Ahad, Februari 16, 2014

Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah

Pada artikel Tentang penat dan kesibukan kebelakangan dan aktiviti akan datang yang dibuat 3 hari lalu telah disebut saya dijadualkan membuat satu perkongsian ilmu dan pengalaman di Wisma Sejarah pagi Sabtu. Malam ini setelah 24 jam gitu tak sedap badan, tengah malam tadi siap muntah-muntah dan badan bisa-bisa teruk,  baru terasa cukup selesa untuk menulis. Mungkin ini akibat kesan penat lelah menyelesaikan pelbagai perkara terutama berpindah rumah baru betul-betul menangkap.  Tak mengapa le. Dah boleh menulis sikit ni pun dah kira baik...


Pagi Sabtu 15 Februari iaitu semalam. Saya dan keluarga telah berkejar ke Wisma Sejarah yang terletak di sebelah Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. Selepas meletakkan kereta lalu pergi ke lif terlihat pada dinding hal tentang perkongsian ilmu dari saya. 


Biasanya saya suka mengambil gambar-gambar menunjukkan keadaan dari tempat masuk sampai ke bilik diadakan acara. Kali ini tidak sempat kerana dimaklumkan hadirin sudah lama menunggu. Mengikut undangan yang dibuat pada saya majlis bermula jam 10 pagi. Fikir saya masih ada banyak masa kerana sampai 9.30. Rupa-rupanya ada hadirin sudah sampai sebelum jam 9 lagi kerana diberitahu majlis bermula jam 9. Maka saya harus terus ke hadapan menyiapkan apa yang perlu untuk memulakan acara.



Saya sudah beberapa kali ke Wisma Sejarah mendengar perkongsian pengalaman dan/atau ilmu dari orang lain. Inilah kali pertama saya diundang berbuat begitu oleh PSM, Persatuan Sejarah Malaysia.  Selepas pengenalan dibuat oleh pengerusi majlis saya pun memulakan bicara. PSM memanggil acara-acara sebegini sebagai sembang santai. Tajuk yang dipilih adalah "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah".



Secara rata saya berkongsi pengalaman ketika mula mencari salasilah keluarga 13 tahun lalu. Segalanya berlaku dalam keadaan saya masih bersifat agak keBaratan lalu tercari-cari makna keMelayuan. Ia dimulakan dengan ringkasan mimpi yang dialami seminggu dua sebelum berlakunya peristiwa keruntuhan menara berkembar World Trade Centre (WTC) di New York 11 September 2001. Mimpi dan peristiwa membawa saya untuk berjumpa almarhum Nenek, ibu kepada ayah saya yang sudah 3 tahun tidak ditemui. lalu diberitahu tentang kewujudan seorang moyang induk kami yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. 


Saya pun bergegas untuk menziarahi makam watak misteri tersebut di Teluk Intan. Ini diikuti dengan ziarah ke beberapa lagi tempat terutama makam-makam sultan, mengikut jalan mudik Sungai Perak.




Apa yang diceritakan pernah dikongsi dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", cuma penumpuan lebih banyak pada tempat-tempat di negeri Perak.


Selain berkongsi pencarian diri, saya mengajak hadirin untuk berfikir tentang apa yang tersurat dan tersirat di sebalik keadaan suatu tempat atau tinggalan sejarah.






Misalnya di satu tempat terpencil bernama Teluk Memali, antara Teluk Intan dan Kampung Gajah, kenapa boleh wujud sebuah masjid tinggal yang agak cantik? Kenapa berdekatan itu ada makam Sultan ke-19 Perak yang kelihatan tidak terjaga sedangkan tidak jauh dari situ juga terdapat kubur residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch yang terjaga elok?


Selepas itu baru saya menceritakan sedikit hal masuk ke Aceh Januari 2004 ketika ia masih lagi darurat dilanda perang.


Dan selepas saya berjaya membukukan pengalaman tersebut pada novel pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), tidak lama kemudian jasad seorang moyang saya yang meninggal dalam buangan di Singapura dibawa kembali ke Perak lalu disemadikan di kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan.


Rasanya cukuplah saya mengulas secara ringkas apa yang dikongsikan pada majlis.




Saya cuma berkesempatan mengambil gambar sekitar majlis ketika satu video buatan sendiri menunjukkan tempat-tempat bersejarah di Aceh ditayangkan. Rujuk artikel Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...






Selesai majlis semua hadirin dijemput makan.


Bergambar bersama kawan-kawan berbusana dari NGO Armada Malaiu. Kami mengapit Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (tengah kiri) dan Tan Sri Dr Omar Hashim, pengerusi jawatankuasa eksekutif PSM. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,177 di blogspot ini.

2 ulasan:

  1. salam sejahtera,

    semoga diberkati usaha saudara sekeluarga...kemurahan rezeki saya doakan...:)

    teruskan usaha anda...

    BalasPadam