Selasa, Mei 28, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur

Salam semua. Pada penghujung Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira' yang dibuat satu setengah hari lalu saya ada menyebut, atas sebab tertentu akan berehat daripada menulis buat beberapa hari. Rupa-rupanya rehat ini harus dimulakan bukan semalam tetapi 2 hari kemudian. Nanti  insyaallah akan diceritakan kenapa perlu berehat. Buat masa ini biar disambung cerita dari Gua Hira'...


Pagi Rabu 10 April 2013, orang ramai telah menunggu untuk masuk ke gua. Ketika gambar ini diambil jam 5.53 pagi masih ada sisa waktu Subuh. Saya dapat menunaikan solat di atas batu berdekatan dengan berwudhuk menggunakan sedikit air mineral yang ditinggalkan orang.


Di sekitar tidak ada tandas atau bilik air. Saya terpaksa bertungkus-lumus mencari tempat di mana orang tak boleh nampak untuk melepaskan hajat.


Bukan senang hendak mencari tempat sebegitu...


Kawasan amat curam dan ada saja sudut yang orang boleh memandang.


Namun alhamdulillah dapat juga dicari satu sudut belakang batu yang tersembunyi sekurang-kurangnya buat sedikit waktu.


OK. Salah satu perkara yang mahu didapatkan di atas Gua Hira' adalah membuktikan kewujudan beruk jenis baboon yang bontotnya berkepul-kepul merah di atas ini. Nampaknya Allah SWT mendengar 'rintihan' hati saya, hehe. Tidak lama kemudian datanglah segerombolan beruk melintas di atas batu.


Dahulu ketika pertama kali sampai tahun 2005 saya ada menceritakan perihal beruk baboon yang muncul di hadapan mata setelah selesai berzikir dan bertafakur menutup mata. Ketika itu saya sedang bersila atas batu hampar kecil di atas gua. Namun ada yang tak percaya dan menganggapnya cuma khayalan saya saja.


Ada juga mengatakan itu mungkin jelmaan yang diperlihatkan berdasarkan isi hati saya. Oleh kerana saya ni kadangkala suka memikirkan hal-hal lucu lagi mengarut dan bersifat katun maka Allah zahirkan ia dalam bentuk beruk bontot berkepul di tempat suci ini agaknya.


Nah. Sekarang saya sudah letak 3 keping gambar menunjukkan beruk-beruk ini. Kalau ia muncul kerana saya berotak kartun maka seharusnya semua pengunjung ke Gua Hira' pagi itu juga berotak katun.


Apapun, pemandangan dari atas memang cantik. Boleh kelihatan kota Mekah terhampar di celah bukit dan gunung dengan menara jam setinggi 601 meter menandakan kedudukan Masjidil Haram dan pusat kota. Saya mengambil gambar persekitaran dari beberapa sudut baik waktu selepas Subuh mahupun ketika matahari naik. Lihat artikel Views from on top of Hira' cave di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Gambar ini pula menunjukkan kedudukan saya berbanding Gua Hira'. Lihat artikel Gua (The cave of) Hira' di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sejak sebelum 5 pagi lagi pengunjung asyik datang bertali-arus menunggu giliran untuk masuk. Oh. Baru teringat. Sebelum memulakan pendakian isteri hilang kasut sebelah kiri di Masjidil Haram. Ketika itu kami sedang duduk berehat di halaman sebelum solat jemaah Isya' kalau tak salah ingatan. Tiba-tiba sahaja kasut hilang, mungkin ditendang orang yang lalu lalang. Lama juga kami mencari tapi langsung tak jumpa. Entah bagaimana isteri boleh menemui kasut lain sebelah kiri yang nampaknya ditinggalkan orang. Memandangkan ia sudah tersadai begitu sahaja kami rasa mungkin itu cara Allah menggantikan kasut isteri yang hilang. Itulah yang digunakan untuk memanjat Jabal Nur hingga sampai ke Gua Hira'.


Saya dan isteri sudah berlegar sejak jam 3.25 pagi. Lepas jam 8 baru mahu meninggalkan tempat suci di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu baginda yang pertama ini. 


Kami mahu mengucapkan selamat tinggal dengan sekurang-kurangnya menyentuh dalam gua. Oleh kerana orang terlalu ramai kami mencuba dari satu sudut yang agak susah.


Kami perlu memanjat ke atas gua kemudian turun ke satu sisi yang curam.


Lihat sahaja pemandangan ke bawah. Kalau kecut perut atau gayat jangan sesekali mencuba.


Dari situ kami boleh menjenguk ke dalam Gua Hira', boleh juga menyentuh isinya sampai ke satu tahap.


Cukuplah ini sebagai syarat. Hampir jam 8.30 kami pun naik kembali ke puncak.


Perjalanan menuruni bukit atau gunung dari gua harus menaiki ke puncak. Di situ ada pondok tempat rehat di mana kita boleh membeli minuman. Nak tidur atas permaidani pun boleh. Lihat The hut at the summit of Jabal Nur.
.

Jam 9 baru kami meninggalkan puncak dengan turun melalui muka lain batu besar yang membentuk puncak.



Sekitar 12 minit kemudian sampai ke pondok lain yang terletak di satu bahagian genting.


Beginilah kedudukan pondok (kanan bawah) berbanding batu besar yang membentuk puncak. Pondok atas terlindung dari pandangan.


Di pondok bawah ini juga ada tempat rehat dan menjual minuman. Punyalah seronok melepak, kami suami isteri sampai tertidur di sofa...


Tu dia. Jam 10.45 baru menyambung penurunan.


Setelah 12 minit bergerak sampailah ke bahagian kaki bukit terdekat di mana boleh didapatkan kenderaan untuk kembali ke pusat kota.


Balik ke hotel kami pun berehat. Selepas jam 6 petang baru kami keluar. Kami mahu ke Masjidil Haram melalui satu jalan lain. Jalan ini saya agak-agak kedudukannya setelah beberapa hari memerhatikan persekitaran.


Kami perlu melalui terowong yang menembusi satu banjaran kecil bukit. Banjaran ini mengunjur ke selatan sementara terowong menembusi ke timur...


Adapun hotel kami terletak 1 km ke selatan Masjidil Haram, dalam satu kawasan yang dipanggil Misfalah, berdekatan jalan Al-Hijrah yang hampir selari dengan jalan besar Ibrahim Al-Khalil. Pintu masuk terowong terletak ke tenggara hotel membawa masuk ke kawasan yang menurut carian saya di Google Earth bernama Ajyad.


Keluar sahaja terowong kelihatan sebuah masjid ke kanan. Lihat Masjid (Mosque of) An-Nafiq. Masjidil Haram terletak lebih kurang 700 meter ke utaranya dengan menara jam Mekah sebagai penanda arah.


Setelah melihat masjid saya dan isteri pun menyambung perjalanan.


Dari Ajyad kita boleh menaiki jambatan pejalan kaki untuk masuk terus ke aras dua Masjidil Haram.


Di sana kami setakat membuat beberapa kali tawaf sunat untuk dihadiahkan kepada kaum keluarga. Cukuplah saya dah buat umrah 5 kali, isteri 4 kali. Saya rasa memang dah tak larat dah nak buat 11 kali seperti pernah dilakukan 8 tahun lalu. Malam itu saya sekali lagi cuba membawa isteri untuk mencium Hajarul Aswad. Sempatlah beliau menyentuh batu suci tersebut sebelum harus mengalah pada tekanan orang ramai yang tak putus asyik berebut mengintai peluang, rata-rata dengan cara kasar.

Untuk pengetahuan ini adalah artikel yang ke 1,111 di blogspot ini. Selepas ini tinggal satu sahaja lagi artikel dalam siri diikuti artikel kompilasi yang mengumpulkan semua links. Setelah selesai kesemuanya saya mahu menumpukan perhatian pada acara kelima HIKMAH, "HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu". Sebagai peringatan ia dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Marilah sama-sama memeriahkannya. Sila klik sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan