalan keluar,
Sudah berapa kali dari arah tak disangka-sangka?…
Bangun wahai kamu yang sering berselimut,
Atur langkahmu segagah nama-nama besar para leluhur mu yang bertapak seluruh Nusantara,
Genggam bara api itu sampai tinggal habuk dan hilang biasanya,
Agar agama, bangsa dan negara mu kukuh menghadapi cabaran bakal mendatang…
Aku tahu hati mu sepi,
Aku tahu kamu perlukan sokongan hati,
Maka aku ketemukan dengan kawan-kawan yang memahami,
Lebih penting lagi, wanita-wanita yang mampu menggamit mimpi mu sekali.
Maka itu aku, si jejaka yang lama kepenatan turun dari Janda Baik dengan senyum melebar meraut muka,
Bukan senyuman gatal jantan sepertimana dulu ramai mengenali sebagai air mukaku sepanjang masa…
Tidak! Aku turun dengan semangat baru lebih waja…
Di kala kawan-kawan tenggelam dalam seni istana lama Perak milik seorang saudara,
Aku duduk di tiang seri kesayangan menyatu diri dan hati,
Aku tahu rumah ini kenal siapa aku,
Dan wanita-wanita yang bakal menghiasinya nanti…
Bukankah malam tadi, seorang daripadanya telah menghidupkan majlis tahlil di sana?
Supaya istana purba yang terbiar lama dapat merasa bakal kembalinya seorang perwira?
Seorang pula di bumi asing menghitung makna untuk mempersembahkan puisi untuk kekanda… Puisi Janda Baik, walaupun dia sendiri belum sempat berjejak ke sana?
Maka aku kembali ke kota lumpur hari itu dengan lebih tenang…
Walaupun belum pasti bagaimana langkah-langkah seterusnya,
Aku tahu, segala yang bakal terjadi sudah lama tersurat di alam tinggi,
Tunggu saat dan ketika yang sempurna sahaja untuk terzahir nanti…
Kawan-kawan dan mereka yang mengenaliku merata pelusuk negara,
Mari kita sama-sama kenal diri lagi demi makna Melayu yang sebenarnya,
Wanita-wanita ku tak kira di mana jua kamu berada,
Mari bersama Abang kita hidupkan sebuah mimpi demi mencapai keredaanNya!
Selesai 12.38 am, 10 Oktober 2006 bersamaan 17 Ramadhan 1427 Hijrah, malam Nuzul Al-Quran di Ampang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan