Salam Jumaat lagi. Adapun pada Jumaat lepas artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis telah ditulis. Artikel sambungan ini harus lebih istimewa kerana dimulakan pada tarikh 17 Ramadhan di Malaysia (di Indonesia puasa sehari lebih awal), hari Nuzul Quran. Malam semalam hingga ke Subuh saya telah mengambil keberkatan 17 Ramadhan dengan memperkemaskan isi blogspot perjuangan berkumpulan Himpunan Kedaulatan Melayu Islam
Akhir Zaman (HIKMAH). Setelah beberapa lama baru dapat memberikan tumpuan pada blogspot ini.
Sebagai nota, perenggan di atas dibuat petang Jumaat 26 Julai sebagai pengenalan kepada artikel yang cuma dimasukkan gambar ketika itu. Pada tengah malam Isnin 29 Julai merangkap 20 Ramadhan baru saya ada gerak untuk betul-betul membuat cerita. Mari... :]
Pagi Sabtu 11 Mei 2013. Setelah bermalam di rumah penginapan yang terletak di seberang istana kerajaan kecil Sengkang yang telah dijadikan muzium kami mahu melihat satu tempat yang saya fikir sangat penting dalam sejarah kerajaan Wajo'.
Sambil menunggu kawan Ibu Nur yang bertindak sebagai penunjuk tempat-tempat bersejarah datang kami bersarapan di ruang legar. Terlihat ukiran kayu seakan-akan bentuk awan larat yang saya perhatikan banyak terdapat pada bucu bumbung rumah tradisional Bugis dalam lingkungan kerajaan Wajo' yang kini cuma bertaraf daerah, dalam propinsi (seperti negeri) Sulawesi Selatan dan negara republik Indonesia. Di bawahnya terdapat satu frame barangan buah tangan yang saya cukup kenal...
Saya cukup kenal kerana pernah membeli barangan serupa, diletakkan pada dinding utama di rumah saya. Ia mengandungi dua bilah rencong, senjata tradisional orang Aceh berserta lakaran kecil peta Aceh. Apabila ditanya pada pekerja rumah penginapan, kata mereka memang ia dibawa dari Aceh oleh seseorang. Pada mereka ia cuma hiasan sedangkan saya melihatnya sebagai satu bentuk petunjuk tentang betapa rapatnya sejarah lama kerajaan Bugis Wajo' dengan kerajaan Aceh yang terletak di utara pulau Sumatera, 3000 km ke barat-laut Sulawesi Selatan.
Sesungguhnya saya sudah lama dapat merasakan ada kaitan yang sangat rapat antara kerajaan Aceh dan kerajaan-kerajaan Bugis terutama di Wajo'. Kedudukan ukiran awan larat yang dikira melambangkan identiti unik rumah tradisional Wajo' diletakkan berdekatan buah tangan dari Aceh ini sekadar menetapkan telahan. Rujuk balik artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis yang ada menyebut tentang seorang kerabat diraja Bugis bernama Daeng Mansur. Baginda datang ke Aceh abad ke 16 dan bermula tahun 1727 gitu keturunan baginda merajai Aceh lalu dikenali sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis.
Namun saya percaya ada kaitan Aceh-Bugis atau lebih khusus Aceh-Wajo' yang lebih awal. Untuk itu kami harus keluar dari kota Sengkang, masuk ke satu kawasan desa yang terletak sekitar 15-20 km di luar bandar.
Sepanjang perjalanan, rumah-rumah tradisional dengan ukiran layar atau awan larat di bucu bumbung menarik perhatian.
Sungguh, bentuk-bentuk ini terasa seperti kod lama yang mahu menghidupkan sesuatu. Hal ini ada disentuh dalam artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis di mana ada disebut begini...
Pada bucu atap bangunan terdapat ukiran awan larat yang menjadi identiti unik Wajo'. Lalu saya teringat zaman kanak-kanak sering menconteng kertas dan buku pelajaran dengan corak-corak serupa. Ini sering dibuat sampai saya masuk ke sekolah menengah. Apakah kerana ada memori berkenaan Wajo' yang menjalar dalam darah daging ini?
Dari segi semangat, perjalanan masuk desa seperti mahu memutar masa kembali ke sekitar 700 tahun lalu.
Kenapa saya sebut begitu? Sebelum diterangkan biar ditunjukkan rumah tradisional ini yang lebih menyerupai apa yang terdapat di Makassar dan sekitar kerajaan lama Goa, bukan ciri unik Wajo'. Kami singgah sebentar untuk mendapatkzn kebenaran kepala desa mahu bertandang ke tempat bersejarah di sini. Ketika itu hujan lebat bercucuran...
Selamat datang ke Tosora, pusat kerajaan Wajo' selama beberapa kurun. Dalam keadaan hujan masih lebat kami anak beranak naik ke satu kawasan berpagar sementara saya terhencot-hencot dengan tongkat kiri dan kanan...
Di sini terdapat makam milik seorang pendakwah bertaraf wali yang sangat gah namanya.
Beliau (atau baginda?) adalah Sayyid Jamaluddin Kubro, orang yang menurunkan para Wali Songo juga sejumlah raja Islam yang pernah memerintah kerajaan Melayu Champa, Patani dan Kelantan. Nama beliau sangat terkenal dalam sejarah awal kedatangan Islam ke Alam Melayu. Ada menyebut beliau mengetuai satu rombongan pendakwah yang dikenali sebagai Wali Tujuh. Seorang ahlinya adalah Sayyid Tanauddin, dikatakan orang yang sama dengan Sang Adi Putra, guru kepada Hang Tuah.
Inilah makam Sayyid Jamaluddin Kubro. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sayyid Jamaluddin Kubro di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat juga makam-makam di sekeliling termasuk yang menggunakan meriam sebagai penanda atau batu nesan. Klik Makam-makam di sekeliling makam Sayyid Jamaluddin Kubro (Tombs around that of Sayyid Jamaluddin Kubro)..
Makam-makam ini terletak di hadapan tinggalan masjid lama yang katanya dibina oleh Sayyid Jamaluddin Kubro. Bumbungnya sudah hilang, tinggal tembok dan mihrab di mana saya dapat berteduh dari hujan sambil berehat dan bertafakur sendirian. Lihat Tinggalan masjid lama Tosora (remains of the old mosque of Tosora).
Peliknya cerita mengenai Sayyid Jamaluddin Kubro ini kurang dikenali masyarakat Bugis juga orang Makassar di Sulawesi Selatan. Di kala nama beliau begitu mekar di kalangan mereka yang mengikuti sejarah awal kedatangan Islam juga kisah para Wali Songo, cerita Sayyid Jamaluddin seolah-olah terpendam dan disembunyikan di sebelah sini. Masyarakat Sulawesi Selatan secara rata cuma mengenali cerita Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang sebagai pendakwah paling awal membawa agama Islam. Pendakwah yang dikatakan datang dari Tanah Minangkabau awal abad ke-17 ini dicatat mengIslamkan kerajaan Goa kemudian baru kerajaan lain.
Lalu status masjid terawal di Sulawesi Selatan (ringkasannya Sulsel) dikatakan milik masjid lama Katangka yang terletak berdekatan pusat kerajaan Gowa, dibina tahun 1603. Lihat artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sheikh Yusuf dan pertentangan antara Sultan Hasanuddin dengan Arung Palakka. Kalau begitu bagaimana sejarah Aceh boleh menyebut tentang kedatangan pendakwah dari Wajo' bernama Daeng Mansur abad ke-16? Bagaimana beliau (atau baginda) boleh menjadi pendakwah kalau Wajo' sendiri tidak lebih awal sudah masuk Islam?
Hal serupa boleh dipersoalkan tentang tinggalan masjid lama yang terdapat di Tosora. Apabila ditanya orang tempatan mereka mengatakan ia didirikan oleh Sayyid Jamaluddin Kubro tahun 1621, 18 tahun lebih lewat dari masjid lama Katangka di Goa. Namun tidak pula diceritakan sejarah kedatangan Sayyid itu, yang sering diulang-ulang adalah cerita kedatangan Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang tahun 1600an. Kenapa? Mustahil pendakwah seperti Sayyid Jamaluddin Kubro yang dicatat berdakwah di Semenanjung seawal tahun 1345 Masihi tidak dikenali langsung. Apakah ada konspirasi untuk menutup cerita sebenar yang berkaitan?
Selepas bertandang ke makam kami singgah ke rumah kepala desa yang walaupun mengaku orang asli Wajo' tetapi rumahnya lebih mengikuti ciri tradisional Goa. Malah kata kepala desa apabila ditanya, beliau keturunan seorang Arung Matoa Wajo atau raja tertinggi Wajo'. Saya terlupa hendak bertanya kepada orang yang saya kira berumur awal 30an itu kenapa reka bentuk rumahnya lebih menyerupai binaan di Goa. Apakah kerana hendak menjaga hati atau menunjukkan taat setia kepada pemerintahan tertinggi yang berpusat di kota Makassar, kota terbesar yang dahulunya dikenali sebagai Ujung Pandang, pelabuhan utama kerajaan Goa?
Apabila melihat balik gambar ini terbetik di fikiran mungkin atas sebab serupa maka sejarah sebenar kedatangan Islam ke Sulawesi Selatan telah diubah atau disembunyikan. Untuk menaikkan kebesaran Goa yang diakui lebih berpengaruh dan besar namanya di kepulauan Alam Melayu, sejarah sebenar yang menunjukkan kelebihan kerajaan Wajo', lebih kurang 6 jam perjalanan berkereta dari Goa pun diketepikan. Akibatnya cerita insan sehebat Sayyid Jamadil Kubro tidak begitu dikenali di Sulsel. Walhal namanya bergema di seluruh Semenanjung, Sumatera malah Pulau Jawa hingga sekarang.
Kepentingan Sayyid ini dalam sejarah Sulsel seperti hendak dipinggirkan sehingga namanya sekadar disebut datang lewat dari Datuk ri Tiro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patimang. Malah beliau seolah tidak layak dibariskan bersama 3 datuk yang dikatakan datang dari Tanah Minangkabau. Walhal taraf sebenar beliau jauh lebih tinggi dan beliau harus sudah mendirikan masjid lama Tosora sebelum tahun 1400 lagi. Apapun lihat juga artikel Lagi makam-makam bertanda meriam (More tombs marked with cannons) dan Benteng (Fort of) Tosora. Yang menarik tentang makam-makam bertanda meriam ini adalah laras meriam yang harus sepanjang 10 kaki setiap satu dipasakkan masuk ke dalam tanah menjadi 'batu nesan'.
Kembali ke Sengkang, kami terus berkemas untuk keluar dari rumah penginapan. Selepas itu baru kami singgah ke sebuah makam berdekatan, makam milik seorang Arung Matoa Wajo atau raja tertinggi Wajo yang paling ditakuti Belanda iaitu La Madukelleng. Baca balik cerita tentang baginda yang telah diletakkan pada artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Akhirnya, sampai ke Wajo, kerajaan leluhurku belah Bugis. Perhatikan batu nesan baginda yang berbentuk batu bulat agak serupa dengan batu nesan Sayyid Jamaluddin Kubro. Ketika menjejakkan kaki ke sini terbetik di fikiran mungkin La Madukelleng itu berketurunan Sayyid itu?
Hal ini tidak mustahil kerana Sayyid Jamaluddin Kubro diketahui berkahwin ramai lalu meninggalkan ramai keturunan yang menjadi orang-orang hebat di serata Alam Melayu. Cuma di Sulsel, di Tanah Bugis dan Makassar cerita beliau tidak berapa terkenal. Apakah ini disebabkan politik menaikkan Goa sambil memperkecilkan peranan sebenar Wajo' seperti saya sebut tadi? Atau ada sebab lain hal sebenar disembunyikan?
Oh. Seperti pada hari Jumaat kami juga mendapati makam berkunci. Pejabat kerajaan di sebelah di mana kunci katanya disimpan juga ditutup. Nak tak nak kami terpaksa memanjat tembok untuk masuk ke dalam.
Pada mulanya saya cuma masuk seorang, dibantu penduduk tempatan yang menetap di rumah sebelah. Tetapi setelah bersendirian beberapa lama saya fikir elok anak-anak juga masuk merapati makam moyang. Lihat artikel Makam (Tomb of) La Madukelleng.
Turut terdapat dalam kompleks adalah makam seorang raja kerajaan Kutai yang berpusat di tengah Kalimantan, menantu kepada La Madukelleng.
Saya mengambil peluang bergambar di sebelah ilustrasi wajah La Madukelleng. Biar diberitahu, kemudian apabila kembali ke Malaysia lalu berjumpa seorang kenalan yang sering menjadi rujukan dalam hal-hal ghaib, beliau memberitahu ini bukan wajah sebenar baginda. Katanya wajah La Madukelleng adalah sama seperti satu watak yang pertama kali saya lihat dalam mimpi sekitar sebulan sebelum berlakunya peristiwa keruntuhan menara World Trade Centre di New York 11 September 2001. Orangnya tinggi lebih 6 kaki, tegap dan gagah, berkulit sawo matang. Namun seperti dalam gambar, baginda suka memakai pakaian hitam.
Sesungguhnya mimpi yang melibatkan istana kesultanan Perak itulah yang membawa saya untuk mengembara merata mencari salasilah keluarga. Itulah yang kemudian menyebabkan saya berhenti kerja meninggalkan rumahtangga lalu selalu tidur dari masjid ke masjid, makam ke makam untuk mencari ilham, petunjuk dan jawaban. Kemuncaknya adalah apabila saya masuk ke Aceh ketika ia masih darurat dilanda perang antara tentera nasional Indonesia dengan puak pemisah Januari 2004. Hasil pengalaman ini terbitlah siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" 2006-2007.
Segala yang berlaku telah menyebabkan saya berubah arah menjadi orang yang lebih menyayangi Melayu dan Islam. Selepas dapat menjejakkan kaki ke makam ini saya terasa begitu lega. Terasa misi peribadi saya datang ke Tanah Bugis sudah selesai sekurang-kurangnya untuk lawatan ini. Siapa tahu nanti saya akan ke sana lagi untuk berjalan lebih jauh dalam keadaan lebih sihat? Selepas itu terus kami mengorak langkah kembali ke Makassar. Lihat artikel Going back to Makassar via Bone di blogspot BERPETUALANG KE ACEH
Kebetulan, atas rancangan Qada' dan Qadar Allah ziarah ke makam ini menjadi susulan pada lawatan ke Tosora. Kalau tidak kerana makam berkunci hari Jumaat dan masih berkunci ketika kami hendak menuju ke Tosora pagi Sabtu tentu saya sudah ke sini terlebih dahulu kerana letaknya agak dekat dengan rumah penginapan di sebelah istana/muzium. Adapun dahulu pernah terbetik di fikiran saya bahawa sejumlah raja dan bangsawan Bugis berasal dari keturunan Sayyid Jamaluddin Kubro. Sejak menjejakkan kaki ke sini saya menjadi yakin La Madukelleng juga dari keturunan ini malah nasab baginda adalah yang paling induk di Tanah Bugis...
Namun atas sebab tertentu fakta ini jadi terpendam atau sengaja disembunyikan berserta satu fakta lain yang saya percayai sekian lama tetapi mungkin sukar diterima orang lain. Saya percaya Sayyid Jamaluddin Kubro itu sebenarnya berasal dari Aceh dan memiliki susur-galur keturunan raja-raja Pasai. Lihat artikel Wali Songo dari keturunan Sultan Malikus Saleh? yang dibuat setahun lalu. Malam ini, mengambil keberkataan malam Isnin 20 Ramadhan biarlah ditambah satu perkara yang sudah 10 tahun begitu saya yakini tetapi rasanya tidak pernah disebut secara terang-terangan, cuma ada berkias. Saya percaya keturunan yang termasuk di dalamnya sejumlah kerabat diraja Bugis ini memiliki nasab darah daging yang sampai kepada Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.
Sheikh Abdul Qadir yang hidup di Baghdad 1,000 tahun lalu pula memiliki nasab belah bapa bin datuk lelaki bin moyang laki-laki dan seterusnya sampai kepada Saidina Hassan, cucu sulung Nabi Muhammad SAW. Di celah-celah itu ada tercampur darah Saidina Abu Bakar, sahabat utama Nabi. Ibu Sheikh Abdul Qadir pula berketurunan Saidina Hussein, adinda Saidina Hassan. Campuran darah Bugis membawa kepada darah keturunan Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman AS. Cukup.