Rabu, Julai 24, 2013

Pembedahan 15 Ramadhan dan faktor 313



Syukur alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan tengah hari tadi saya sudah selamat menjalani satu pembedahan kecil untuk membawa keluar sebatang skru yang telah digunakan untuk mengikat tulang kecil kaki kanan dengan tulang besar. Ini dibuat agar ligamen kaki yang koyak dapat duduk pada tempat sepatutnya supaya boleh bersambung dan pulih. Skru ini adalah yang terpanjang antara 7 skru yang dimasukkan ke dalam kaki semasa pembedahan kali pertama 30 Mei. Enam skru lain turut digunakan untuk mengikat sebatang plet yang menyokong tulang kecil atas buku lali, tulang yang retaknya membentuk lingkaran ke atas akibat satu kecederaan yang berlaku 23 April. Rujuk Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot.

OK. Bila diteliti balik sebenarnya saya tak berapa ingat apakah kaki saya telah dimasukkan 7 atau 8 skru. Saya telah melihat x-ray seminggu lalu tetapi tidak mengambil gambar. Selepas menulis perenggan di atas baru saya teringat ada satu skru yang tidak mengikat plet. Jika yang lain dimasukkan berserta plet melalui potongan kulit dan daging pada bahagian luar kaki kanan atas buku lali, satu skru ini dimasukkan dari belakang kaki untuk mengikat tulang atas tumit yang turut retak.

Namun suka saya untuk memikirkan bahawa 7 skru digunakan pada plet. Ini kerana skru yang dibawa keluar tengah hari tadi terletak di tengah. Saya pasti bahagian bawah plet dikukuhkan dengan 3 skru yang diikat masuk ke tulang buku lali. Bahagian atas tu yang saya fikir harus diikat dengan 3 skru lagi. Maka ia harus membentuk formasi 3-1-3 iaitu 3 di atas, 1 di tengah dan 3 di bawah. Saya suka ini kerana nombor 313 memiliki banyak signifikan - 313 rasul, 313 tentera Thalut melawan Jalut, 313 ahli tentera Badar dan sebagainya.

Adapun sebelum pembedahan saya harus masuk ke wad sementara Day Care Centre (lupa pula terjemahan Melayunya). Sementara menunggu giliran saya ditempatkan di katil bernombor 31. Pada laci sebelah saya terlihat nombor 3-1-3 yang saya dah lupa untuk apa. Selepas pembedahan saya direhatkan di katil lain pula, katil bernombor 5. Seolah-olah ini semua ada kena-mengena kerana apabila melihat botol yang mengandungi skru untuk diserahkan kepada saya (gambar atas) tertera masa ia dikeluarkan adalah 1305 (1.05 tengah hari).

Selepas skru dikeluarkan tulang besar dan kecil tidak lagi diikat. Ini membolehkan saya mula membuat beberapa senaman kecil menghidupkan otot-otot sebelum saya betul-betul boleh menjejakkan kaki ke tanah lalu kembali berjalan seperti sediakala, satu proses yang katanya memerlukan lagi 6 minggu tempoh pemulihan. Sukacita dimaklumkan pembedahan yang membawa harapan kembali berjalan ini berlaku pada siang 15 Ramadhan, sekurang-kurangnya di Malaysia (di Indonesia hari ini 16 Ramadhan). Sukacita saya kerana ia jatuh pada tarikh lahir Saidina Hassan, cucu sulung Nabi Muhammad SAW yang ada kaitan rapat dengan salasilah keluarga.

Sekarang saya harus bersabar dengan sedikit kesakitan. Maklumlah, kulit dan isi dipotong sedikit, skru dibawa keluar meninggalkan lubang pada tulang sebelum kulit dijahit. Selepas habis bius datanglah rasa sakit, rasa 'berdengung' semacam sakitnya bila kaki bergegar terlanggar apa-apa, misalnya terhentak pada kerusi kereta dalam perjalanan kembali ke rumah. Malah terlanggar tilam dan bantal dekat tempat luka pun boleh terasa...

Selalunya ini boleh dikurangkan dengan memakan ubat tahan sakit. Tetapi saya mahu meneruskan puasa hari ini, puasa yang tidak batal akibat pembedahan. Jadi selepas berbuka baru boleh makan apa-apa ubat. Cukuplah luahan rasa dari saya untuk 15 Ramadhan... :]


4 ulasan:

  1. Bro! moga sembuh sepenuhnya...teruskan pencarian kita...

    BalasPadam
  2. Salam..

    Bro cuba lihat link ni..

    http://fenomenazaman.blogspot.com/2013/07/apakah-ini-saat-ketibaan-dan.html

    Alquran Surah Toha ayat 15 (20:15) muka surat 313

    BalasPadam