Assalamualaikum. Sampailah masa untuk menutup siri perjalanan 6 hari ini. Bersambung dari Perjalanan
jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran pusing
Beruas-Gangganegara?.
Khamis 16 Ogos 2012 masuklah hari ke 6 pengembaraan di mana saya harus kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Hari itu juga adalah hari ke 27 bulan Ramadhan. Malamnya saya telah beriktikaf di masjid ini, Masjid Kampung Bahagia sekitar 5 km dari bandar Teluk Intan.
Hari itu juga umur saya masuk 43 tahun mengikut kalendar Islam. Alhamdulillah Allah masih panjangkan umur dan berikan kesihatan. Dan motosikal ini pula masih dapat berjalan walaupun hari sebelumnya tayar meletup teruk di satu kawasan pendalaman Lumut. Rujuk balik cerita Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran pusing Beruas-Gangganegara?.
Saya memilih untuk menyambut malam 27 Ramadhan @ malam Tujuh Likur di Masjid Kampung Bahagia kerana letaknya tidak jauh daripada makam moyang utama saya yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Kalau ikut rancangan asal selepas bermalam di situ kemudian menziarahi makam saya akan terus kembali ke rumah. Tetapi disebabkan rancangan untuk mencari makam di Pulau Tiga kemudian Lambor Kiri pada hari ke 4 iaitu hari Selasa tidak mencapat matlamat saya rasa harus mencuba lagi. Rujuk artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Makam-makam lama dari Kuala Kangsar hingga ke Bota dan Lambor.
Alang-alang hendak menuju ke tempat-tempat itu, saya juga membuat keputusan untuk menziarahi sejumlah lagi makam dalam perjalanan. Antaranya adalah makam Sultan Perak ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain di Pulau Indera Sakti. Saya mahu mencuba satu jalan darat yang pernah dilihat melalui gambar satelit program Google Earth. Jalan itu memerlukan kita melepasi sebuah estet kelapa sawit.
Alhamdulillah, dapat juga saya mencari makam berdasarkan ingatan akan peta yang pernah dilihat berbulan lalu. Tetapi saya perlu berjalan kaki 2 km kemudian melepasi semak sehingga terjatuh ke lubang dalam. Terkoyaklah juga seluar. Lihat artikel Going to the tomb of Sultan Iskandar Zulkarnain through a palm estate di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dari situ saya keluar ke jalan besar melalui jalan kampung Changkat Pelandok. Menuju ke Kampung Gajah akan terlihatlah lagi satu jalan pendalaman, jalan yang ditanda dengan papan maklumat arah ke beberapa makam sultan.
Saya sudah beberapa kali masuk ke situ tetapi inilah kali pertama dengan menaiki motosikal besar yang dimiliki sejak tahun 1997.
Jalan ini membawa ke tebing Sungai Perak.
Belok ke kanan dan jalan sedikit ke hadapan dan anda akan jumpa sebuah masjid lama tinggal dengan seni bina dan ukiran unik, masjid yang pernah digunakan untuk menghiasi kulit buka kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007). Lihat Looking
again at the abandoned old mosque in Teluk Memali.
Ke hadapan lagi kelihatan makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Syah. Untuk pengetahuan baginda telah menjadikan kawasan sekitar pusat pemerintahan Perak tahun 1800an yang dipanggil Bandar Baru. Lihat The
cleared tomb of Sultan Abdul Malik Mansur.
Teruskan perjalanan melalui jalan kecil kampung yang banyak sudah rosak dan anda akan ternampak sejumlah kubur Kristian. Untuk pengetahuan di sinilah terdapat kubur Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch yang dibunuh oleh para pejuang Melayu 1875. Selepas Perjanjian Pangkor 1874, Birch telah mengambil-alih Bandar Baru untuk dijadikan pusat pentadbiran British.
Adapun jalan kampung ini telah runtuh masuk ke Sungai Perak di beberapa bahagian. Namun pemandangan sekitar pula cantik. Lihat Perak
river upstream from Teluk Memali. Terus terang cakap saya terasa seriau dan ngeri melalui jalan sebegini. Kalau naik motosikal Cub atau basikal tiada le takut sangat tapi naik motosikal besar dan perlu melalui beberapa bahagian yang licin? Kalau tidak cukup pengalaman boleh jatuh tenggelam ke dalam sungai kerana motosikalnya berat. Kalau tergelincir dan tidak sempat atau tidak kuat menahan memang akan jatuh punya.
Sebenarnya selepas melawat masjid tinggal di Teluk Memali saya ingin berpatah balik ke jalan besar kerana tahu keadaan jalan yang biasanya amat teruk selepas itu. Tetapi apabila berjalan kaki dari masjid menziarahi makam Sultan Abdul Malik saya dapati keadaan tidaklah seteruk seperti yang pernah saya lihat dalam lawatan-lawatan terdahulu. Cuma takut bila dah masuk jauh nanti jalan terputus akibat runtuh masuk sungai dan sebagainya.
Alhamdulillah saya dapat gagahkan berjalan sehingga ke makam ini. Lihat Another
visit to the tomb of Sultan Mahmud ibni Sultan Muhammad Amanullah. Dari sini saya boleh menarik nafas lega kerana tahu keadaan jalan selepas itu boleh dikatakan baik dan jalan besar pun sudah tidak berapa jauh lagi.
Sebelum sampai ke jalan besar saya singgah dahulu di bangunan ini.
Di sini terdapat makam kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad (sebenarnya makam tanda kerana baginda dikatakan hilang jatuh ke Sungai Terus di belakang). Baginda adalah moyang kepada Sultan-sultan Perak penghujung abad ke 19 hingga sekarang. Cerita berkaitan telah disebut dalam beberapa artikel lama saya. Carilah sendiri ya.
Perjalanan diteruskan melepasi Kampung Gajah untuk ke Pulau Tiga. Sampai di satu bahagian meter bawah menunjukkan ini.
Mengingatkan lorong di kawasan estet yang pernah ditunjukkan seorang anak tempatan Selasa malam Rabu saya cuba mencari makam kerabat diraja lama perempuan yang dikenali sebagai Puteri Limau Purut. Tetapi setelah masuk jauh ke dalam sehingga tinggal denai-denai yang cuma boleh dilalui pejalan kaki saya tidak juga menemuinya.
Dari Pulau Tiga saya boleh berpatah balik ke Kampung Gajah lalu mengambil jambatan menyeberangi Sungai Perak untuk ke Lambor Kiri. Sebaliknya timbul rasa untuk terus ke utara. Sampai di Lambor Kanan singgah lagi di makam ini kerana pada hari Selasa saya sampai waktu senja. Lihat Makam
Tok Sego Aceh di siang hari (Tomb of Tok Sego Aceh during daytime).
Ke hadapan lagi terlihat papan tanda ke sebuah bangunan lama. Saya pun singgah. Lihat Masjid
lama (Old mosque of) Lambor Kanan. Kemudian perjalanan diteruskan ke Bota Kanan di mana saya menziarahi satu lagi kelompok makam diraja (malas nak letak gambar dah).
Dari Bota Kanan saya mengambil jambatan menyeberangi Sungai Perak ke Bota Kiri kemudian menghala selatan ke Lambor Kiri. Singgah pula di bangunan ini. Lihat Masjid
(Mosque of) Al-Jabariah, Lambor Kiri. Untuk pengetahuan sesetengah tempat di Perak ditambah nama Kiri dan Kanan berdasarkan kedudukannya samada di tebing kiri atau kanan Sungai Perak ke arah hulu.
Ke hadapan lagi sampailah ke Kampung Pulau yang pernah dijejaki Selasa malam Rabu. Rujuk Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Makam-makam lama dari Kuala Kangsar hingga ke Bota dan Lambor...
Ketika itu saya masuk juga sampai ke halaman rumah ini, sebuah rumah yang tidak lagi berpenghuni. Tetapi keadaan terlalu gelap menyebabkan saya tidak menemui makam yang dikatakan wujud dalam belukar sekitar 100-200 meter sahaja di belakang rumah.
Dalam keadaan terang hari Khamis 27 Ramadhan, ketika saya sudah cukup berumur 43 tahun mengikut kiraan Islam baru saya dapat menjejakkan kaki ke makam yang katanya milik seorang Laksamana dari Aceh. Rasanya inilah batu nesan Aceh paling besar pernah saya jumpa di Malaysia. Menariknya, bentuknya sama dengan batu nesan di makam beberapa orang raja besar Aceh! Lihat Makam
(Tomb of) Laksamana Aceh, Lambor Kiri.
Dari Lambor Kiri saya mengambil jalan melalui Changkat Lada, jalan Sungai Dedap kalau tak salah untuk menuju ke Teluk Intan. Beberapa kilometer sebelum sampai ke jalan besar Lumut-Teluk Intan turun hujan lebat sedangkan tidak ada langsung tempat berlindung hingga ke simpang. Ketika itulah juga motosikal saya mengalami masalah tiba-tiba hilang kuasa seperti halnya berlaku selepas Serendah ketika hari pertama pengembaraan, Rujuk balik artikel Perjalanan
jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui
Bukit Fraser.
Nasib baik kali ini motosikal tidak mati. Walaupun terasa teruk hilang kuasa seperti halnya motosikal kehabisan minyak (walhal tidak), dengan terus menarik tinggi throttle ia masih dapat meredah hujan pada kelajuan 80 km/sejam. Cuma selain basah kuyup saya menghadapi satu lagi masalah. Sebelum itu kaca mata plastik murah yang digunakan untuk melindungi mata sudah patah. Jadi bayangkan membawa motosikal dalam hujan lebat mencucuk-cucuk mata. Nasib baik juga sampai di jalan Lumut-Teluk Intan ada bangunan kedai untuk dibuat tempat berlindung, kedai makan yang tidak dibuka, nampaknya kerana bulan puasa.
Saya malah sempat melepaskan penat-lelah tidur sebentar atas meja makan. Kelihatan dalam gambar papan tanda menunjukkan simpang di hadapan kedai letaknya 40 km dari Bota Kiri.
Selepas hujan cukup reda (masih ada sedikit rintik sebenarnya) saya menyambung perjalanan dengan menuju ke Sungai Durian. Setelah melepaskan hajat dan mandi hujan lebat turun lagi. Saya pun berehat di dalam masjid ini. Lihat Masjid
(Mosque of) Sungai Durian, Teluk Intan.
Adapun tujuan saya ke sini adalah untuk menziarahi makam seorang moyang yang terletak di dalam hutan belukar belakang masjid. Moyang tersebut dikenali sebagai Laksamana Tok Jambu Keramat Sungai Durian. Kalau tak salah sudah 2 tahun saya tidak menjejak kaki.
Kalau ikut rancangan asal, makam ini mahu diziarahi dalam perjalanan dari Lumut ke Teluk Intan hari Rabu. Namun masalah tayar meletup menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan hari itu. Rujuk kembali artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran pusing Beruas-Gangganegara?. Hari Khamis 27 Ramadhan, selepas masuk umur 43 menurut kiraan Hijrah, setelah dapat menjejakkan kaki ke makam Laksamana Aceh (yang sepatutnya telah dijejaki hari Selasa) baru saya dapat sampai ke makam Laksamana Toh Jambu lagi. Qada' dan Qadar Allah ini seperti mahu membenarkan telahan saya tentang kaitan rapat Laksamana Toh Jambu dengan kerabat diraja Aceh zamannya 250 tahun lalu.
Lawatan ke Sungai Durian itu pun menutup misi saya menziarahi makam-makam dalam pengembaraan bermotosikal besar ini. Dari sana saya meluncur laju untuk kembali ke rumah, berhentilah sebentar di atas jambatan berhampiran Sabak Bernam, jambatan menyeberangi Sungai Bernam yang merupakan sempadan semulajadi kini (dahulu lain...) antara negeri Perak dan Selangor.
Alhamdulillah saya dapat sampai rumah sejurus sebelum waktu berbuka untuk memenuhi harapan isteri agar dapat makan bersama. Meter motosikal menunjukkan nombor 27.4 yang bermakna 27.4 batu telah dilalui setelah meter kembali kosong. Oleh kerana ketika berlepas hari pertama ia menunjukkan nombor 150 (rujuk Perjalanan
jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui
Bukit Fraser) ini bermakna sepanjang pengembaraan 6 hari itu, motosikal telah dipandu sejauh 877 batu (1,027 - 150) bersamaan 1403 km!
Di atas adalah lakaran peta perjalanan hari itu.
Zoom in. Lakaran ini pula menunjukkan lokasi makam-makam yang dapat/cuba dijejaki sejak meninggalkan Teluk Intan. Sekian, selamat malam. Insyaallah tak lama lagi saya akan mempersembahkan satu lagi siri pengembaraan bermotosikal besar. Tunggu... :]
Gen IX Tok Kadok.
BalasPadamassalam tuan,lama sungguh saya tak singgah di blog ini.akhir nya sampai jugak anda ke maqam Tok Sego Acheh seperti yang saya saran kan sebanyak 2 kali di tahun lepas. alhamdulillah.
seperkara lagi 4 pasang makam acheh di kg paloh, ketinggalan juga nampaknya, tak apa lah mungkin lain kali sampai lah tu cuma 3.5 km arah ke hulu lagi sampailah.
Bila nak ziarah ke sana pula.
Wassalam. Kg Paloh saya ada perasan dalam perjalanan tapi dah lupa lokasinya. Hari tu ada orang menceritakan 2-3 lagi nama makam keramat dan saya ada terlihat dalam blog orang, makam Tok Sepat. Apakah itu yang di Kg Paloh atau ada lain lagi? Kalau boleh tunjukkan sekali di manakah yang dikatakan makam Mahkota Alam yang mengambil gajah putih dari Kampung Gajah...
BalasPadamGen IX Tok Kadok
BalasPadamsmbung lagi yer... betul dah tu makam tok sepat di kg paloh di hadapan rumah pak mansor kalu tk silap... makam mahkota alam ni walo saya orang sana... orang2 tua tak dapat berikan dimana sebenarnya makam tsbt... nanti saya cuba2 tanyakan bila balik ke kg saya.
apa pun saya kagum dengan semangat anda yang tak jemu2 mencari susur galur leluhur yang terdahulu.