Bersambung dari Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu. Penulisan mula dibuat 31 Oktober Khamis malam Jumaat jam 8.11.
Esoknya pagi Rabu saya datang ke seminar lagi. Kali ini seorang diri setelah menghantar isteri ke tempat kerja.
Ia adalah hari kedua dan terakhir seminar. Seperti pada semalamnya saya datang lewat lagi.
Sesi pembentangan pagi yang merupakan sesi ke-3 keseluruhan sedang berlangsung. Berikut adalah aturan pembentang dan tajuk :-
1) Dr. Hj Harun Mat Piah - "Sulalatus Salatin : Testamen Keperkasaan Nasionalisme Melayu"
2) Dr. Zubir Idris - "Sulalatus Salatin : Satu Bacaan Etnosentrisme"
3) Dr. Shahruddin Maaruf - "Susunan di Bawah Kerajaan Melayu Lama"
4) Dato' Raslin Abu Bakar - "Sulalatus Salatin : Karya Agung Melayu di Institusi Simpanan Dunia"
Namun itu aturan yang tertera dalam buku cenderamata. Ketika sesi berlangsung Dato' Raslin yang merupakan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara tidak dapat datang lalu menghantar seorang wakil perempuan. Sesi juga memiliki tambahan seorang pembentang, Puan Halimah Hassan yang sepatutnya membentang semalam tapi mengalihkannya ke hari kedua. Gambar ini diambil ketika beliau (hujung kanan) membentangkan kertas bertajuk "Undang-undang Melayu Tradisional dalam Sulalatus Salatin".
Ini pula dari sesi tengah hari merangkap sesi ke-4 keseluruhan yang bermula jam 11. Senarai pembentangannya adalah seperti berikut :-
1) Dr. Cheah Boon Kheng dan Profesor Madya Dr. Peter Borschberg - "Raja Bongsu, Penulis dan Penaung Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin : Peranan dan Nasib Malang Seorang Putera Johor (1571-1623)"
2) Profesor Madya Dr. Noriah Taslim - "Sulalatus Salatin Sebagai Buku Tradisi : Wibawa dan Kemungkinan"
3) Profesor Madya Dr. Jelani Harun - "Pengaruh Sejarah Melayu dalam Kesultanan Negeri Perak: Suatu Penelitian Sumber dan Fasa Baharu Magna Carta Melayu"
4) Dato' Zainal Abidin Borhan - Adat Istiadat dalam Sulalat Al-Salatin
Adapun semasa rehat sarapan pagi Dr. Cheah yang membuka sesi (hujung kanan) ada datang duduk semeja bersama saya dan rakan-rakan yang berbusana. Beliau tertarik dengan penampilan kami. Begitu juga halnya Prof Borschberg seorang sarjana Barat (tidak duduk di atas pentas) yang turut mengisi kertas kerja tetapi membiarkan Dr. Cheah membentangkannya. Menariknya sarjana dari Switzerland ini selesa berbaju batik.
Borschbeg yang menetap di Pulau Batam, Indonesia sejak 20 tahun lalu berulang-alik ke Singapura sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengajar di universiti kebangsaan sana. Katanya cuma 30 minit naik bot. Lalu beliau dapat memahami hati budi orang Melayu terutama di Riau dan bagaimana pandangan mereka terhadap pemerintahan Indonesia yang berpusat di Jakarta. Beliau juga dapat memahami reaksi kami berbusana sebagai menunjukkan identiti bangsa di kala ramai orang bukan Melayu mempersoalkan hak kami seraya menuntut yang bukan-bukan. Dr. Cheah lebih banyak mendengar perbualan.
Kertas kerja mereka lebih menumpukan pada suasana sekitar SS dikarang. Selain menambah beberapa perkara tentang penulisan buku mereka membuat penumpuan pada Raja Bongsu, seorang kerabat diraja yang menaiki takhta Empayar Johor-Riau-Lingga 1615. Semasa menjadi Raja di Hilir Johor, juga dikenali sebagai Raja Seberang baginda telah mengarahkan Bendahara (ketika itu Tun Sri Lanang) agar mengarang sebuah kitab yang mengandungi cerita sejarah raja-raja. Itulah kitab yang diberi nama Sulalatus Salatin, diperkirakan mula ditulis 1612 di Johor kemudian disambung penulisannya di Aceh, selepas TSL dan sejumlah kerabat diraja termasuk sultan ditawan ke sana.
Ini pula dari pembentang ketiga, Prof. Jelani yang memilih untuk melihat kaitan isi SS dengan kitab-kitab Melayu lain. Saya tertarik apabila beliau memberitahu pernah melihat sebuah naskah kitab Misa Melayu yang memulakan salasilah raja-raja Perak menggunakan maklumat serupa dalam SS. Untuk makluman kitab ini umumnya ditulis oleh seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Chulan, atas perintah Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1754 - 1765).
Untuk makluman, sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Syah I (memerintah 1528-1549) adalah anakanda Sultan Mahmud Syah Melaka. Namun kitab Misa Melayu yang diketahui ramai cuma memulakan salasilah raja-raja Perak dari sultannya yang ke-10, Sultan Muzaffar Syah II (memerintah 1728-1754). Baru saya tahu ada versi tersimpan di England yang bercerita tentang raja-raja terdahulu.
Sebelum sesi kami sempat berbual-bual sedikit di ruang legar. Rupa-rupanya Prof. Jelani pernah bersekolah di Teluk Intan. Beliau teruja apabila saya memberitahu bapa saya berasal dari sana dan kami berketurunan terus Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah 1877, akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch 1875. Terus beliau berkata, menurut apa yang beliau dengar Laksamana Muhammad Amin itu orangnya sangat dekat penampilannya dengan Hang Tuah.
Saya sendiri baru pertama kali mendengar ini. Yang saya pernah dengar Muhammad Amin adalah orang terakhir memegang Keris Taming Sari sebelum ia dirampas British, disimpan di England beberapa lama kemudian dimohon kembali oleh seorang Sultan Perak zaman moden lalu dimasukkan sebagai salah satu pakaian pertabalan raja. Hari sebelumnya kami memang ada berbual tentang Perak. Ketika itu beliau menyebut sebagai berasal dari Bagan Datoh.
Saya sempat memperkenalkan beliau kepada pengarah filem Mamat Khalid lalu meminta beliau turut menolong membentuk pengisian nanti. Rujuk Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu. Ketika itulah saya mendapat kepastian, ada seorang lagi cendekiawan bernama Jelani iaitu Prof Ahmad Jelani. Prof lagi satu itu katanya pakar dalam kajian kapal-kapal lama Melayu. Kami memerlukan beliau untuk mengesahkan rupa bentuk kapal besar yang boleh dipakai dalam filem.
Pada pembentangan Prof. Jelani Harun turut mengenengahkan sejumlah isi yang diambil dari buku tulisan Raja Muda Perak sekarang, Raja Dr. Nazrin. Waad iaitu perjanjian antara anak raja yang dikenali sebagai Sang Sapurba dengan pemerintah Palembang sebelumnya, Demang Lebar Daun seperti tertulis dalam SS disamakan dengan perjanjian Magna Carta yang terkenal dalam sejarah bangsa Inggeris.
Kiri, kelihatan pembentang terakhir sesi tengah hari Dato' Zainal bercerita tentang adat istiadat Melayu. Beliau banyak memberikan contoh dari amalan masyarakat di Negeri Sembilan di mana ibunya berasal, dalam lingkungan Adat Perpatih yang dikatakan melebihkan orang perempuan. Sedangkan bapanya adalah orang Bugis dari pesisir...
Untuk sesi petang merangkap sesi kelima acara cuma ada dua orang pembentang seperti berikut :-
1) Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Haji Ismail - "Melestarikan Maklumat dalam Sejarah Melayu
2) Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar - Geolingustik dan Migrasi: Gambaran dalam Sulalatus Salatin"
Adapun ketika soal jawab selepas sesi pagi saya ada bertanyakan panel pembentang apakah yang mereka dapat lihat sebagai definisi orang Melayu menurut kitab SS memandangkan raja-raja Melayu itu dikatakan berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain di Macedonia, Eropah yang beranak-pinak di benua Hindi sebelum datang ke Tanah Melayu. Prof. Rahman menjawab ini dalam pembentangan menggunakan satu perenggan dari SS yang ramai orang terlepas pandang. Iaitu apabila disebut nama pengarang (atau penyusun menurut sesetengah orang), Tun Muhammad (nama Tun Sri Lanang, disebut sebagai Tun Mahmud oleh Prof. Rahman) itu keturunan baginda Mani Purindan, bangsa Melayu. Sedangkan pada bab asal-usul Mani Purindan dalam kitab yang sama, baginda dikatakan berasal dari benua Hindi. Nah... seorang yang terang-terang datang dari benua Hindi boleh dipanggil Melayu. Ini menunjukkan bagaimana takrif Melayu itu lebih pada budaya... mana-mana bangsa boleh menjadi orang Melayu asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu.
Pembentang terakhir Prof. Asmah pula mengambil pendekatan linguistik untuk menerangkan keadaan. Seingat saya inilah kali pertama menghadiri acara di mana beliau ada membentang. Saya rasa sedikit pujian harus diberikan pada Prof Emeritus ini. Menurut buku cenderamata, beliau lahir tahun 1940, lalu harus berumur 73 tahun. Kalau tak salah ini menjadikan beliau pembentang paling tua dalam seminar. Namun rupa paras beliau saya lihat menyerupai wanita berumur 50an...
Sesi soal jawab dibuka dengan sahabat saya, Puan Suzana Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" hampir sahaja menerpa untuk menyatakan pandangan. Beliau berkongsi kajian beliau bahawa Mani Purindan memiliki nama lain yang melambangkan kaitan dengan budaya Parsi, bukan orang Keling dari Hindi. Selepas beliau saya juga mengemukakan pandangan - satu tentang asal usul Hang Tuah dalam kitab SS versi A. Samad Ahmad yang menyebutnya sebagai Daeng Mempawah dari Tanah Bugis, dikaitkan dengan lawatan saya dan keluarga ke Tanah Bugis 5 bulan lalu,. Kedua adalah tentang cerita Raja Suran (disebut SS versi Raffles 18 @ versi Raja Bongsu sebagai Raja Culan) masuk ke dalam laut lalu terjumpa kerajaan bawah bumi. Kemudian baru saya bertanyakan soalan apakah panel setuju Raja Suran ini sama dengan Raja Rajendra Chola dari selatan Hindi yang diketahui menyerang Tanah Melayu tahun 1025 tak pun seorang cucu Rajendra Chola, Kulotunga Chola yang memerintah 1070-1120...
Selepas beberapa lama majlis pun ditutup oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan. Dalam ucapannya beliau menyenaraikan beberapa resolusi hasil perbincangan seminar. Saya dapati cadangan saya turut dimasukkan dalam resolusi iaitu agar diatur lawatan tempat atau site visit ke tempat-tempat bersejarah yang disebut dalam kitab SS. Namun saya terlupa bila cadangan dibuat kerana ada bertanyakan soalan dan memberikan pandangan selepas setiap kali sesi kecuali pada hari Selasa akibat sakit perut keluar dewan.
Ini adalah gambar di ruang legar selepas acara tamat.
Rasanya sedikit sebanyak kami berjaya memberikan kesan atau impak kepada para hadirin apabila datang berbusana begini lalu mengikuti acara dari mula hingga tamat. Walaupun pada awalnya ramai menyangkakan kami datang untuk membuat persembahan silat, tak pun menghias majlis atau menjaja pakaian beragam, saya percaya kami dapat menunjukkan kehadiran sebagai anak-anak muda yang ingin mendaulatkan kembali Melayu dan Islam melalui cara yang berhemat lagi berhikmah. Ini ditunjukkan melalui kehadiran yang bukan tahu berdiri tercongok sahaja tetapi rajin berinteraksi di kalangan peserta dan cendekiawan.
Sebagai seorang wartawan pula saya memang sudah biasa bertanyakan soalan pada majlis-majlis, begitu juga atas kapasiti sebagai penulis bebas. Kini, dengan berbusana begini, juga sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya sengaja menonjolkan diri di majlis-majlis terutama yang dihadiri ramai cendekiawan untuk memenuhi misi. Ketika soal jawab sesi terakhir saya sengaja menerangkan diri sebagai seorang graduan matematik dari London yang kemudian terpanggil untuk mencari salasilah keluarga lalu mencari keMelayuan dirinya sekali. Tujuannya agar umum nampak, yang memakai busana bukan disebabkan berfikir kekampungan tetapi disebabkan kesedaran yang timbul setelah puas melihat gelagat dunia baik dalam negara mahupun di luar.
Bukan untuk membesarkan diri tapi saya pasti para cendekiawan tanah air terutama sahabat baik saya Prof. Abdullah Zakaria yang membentang hari Selasa boleh nampak taraf keintelektualan yang dimiliki. Apa yang ingin ditekankan adalah ada juga lain-lain kawan busana yang juga berfikiran sama tinggi kalau tidak pun lebih pandai lalu bukanlah kolot apabila memilih untuk menonjolkan pemakaian sebegini di majlis-majlis Kepada kawan-kawan lain yang sama-sama berjuang lalu terbaca ini saya sarankan. Selalu-selalulah mendekati majlis ilmu terutama di universiti dan jabatan-jabatan seperti muzium dan arkib dengan berbusana. Ini adalah usaha untuk menarik para peneraju jabatan untuk turut berbusana sama sehingga ia menjadi kebanggaan semua, bukan sekadar watak olok-olokan atau badut berwarna-warni yang hanya layak membuat persembahan silat, tarian atau mengiringi pengantin kalau tak pun menambah 'cawangan'. Sekian... :]
Salama,
BalasPadamHamba sdg buat cross reference ttg nabi kita dan di dlm salalatus salatin menunjukkan bhw merah silu di rajakan oleh sheikh ismail menggunakan brg kebesaran yg di bawa dari makah. Di dlm hikayat omar amir manuskrip UM menyatakan bhw nabi adalah raja arab. Jadi makah adalah warisan kerajaan ahli bait dan tidak hairanlah akan berlaku peperangan merebut semula Makah oleh ahli bait kerana merekalah pewaris sah dan bukan keluarga saud. Kekhalifahan bermaksud mengembalikan sistem raja dan menghapuskan sistem demokrasi.