Jumaat, September 21, 2012

Akibat Kenanga... lawatan tak dijangka ke Penjara Pudu

OK. Kalau ikutkan malam ini malam Jumaat saya mahu menyambung penceritaan daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak. Tetapi siang tadi timbul satu hal lain yang terasa harus diceritakan terlebih dahulu. Mari! 


Pagi tadi, atas permintaan isteri yang telah dibuat sejak seminggu dua lalu, saya menghantar beliau dan dua  orang teman sepejabatnya pergi ke satu bangunan menjual pelbagai pakaian bernama Kenanga Wholesale City berdekatan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Rancangnya selepas itu saya boleh berjalan-jalan di bandar raya. Kalau selepas mereka puas membeli-belah (dijangka memakan masa 2 jam) saya masih ada agak berdekatan maka saya akan mengambil mereka untuk berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman seterusnya. Kalau saya berada di tempat jauh misalnya Perpustakaan Negara maka mereka akan menaiki LRT ke Jalan TAR dan saya akan 'mengutip' mereka apabila mahu kembali ke rumah nanti.


Tetapi apabila mendapati Kenanga (kelihatan di kiri atas) ada menawarkan tempat letak kereta percuma saya pun meninggalkan kereta lalu berjalan kaki sahaja. Saya menghala ke Bukit Bintang dengan mengambil satu laluan belakang. Dalam perjalanan kelihatan pokok besar tadi. Di hadapannya adalah bangunan ini.


Ia adalah surau untuk Penjara Pudu. Baru siang tadi saya tahu ia boleh dicapai dari Jalan Pudu dan terbuka kepada orang ramai terutama untuk bersolat Jumaat. Selama ini saya cuma pernah melihatnya dari jauh sahaja terutama ketika menaiki LRT. Saya ada menyimpan azam mahu singgah satu hari nanti. Siapa sangka peluang itu muncul tadi tanpa dirancang? Lihat artikel Surau (Small praying hall of) An-Nur, Penjara Pudu (Pudu Jail) di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sambil 'menapak' di tepian Jalan Pudu terlihat juga bangunan persatuan Eurasian ini...


Di sebelahnya terdapat satu kawasan seperti tapak pembinaan.


Melihat lebih dekat saya mendapati ia membawa masuk ke satu kawasan dan bangunan yang sangat bersejarah di negara ini, kawasan yang mahu dimajukan dan bangunan lamanya mahu diruntuhkan untuk memberi jalan...


Saya pun masuk ke dalam. Nampaknya lepas ini baru melihat Bukit Bintang.


Kawasan tersebut adalah Penjara Pudu yang sangat terkenal pernah 'menyimpan' penjenayah-penjenayah paling ganas di negara ini. Saya dapati bangunan utamanya masih teguh, belum dirobohkan. Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk melihat apa yang ada di dalam sejak ia ditutup sekitar 1996. Tetapi saya tidak juga masuk walaupun penjara ini pernah dijadikan muzium untuk awam buat beberapa lama tahun 1997. Apalagi, ibarat orang mengantuk disorongkan bantallah saya siang itu... :]



Pun begitu saya hampir-hampir membatalkan hasrat melangkah masuk ke dalam bangunan utama yang terasa begitu seram. Umum tahu bagaimana Penjara Pudu mempunyai reputasi sebagai tempat berhantu lagi 'keras' dan saya dapat merasakan ia sebaik sahaja merapati tangga masuk ke satu bahagian. Namun saya mengingatkan diri sudah banyak tempat keras termasuk makam-makam dan rumah tinggal pernah saya jejaki. Lebih penting lagi saya tidak boleh meninggalkan keyakinan, takut bukan pada makhluk tetapi pada Allah.

Alhamdulillah saya dapat meneroka beberapa bahagian penjara dengan selamat termasuk duduk bertafakur atas katil di dalam sebuah bilik gelap bernombor 4, satu nombor yang sangat ditakuti masyarakat Cina kerana dikaitkan dengan mati. Saya juga dapat duduk dengan yakin dalam sebuah bilik lebih besar yang dinding luarnya ada tertulis semacam wafak ayat-ayat Al-Quran, katanya tempat untuk menawarkan ilmu hitam tawanan seperti halnya pernah berlaku pada Mona Fandey dan kuncu-kuncunya. Dari keadaan mula-mula ada rasa takut saya melangkah semakin riang menghala ke pintu masuk utama yang kelihatan di kanan gambar atas. Semasa keluar ada rasa seolah-olah baru sahaja bebas dari penjara. Lihat artikel-artikel di bawah yang sudah dipersembahkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


A visit to Pudu Jail

'Escape' from Pudu Jail

Pudu Jail in perspective from somewhere high




Selepas puas berjalan-jalan di Bukit Bintang saya kembali ke Kenangan Wholesale City untuk mengambil isteri dan rakan-rakan. Apabila mendapati mereka sedang berada di surau, tingkat 16 saya pun naik ke atas untuk menikmati pemandangan. Lihat Kuala Lumpur from Kenanga Wholesale City.


Sebelum kembali ke kereta mereka juga ingin bergambar dalam bangunan sebagai kenangan. Maklumlah mereka termasuk saya belum pernah sampai ke sini, teringat isteri akan tempat-tempat membeli-belah di Bandung dan Surabaya kerana keadaannya hampir serupa, cuma di sini terasa lebih mewah. Lagipun mereka mahu gambar diletakkan di Facebook. Nak bagi kawan-kawan yang tak ikut shopping jealous, hehe... :] Bagi saya pula siapa sangka daripada Kenanga dapat masuk ke Penjara Pudu pula? Ahh... tiba-tiba teringat bagaimana dahulu saya selalu berjalan kaki ke/dari stesyen bas Pudu Raya...



Nota : Semasa menyediakan artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) saya dapat merasakan sejumlah gangguan pada tubuh badan yang seolah-olah mahu saya berhenti menulis. Saya sudah biasa mengalami gangguan serupa apabila menulis hal-hal yang mungkin sensitif berkenaan makam-makam lama dan apa yang saya fikir adalah sejarah tersembunyi kerajaan dan raja-raja. Alhamdulillah semakin saya berjaya melepaskan kata-kata semakin berkurangan gangguan sehingga ia menjadi sebesar hama kemudian hilang terus.

Begitulah keadaan saya dalam dunia penulisan. Adakalanya saya menggunakan bidang ini untuk meringankan beban, adakalanya untuk mendapatkan petunjuk bagi gerak yang harus diambil dalam perjalanan hidup seterusnya. Ketika orang lain mendakwa dapat melihat secara batin keris-keris tercacak ke jantung diri ini, saya cuma tersenyum sahaja. Seolah-olah tidak peduli, tidak cuba pun mencari ubat atau cara mencabut keris-keris tersebut. Bukan kerana tidak percaya tetapi kerana yakin tiada kuasa yang mengatasi kudrat Allah Ta'ala. 

Pada saya ini adalah pengamalan atau praktikal rukun Iman seterusnya masuk bab Ihsan. Kita harus yakin atas Qada' dan Qadar, yakin akan pengaturan Allah dalam membentuk diri kita ke arahNya yang termasuk 'tegur-tegur sayang' seperti halnya seorang ayah merotan anak untuk memberinya faham. Saya percaya kesakitan yang saya alami amatlah sedikit berbanding hal sebenar yang dikehendaki musuh yang berniat jahat atau mereka yang sekadar mahu menduga. Dan lagi saya percaya sedikit kesakitan itu adalah kifarah yang boleh membersihkan dosa-dosa baik yang lama mahupun baru kerana saya cuma makhluk yang lemah. Tiada daya dan upaya kecuali dari Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan