Isnin, Mei 27, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira'

Alhamdulillah, setelah lebih sebulan dimulakan, siri yang menunjukkan pengalaman menarik di Madinah dan Mekah inipun menghampiri kemuncak. Kemuncak apa dan bagaimana? Biar diberitahu, untuk memulakan penulisan kali ini saya menetapkan loceng atau alarm telefon bimbit agar membangunkan saya pada jam 3.13 pagi. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Dari Jabal Rahmah ke makam Siti Khadijah hingga jadi botak.


Pagi Selasa 9 April 2013. Sekali lagi jemaah kami bersedia untuk membuat lawatan ke luar Mekah.


Saya sudah berimej baru. Inilah rupa selepas kepala dibotakkan Subuh tadi.


Perjalanan dimulakan sekitar 8.15 pagi.


Kami dibawa ke satu kawasan di mana terdapat banyak ladang unta di tepian lebuh raya.


Isteri sungguh seronok. Lihat artikel The camel farms outside of Mecca di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya lagi le. Orang otak kartun dibawa melihat binatang dengan rupa dan perawakan lucu. Sempat buat posing 'monster unta'. Ana ente unta.Dulu-dulu ana naik unta, sekarang naik Unser (Toyota Unser). Boleh?


Seterusnya kami dibawa ke Hudaibiyah, tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiyah yang sangat terkenal dalam sejarah Islam.


Tinggalan masjid lama yang kalau tak salah didirikan pada zaman Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu tentunya memberikan sesuatu buat seorang pengkaji dan peminat sejarah lama seperti saya. Lihat artikel Masjid lama (Old mosque of) Hudaibiyah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di masjid yang lebih baru pula saya memulakan niat untuk menjalankan satu lagi umrah, yang kelima dalam perjalanan ini. Lihat Masjid (Mosque of) Hudaibiyah.


Sekitar jam 10.30 gitu jemaah dibawa kembali ke hotel. Namun sesiapa yang mahu membuat umrah terus boleh turun di simpang terdekat menghala ke Masjid Haram.


Kali ini saya pergi seorang diri. Isteri sudah penat, mahu berehat di hotel. Lagipun kami harus menyimpan tenaga untuk satu hal yang lebih mencabar malam nanti.


Selesai tawaf 7 pusingan saya banyak menghabiskan masa di tepian Ka'abah terutama di bawah pintu dan Hijr Ismail.


Tamat sa'ie 7 kali ulang-alik antara Safa dan Marwah dan menutup umrah dengan tahalul iaitu bercukur  atau memotong sekurang-kurangnya beberapa helai rambut saya berehat panjang di atas batuan puncak bukit Marwah hingga tertidur. Kali ini cukuplah dengan menguis kepala dengan gunting. Kepala baru dibotakkan sehingga licin selepas solat Subuh. Nak potong atau cukur rambut apa?


Rehat disambung di hotel selepas solat berjemaah di Masjidil Haram. Petang itu saya meninjau-ninjau jalan-jalan belakang berdekatan untuk melihat suasana kehidupan penduduk tempatan. Lihat Checking out the backstreets near the hotel.


Malam jam 10 gitu baru saya ke Masjidil Haram lagi bersama isteri.


Sambil menikmati suasana ibadah terutama di hadapan Ka'abah kami berehat menunggu waktu sesuai untuk meneruskan misi...


Hampir jam 2 pagi kami mendapatkan teksi keluar dari pusat kota Mekah.


Turun di bukit yang bernama Jabal Nur. Haaa... dah nampak tak misi apa? Tapi bila dah sampai di kaki bukit baru terfikir nak dapatkan air minuman lalu berjalan turun kembali mencari-cari. Hampir jam 2.30 baru kembali ke kaki bukit untuk meneruskan misi.


Pada mereka yang ingin menjejak sirah perjalanan Rasulullah SAW, bukit ini sangat sangat penting. Pada mereka yang seperti hendak menafikan taraf sebenar dan keistimewaan baginda, ada sahaja alasannya sehingga sanggup mendakwa Nabi Muhammad SAW melarang kita naik bukit ini!


Sesungguhnya inilah bukit yang selalu dipanjat baginda saban hari saban waktu kerana resah melihat keadaan zaman jahiliyah di Mekah. Ketika itu Ka'abah dikelilingi patung berhala sedangkan penduduk di sekitar asyik mabuk lupa daratan. Di atas bukit yang terletak 5 km dari Masjidil Haram ini baginda bersendirian merenung keadaan. Di sinilah terdapat Gua Hira' tempat baginda paling suka mengasingkan lalu mendapat wahyu pertama dan diangkat menjadi rasul ketika berumur 40 tahun.

Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke puncak. Untuk pengetahuan saya pertama kali mendaki Jabal Nur tahun 2005, lebih 3 tahun kemudian baru berkahwin dengan isteri sekarang. Sejak itu saya menyimpan hajat mahu membawanya ke atas. Walaupun mendaki dalam gelap, cahaya dari kawasan perbandaran di bawah menolong memandu arah selain memberikan pemandangan yang amat cantik. Lihat artikel Climbing up Jabal Nur in the dark.


Dari puncak kita perlu turun sedikit untuk sampai ke Gua Hira'.


Gambar dengan flash. Gua ini tidak sebesar mana. Boleh le muat 2-3 orang bersolat.


Gambar saya dan isteri diambil pengunjung dari Iran. Ketika kami sampai ada 3 orang dari negara itu sedang meluangkan masa.


Di satu bahagian tepi yang masih boleh dikira sebahagian dari gua, cuma bukan tempat ibadah utama kami suami isteri tidur hingga ke Subuh. Artikel selepas ini akan menunjukkan pemandangan cantik awal pagi di/dari Gua Hira' juga dari beberapa sudut berdekatan dan di puncak Jabal Nur. Selain itu saya ada mengambil gambar monyet atau beruk jenis baboon yang bontotnya merah berkepul-kepul. Bukan apa. Apabila saya bercerita tentang lawatan ke sini tahun 2005 lalu menyebut terlihat binatang ini sebaik sahaja membuka mata selepas beberapa minit bertafakur di atas gua ada yang kata itu mungkin khayalan atau penjelmaan disebabkan otak saya ini ada bersifat macam katun, suka berfikir benda yang bukan-bukan terutama yang melucukan. Nah. Saya akan buktikan kewujudan beruk di tempat Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama bukanlah khayalan atau imaginasi diri. Nanti. Atas sebab tertentu saya akan berehat dari menulis buat beberapa hari... :]



1 ulasan: