Rabu, September 19, 2012

Batu nesan Aceh di Kampung Bohol, Kuala Lumpur dan sedikit aktiviti hujung bulan raya...

Ini boleh dikira sambungan daripada artikel Mencari lagi batu nesan Aceh di Negeri Sembilan.


Seminggu selepas mencari lagi batu nesan Aceh di NS kami pergi ke tanah perkuburan di Kampung Bohol, Jalan Puchong. Tanah perkuburan ini terletak sangat hampir dengan sempadan negeri Selangor. Namun ia masih lagi di dalam wilayah persekutuan Kuala Lumpur.


Apa yang menarik adalah kewujudan dua buah makam berbatu nesan Aceh yang cantik. Ia adalah kawasan pemakaman ketiga berbatu nesan sebegitu pernah kami temui di Kuala Lumpur. Lihat artikel Makam berbatu nesan Aceh di (Tombs with Aceh gravestones in) Kampung Bohol, Jalan Puchong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tanah perkuburan sini terbahagi kepada dua. Satu bahagian adalah tanah wakaf, satu lagi diselenggarakan JAWI iaitu Jabatan Agama Wilayah (KL).


Saya dapati ada sejumlah makam atau kubur yang pemiliknya bergelar Raja.




Saya dapat tahu mereka adalah dari satu cabang kerabat diraja Selangor yang menetap di Petaling. Atas sebab tertentu mereka mahu dimakamkan dekat dengan makam-makam berbatu nesan Aceh.






Makam-makam berbalut kain kuning menyerlahkan dari jauh status pemilik sebagai orang berdarah raja.






Namun ada juga yang berkain kuning tetapi namanya biasa sahaja...


Misalnya Minah binti Long...



Satu perkara yang membuat saya berfikir panjang tentang tempat ini ialah nama "Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol" itu ada saya lihat ketika hampir sampai ke sini (lupa ambil gambar).  Tetapi cubalah cari nama Kampung Bohol di Jalan Puchong ini sendiri baik dalam peta mahupun di Internet nescaya anda akan menghadapi masalah...


Kemudian baru saya tahu Kampung Bohol tidak lagi wujud disebabkan arus pembangunan yang menelan kawasan sekitar.  Saya diberitahu penjaga tanah perkuburan bahawa kampung ini cuma kawasan setinggan yang bertahan selama beberapa dekad sebelum tanahnya diambil untuk pembangunan. Cuma  kewujudan makam-makam berbatu nesan Aceh yang menyebabkan ia 'terselamat' daripada hilang terus 100 peratus. 

Pada saya makam-makam tersebut sudah cukup untuk membuktikan di sini sudah ada penempatan Melayu yang agak lama. Penempatan itu mungkin telah hilang menjadi hutan belukar sebelum diterokai kembali menjadi setinggan. Sekarang penempatan Melayu sekitar beberapa batu dari sini tinggal sedikit sahaja. Antara yang masih ada adalah di Petaling. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Petaling, Jalan Puchong.


Dua hari selepas itu kami anak beranak melihat dua tempat menarik di Serendah, sekitar 6 km ke utara bandar Rawang. Lihat artikel The seven wells of Serendah dan The waterfall of Serendah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ini pula gambar isteri dan anak-anak di makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampung Raja Pagoh, tengah hari Isnin 17 September baru-baru ini. Adapun pada tarikh itu anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan genap berumur 7 bulan. Biar diberitahu kali pertama bayi ini sampai ke makam adalah ketika berumur 31 hari. Di sinilah Johan kali pertama menjejakkan kaki ke tanah sebagai persediaan untuk perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei.

Seperti semua sedia maklum hujung minggu lalu kita dapat bercuti 3 hari kerana sambutan Hari Malaysia 16 September yang jatuh pada hari Ahad. Ramai mengambil peluang kembali ke kampung atau bertemu saudara mara dan sahabat handai kerana tarikh itu juga merupakan hari terakhir kita beraya bulan Syawal. Kami sendiri asalnya merancang untuk kembali ke Muar Jumaat malam Sabtu. Tetapi kami sekeluarga dilanda batuk demam selsema lalu menunda perjalanan balik kampung ke tengah hari Ahad.

Kalau ikut rancangan asal, hari Ahad kami mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara di Batu Pahat, selepas itu mencari kesan sejarah di satu kawasan berdekatan kuala Sungai Batu Pahat iaitu berhadapan Pulau Sialu. Kemudian dalam perjalanan kembali ke rumah di Selangor kami mahu mencari dua lagi makam berbatu nesan Aceh di Negeri Sembilan yang kewujudannya kami dapat tahu melalui blogspot seorang kenalan. Tetapi apabila mendapati badan terasa begitu lemah untuk memandu hari Sabtu, saya rasa elok juga memenuhi jemputan majlis makan raya sejumlah warga Aceh yang diadakan di Universiti Malaya tengah hari Ahad. Selepas itu baru balik kampung. 

Esoknya pagi Isnin kami keluar untuk mendapatkan hidangan nasi beringin kegemaran di stesyen bas bandar Muar tetapi hampa ia sudah habis. Timbul pula gerak untuk menziarahi makam Sultan Alauddin yang sudah setengah tahun tidak dijejaki. Malamnya, dalam perjalanan kembali ke rumah kami singgah di bandar raya Melaka lalu menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani kemudian beriktikaf sebentar di Masjid Kampung Hulu. Ketika hendak meninggalkan bandar raya tiba-tiba isteri teringat, saya pernah memberitahunya ada membaca di Internet tentang kewujudan makam berbatu nesan Aceh berdekatan makam Sultan Hussin Shah di belakang Masjid Tengkera.

Walaupun kami sudah berada di jalan utama menuju ke Alor Gajah ternyata simpang kiri yang diambil sejurus selepas diingatkan isteri boleh membawa terus ke Tengkera. Dapatlah melihat makam tersebut. Lihat Makam berbatu nesan Aceh di sebelah Masjid Tengkera (Tombs with Aceh gravestones besides the Tengkera mosque). Untuk ingatan diri sendiri, ini adalah artikel ke 1031 di blogspot ini. Cukup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan