Salam semua. Hampir setengah tahun lalu saya ada memulakan satu siri istimewa untuk mengenangkan zaman semasa belajar di UK 1991-1995. Tidak seperti siri-siri lain, ia ditulis lebih kuat mengikut mood berbanding biasa... rasa nak tulis, tulis, kalau tak lupakan sahaja buat beberapa lama. Tidak ada tempoh bila perlu ditamatkan kerana ditulis apabila timbul rasa untuk mengabadikan kenangan lama sambil cuba mengingatkan apa yang berlaku. Setakat ini cuma 4 artikel telah ditulis. Sekarang biarlah disambung satu lagi...
Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144
Kenangan zaman UK : Sedikit barangan lama sebagai 'jambatan' cerita
Seperti biasa apabila membuat siri, artikel-artikel sokongan disediakan terlebih dahulu di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Untuk Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London, artikel bertajuk From UCL to the LSE dibuat menunjukkan gambar universiti tempat saya belajar iaitu University College of London, antara menara gading paling terkemuka di dunia. Di atas adalah halaman utama universiti. Ia terletak berdekatan kesibukan pusat kota raya London yang mana keseluruhan kota menempatkan sekitar 10 juta jiwa.
rt
Tempat saya belajar adalah di Department of Mathematics, Jabatan Matematik yang terletak di bahagian atas satu bangunan lain di sudut timur-laut universiti. Sebetulnya banyak perkara mahu diluahkan tentang tempoh pembelajaran saya di sini tetapi buat masa ini tidak dapat dikeluarkan walaupun dicuba sejak siang tadi. Sedangkan esok pagi Sabtu pula saya harus bersiap bersama keluarga untuk ke kampung isteri menziarahi rumah adik-beradiknya sebelum bermalam di rumah abang sulung... dari rumah itu Ahad pagi pula akan bertolak ke Aceh untuk satu perjalanan baru selain menjayakan acara ke-10 HIKMAH.
Maka itu biar artikel ini dibuat ringkas sekadar untuk memecah sedikit kebuntuan sambil menerbitkan secuit rasa. Biar disertakan sekali gambar-gambar sedikit barangan berkaitan yang masih wujud dari zaman pembelajaran itu... saya temui siang tadi setelah menggeladah isi sebuah fail lama.
Resit yuran untuk belajar tahun pertama yang diterima setelah menyerahkan cek dengan nilai sekitar RM30,000...
Resit peperiksaan ulangan dan sedikit kad yang digunakan semasa tempoh pembelajaran. Insyaallah bila jiwa terasa lebih lapang dan senang bercerita akan saya huraikan. Kerana banyak pahit maung mengiringi kenangan manis zaman itu yang boleh menyesakkan dada apabila diungkit kembali. Tetapi perlu juga saya tangani dan ingatkan kembali untuk melangkah lebih segar ke masa hadapan. Nanti...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan