Khamis, Jun 12, 2014

Perjalanan kecil ke Kelantan : Antara Tanjung Sepat, Gua Musang dan Bachok

Malam ini sudah masuk Nisfu Syaaban iaitu 15 haribulan Syaaban. Biar dilepaskan satu cerita perjalanan kecil yang dibuat hampir 2 minggu lalu.


Pagi Sabtu 31 Mei 2014. Saya dan keluarga berada di rumah abang ipar di Tanjung Sepat, Kuala Langat.


Ada majlis pernikahan dan perkahwinan mahu diadakan tetapi pada keesokan harinya. Kami bertandang awal kerana sebelum tengah hari harus berlepas ke Kelantan mengambil anak yang bersekolah di sana.


Dari rumah kami di Sungai Buaya, Rawang ke Tanjung Sepat ada jarak lebih 120 km ke selatan. Untuk ke Kelantan kami harus menghala lawan arah ke timur-laut melalui Kuala Lumpur. Dari KL ke Kota Bahru, Kelantan pun jaraknya sekitar 480 km atau lebih. Kalau dari Tanjung Sepat mahu 600 km.

Tapi apa nak buat? Anak kami yang bersekolah 15 km di luar Kota Bahru itu bakal menghadapi peperiksaan UPSR. Di celah persediaan seperti tuisyen dan sebagainya inilah masa yang ada untuk kami bersama. Selepas melalui kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya MRR2 juga di Lebuh Raya Karak masuklah kami ke Bentong, Pahang. Kami mahu berkejar ke Raub untuk makan.


Alhamdulillah sempat menikmati satu hidangan kegemaran iaitu ikan keli gulai asam rong. Ngam-ngam tinggal 2 ekor ikan seperti dihajatkan. Cuma kali ini entah kenapa saya rasa ia tidak enak seperti dirasakan dahulu.


Dari kedai makan di Simpang Kallang kami memotong ke Bukit Koman lalu ke Kampung Sempam. Singgah ziarah makam Nenek, ibu kepada ayah.


Selepas itu kami ada singgah bersolat di Batu Malim. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Umar al-Khattab, Batu Malim, Raub di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Perjalanan diteruskan melalui jalan ke Sungai Koyan sebelum melepasi Kuala Lipis menghala ke Merapoh. Kelihatan sebahagian jalan baru sudah siap.


Kami sampai ke Gua Musang hampir 6 petang.


Berehat sebentar di stesyen keretapi baru. Lihat artikel The new train station of Gua Musang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini adalah kali pertama saya singgah di stesyen ini, setelah 2-3 tahun ia dibuka. Dahulu saya cukup suka singgah minum kopi di stesyen lama.



Ini pula gambar di sebuah rumah kampung berdekatan pantai di Bachok. Ketika ini anak di Kota Bahru sudah diambil untuk dibawa bersama bermalam.



Kebetulan kenalan kami yang menetap di sini tahu membuat bekam, saya pun berbekam satu badan. Turut dibekam adalah satu bahagian kaki kanan berdekatan kawasan tulang patah yang dimasukkan besi. Kaki terasa agak bisa setelah seharian memandu. Nak buat camana? Umur dan meningkat dan tidak sekuat zaman muda...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan