Selasa, Disember 25, 2012

Keris yang sesuai untuk majlis

Jika awal pagi buta tadi gerak hati saya menyuruh membuat artikel Berselawat menaiki kapal perang di perairan Pangkor, petang ini pula saya terasa mahu berkongsi tentang keris.


Adapun sejak menganjurkan acara pertama HIKMAH di Shah Alam 4 November 2012 (rujuk HIKMAH 4 Nov - Dari pagi ke Zuhur berkongsi ilmu dan HIKMAH 4 Nov - Lepas Zuhur hampir ke Maghrib masih tak balik-balik! di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) saya terasa perlu memakai keris sebagai lambang jati diri orang Melayu. Namun saya sendiri tidak pernah memiliki keris walaupun keluarga saya berasal daripada nasab diraja yang pernah memerintah kerajaan kemudian lebih berperanan menjadi pahlawan. Dahulu saya langsung tidak pernah mempedulikan hal tersebut lantaran berfikiran liberal berkiblatkan Barat. Kemudian apabila saya mula mengambil tahu  bab salasilah keluarga penghujung tahun 2001, almarhum Nenek saya memberitahu, ketika atau selepas perang Perak dengan British 1875-1877 keluarga moyang saya membuang dua tong senjata termasuk keris-keris pusaka ke dalam Sungai Perak. Alasan yang diberikan... mereka mahu melupakan hal-hal keduniaan dan menumpukan pada akhirat.


Peranan sebagai presiden dan pengasas HIKMAH menyebabkan saya harus akur bahawa untuk majlis-majlis rasmi akan datang saya harus berpakaian tradisional Melayu siap dengan keris. Oleh kerana saya tidak tahu keris apakah yang sesuai buat diri saya, saya telah meminta pandangan seorang rakan lalu dipinjamkan sebuah keris sepokal Bugis Terengganu dengan bilah sepanjang 13.5 inci yang katanya berumur 160 tahun. Keris itulah yang dipakai semasa HIKMAH II di Melaka 25 Nov (rujuk Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Dari pembukaan ke makan tengah hari dan Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka) juga semasa mengisytiharkan Pernyataaan HIKMAH Melaka di hadapan Istana Kesultana Melaka 2 Dis (lihat Pertemuan busana dan pendekar di Istana Kesultanan Melaka sebagai lancutan wacana yang dilaksanakan HIKMAH 25 Nov dan Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman?). Malah keris itu sentiasa tersisip dipinggang dibawa ke merata tempat termasuk bukit A Famosa di Melaka dan Masjid India serta Bukit Bintang di Kuala Lumpur sejak ia diambil 2-3 hari sebelum HIKMAH II, sehingga ia dipulangkan selepas menghadiri majlis permasyhuran Pusaka KL 15 Dis. Lihat Sekitar Majlis Permasyhuran Persatuan Perkerisan Kuala Lumpur.


Ahad malam Isnin, atas jasa baik seorang rakan yang merupakan senior dalam dunia seni, saya akhirnya dapat memiliki sebilah keris yang cukup sajak dibawa ke majlis. Kebetulan ia juga jenis Bugis Terengganu yang mungkin berumur ratusan tahun, cuma bezanya dengan yang dipinjam dahulu ia berlok 7 dan panjang bilah 14.5 inci. Selepas ditukar hulu asalnya dengan hulu lain yang berukir halus baru saya rasa ia kelihatan cukup bermartabat untuk dibawa ke majlis yang dihadiri sultan. Insyaallah jumpa kita di Perak, negeri kelahiran ayahanda saya dan tempat susur-galur keluarga yang berdarah diraja Aceh-Bugis-Melaka. Lihat HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari.


2 ulasan:

  1. Hellο Therе. I found your blοg using msn.
    This is a very well written articlе. Ӏ will be sure
    to boοkmarκ it and come baсk to
    read moгe of your useful informatіоn.
    Thаnkѕ for the post. I ωill certainly comeback.
    Also see my webpage > mini laptop

    BalasPadam