Selasa, Disember 25, 2012

Berselawat menaiki kapal perang di perairan Pangkor

Dari blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)Gerak hati pagi  buta Krismas...




Tadi muncul satu gerak hati agar saya membuat update di Facebook menggunakan gambar ini. Saya copy and paste update tersebut...



KAPAL PERANG UNTUK MEMBAWA PESERTA HIKMAH III BERSELAWAT DI PERAIRAN PULAU PANGKOR

Kapal perang TLDM gerak cepat iaitu dari jenis corvette, KD Laksamana Muhammad Amin ini pernah digunakan untuk membawa kembali jenazah moyang saya, Laksamana Muhammad Amin dari Singapura ke pengkalan TLDM di Lumut 9/9/2006... sebelum jenazah ditanam kembali di makam diraja Perak, Bukit Chandan. Moyang ini pernah dibuang ke Pulau Seychelles di perairan Afrika 1877 bersama saudaranya, Sultan ke 26 Perak, Sultan Abdullah II kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 1875. Pembunuhan itu pula adalah rentetan perisitiwa daripada Perjanjian Pangkor yang berlaku 20 Januari 1874. Alangkah baiknya kalau kapal ini dapat digunakan untuk membawa peserta HIKMAH III berselawat di perairan Pangkor apalagi majlis akan diadakan pada 27 Januari 2013, 3 hari selepas umat Islam menyambut hari Maulidur Rasul 12 Rabiulawal 1434 Hijrah




Sekadar mengingatkan acara ketiga HIKMAH atau Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, satu badan bebas yang diasaskan oleh saya telah ditetapkan akan diadakan di Lumut, Perak pada tarikh tersebut. Sila lihat artikel HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari. Gerak hati ini untuk menyebut hal kapal mungkin tercetus akibat seorang rakan memberi tawaran mungkin boleh mendapatkan khidmat kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memeriahkan acara. 

Rakan tersebut tidak menyebut kapal mana boleh didapatkan. Dia cuma menambah ini dapat dilakukan jika DYMM Sultan Perak dapat mencemar duli datang ke HIKMAH III. Pagi semalam saya teringat bahawa salah satu kapal milik TLDM memakai nama moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Tadi apabila tergerak untuk membuat update saya pun mencari gambar kapal di Internet. Apabila ternampak nombor kapal iaitu 136 timbul gerak hati baru agar saya melihat apa yang tertera pada muka surat 136 setiap buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh".






Apa yang tertulis dalam buku terasa sangat relevan kerana ia adalah luahan jujur saya berdasarkan pengalaman sebenar ketika sibuk mencari salasilah keluarga, paling ketara tahun 2001 hingga 2004. Di atas adalah isi muka surat 136 dari buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Buku itu dibuat dalam bentul novel di mana watak diri saya diberi nama lain Muhammad Al-Aminul Rasyid (kemudian menjadi nama anak lelaki saya). Nampaknya nombor 136 itu mahu memberitahu sesuatu tentang kesinambungan antara Laksamana Muhammad Amin dengan moyang lebih atas yang pernah memegang takhta kerajaan Aceh.


Muka surat sama pada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar Yang Asal"  (terbit Mei 2007) pula mengungkap kesinambungan kerajaan Samudera-Pasai membawa ke Melaka membawa ke Aceh. Memang keluarga Laksamana memiliki darah diraja daripada ketiga-tiga kerajaan. Namun disebabkan kerajaan Samudera-Pasai kemudian diserapkan ke dalam Aceh, menyebut kami berdarah Aceh sahaja sudah boleh dikira cukup walaupun tak semua yang berdarah Aceh itu memiliki susur-galur yang sampai kepada kerajaan lama Samudera-Pasai.



Petunjuk melalui nombor kapal juga nampaknya tidak mahu ketinggalan menyebut satu lagi cabang besar yang membentuk jati diri keluarga iaitu darah diraja Bugis. Lihat sahaja muka surat 136 buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007). Seorang moyang induk saya yang menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak pertama iaitu Nakhoda Hitam sebenarnya adalah seorang Raja Bugis sementara kajian peribadi saya menunjukkan menantunya yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu adalah dari kerabat Aceh. Itupun masih kuat faktor Bugisnya kerana kerabat yang dimaksudkan adalah daripada apa yang dipanggil Raja-raja Aceh Dinasti Bugis. Rujuk artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.

Kemudian saya terfikir satu lagi kemungkinan petunjuk di sebalik nombor 136. Sudah disebut di atas moyang saya yang namanya dipakai pada kapal iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877. Sekarang campurkan dengan 136. Jadilah ia 2013 iaitu tahun hadapan. Sekali lagi biar disebut HIKMAH III akan diadakan di Lumut 27 Januari 2013. Apakah ini semua sekadar kebetulan?  Mereka yang berminat untuk menghadiri acara sila klik sini.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan