Cerita hujung minggu baru ini...
Sabtu 22 Disember 2012 saya ke Muzium Shah Alam untuk melihat satu majlis.
Ia adalah majlis pertandingan keris anjuran Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor atau Purba Selangor.
Majlis diadakan di dalam bangunan perpustakaan sebelah muzium, bangunan yang buku-buku didalamnya sudah dipindahkan ke lokasi perpustakaan baru.
Masuk-masuk je terus ternampak gerai menjual busana tradisional Melayu.
Ini diikuti gerai-gerai menjual keris.
Di dalam ruang utama juga ada keris tapi untuk pertandingan dan pameran.
Ah. Terserempak lagi dengan pelakon, pengarah filem, penulis lirik dan pelukis terkenal saudara S. Amin Shahab. Seminggu sebelumnya terjumpa di majlis keris yang dianjurkan persatuan Pusaka KL di Bukit Bintang. Lihat artikel
Sekitar
Majlis Permasyhuran Persatuan Perkerisan Kuala Lumpur. Beliau memang minat keris malah mengumpul entah berapa puluh, mungkin beratus bilah yang belinya daripada merata Alam Melayu termasuk di Pulau Jawa dan Tanah Bugis. Rupa-rupanya beliau juga ada mempertandingkan beberapa bilah.
Majlis turut disertakan forum tentang keris. Jika majlis Pusaka KL diserikan oleh pakar keris dari Pulau Jawa, majlis anjuran Purba Selangor pula diserikan pakar dari Tanah Bugis iaitu dari Sulawesi Selatan.
Saya meninggalkan majlis jam 5.30 kerana ada hal lain. Saya tidak melihat siapakah pemenang pertandingan tetapi sempat menangkap gambar keris-keris yang dipilih sebagai terbaik menurut kategori masing-masing. Lihat artikel
Keris
competition in Shah Alam. Kalau tak salah ingatan sejumlah 173 bilah keris telah dipertandingkan.
Ini pula gambar di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur.
Gambar diambil oleh sahabat lama saya Mahayudin (duduk), dahulu jurugambar di akhbar Berita Harian, sekarang bersama agensi berita Bernama. Beliau yang merupakan antara ahli jemaah awal dan masih setia terlibat dengan Silat Penjurit Kepetangan (silat warisan keluarga Megat Terawis yang persatuannya diasaskan oleh saudara Megat Ainuddin) sering mengikuti perkembangan HIKMAH yang diasaskan oleh saya. Lihat
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam
Akhir Zaman (HIKMAH).
Pejabat Mahayudin terletak betul-betul di belakang Perpustakaan Negara. Saya, isteri dan anak-anak datang untuk menyertai acara terbaru Car Book Sale anjuran Perbadanan Kota Buku. Ahad 23 Disember. Rujuk
Car
Book Sale di Perpustakaan Negara. Beliau nampaknya memang mencari saya, mungkin setelah melihat pengumuman yang dibuat di Facebook.
Acara Car Book Sale kali ini diadakan selari dengan Festival Buku Kanak-kanak anjuran pihak perpustakaan. Ah. Baru teringat nak sebut. Jika pada pertandingan keris saya dan keluarga sampai sangat lewat iaitu sekitar jam 2 petang (majlis bermula 9 pagi) di majlis buku yang bermula 9 pagi ini juga kami sampai lewat iaitu jam 11.30 gitu. Maklumlah, bila ada anak-anak kecil ni bukan senang nak bersiap cepat. Lagipun dalam sehari dua ini saya sibuk hendak memastikan sejumlah video daripada acara HIKMAH di Melaka 25 Nov dapat diupload dan dikongsikan kepada orang ramai.
Disebabkan adanya festival kanak-kanak maka keadaan lebih formal daripada biasa dan ada liputan akhbar. Dalam keadaan kelam-kabut hendak menyiapkan tapak, letak bunting, banner dan atur buku saya diberitahu Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar sedang melihat dari gerai ke gerai diiringi sejumlah pegawai dan pemberita. Ketika menghadapi masalah menggantung banner HIKMAH akibat paku yang terdapat pada dinding tercabut tahu-tahu sahaja Datuk Raslin sudah sampai dekat. Ketika dia membelek-belek buku saya, baru saya tersedar terlupa hendak menukar kasut plastik buruk kepada capal. Tukarlah cepat-cepat. Dapatlah juga kami bergambar. Cuma sayang tidak sempat menonjolkan banner HIKMAH.
Berbagai aktiviti diadakan termasuk lakonan atau sketsa mengenai penindasan Israel terhadap umat Islam Palestin di Gaza.
Rupa-rupanya dalam bangunan ada pameran mengenai Gaza.
Sambil berjalan-jalan melihat apa yang ada sambil itu saya berfikir bilakah dan dalam keadaan manakah umat Islam sedunia betul-betul dapat menang menghadapi segala macam ancaman yang kelihatan sangat berleluasa sedekad dua ini? Apakah ini cuma akan berlaku apabila masuk zaman tertentu di mana senjata moden katanya tidak akan berfungsi lagi, tenaga eletrik tidak boleh digunakan?