Assalamualaikum. Pada akhir artikel Pusing
Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang dibuat hari Jumaat, tepat seminggu lalu saya ada menyebut sudah sampai masanya untuk saya mengejar sisa-sisa 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Biar diingatkan. Artikel tersebut merupakan penamat bagi siri "Pusing Pulau Jawa anak-beranak" yang mengambil masa lebih 3 bulan untuk diselesaikan. Dengan itu saya pun mengorak langkah untuk satu pengembaraan baru yang sudah dirancang awal bulan...
Adapun sejak berkahwin dengan isteri sekarang penghujung 2008 saya tidak pernah lagi keluar mengembara jauh seorang diri. Kecuali perjalanan-perjalanan kecil yang dibuat dalam tempoh sehari kami selalu sahaja keluar mengembara bersama ke mana-mana, kemudiannya membawa anak bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid (lahir 13 Oktober 2009) diikuti Muhammad Alauddin Johan (lahir 17 Februari 2012) sekali. Selain itu saya cuma pernah keluar sendiri untuk membuat kerja misalnya menaiki kereta api hingga ke Hatyai, Thailand dan Tumpat, Kelantan untuk satu projek buku mewah (lihat Akhirnya...
keretapi pun menuju destinasi) juga menghadiri acara. Sejak penghujung 2008 paling lama saya berpisah dengan anak dan isteri adalah 3 hari 2 malam untuk menghadiri satu kursus 4 bulan lalu. Lihat Bengkel
penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan.
Awal Ramadhan timbul rasa bahawa saya harus membuat satu perjalanan jauh sendirian dengan menaiki motosikal besar yang dimiliki sejak tahun 1997. Saya rasa setelah beberapa lama saya harus memperuntukkan beberapa hari dalam bulan yang mulia ini untuk bersendirian dengan Ilahi selain merasa kembali nikmat mengembara menaiki kenderaan kesayangan yang sudah lama tidak dikecapi. Untuk pengetahuan, motosikal tersebut pernah digunakan untuk membuat banyak perjalanan jauh ke merata tempat malah sekeliling Semenanjung Malaysia sehinggalah ia terbengkalai akibat kerosakan tahun 2003. Selepas itu saya tetap rajin mengembara tetapi dengan menaiki kenderaan awam selain hitchike atau menumpang kenderaan orang. Motosikal cuma diperbaiki hingga elok sekitar Ogos 2008 kemudian ditambah beberapa barangan baru bulan berikutnya. Lihat Wajah
baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?.
Tidak lama selepas motosikal elok saya pun berkahwin dengan isteri sekarang. Bermulalah fasa baru di mana kami sering sahaja keluar mengembara bersama. Antara tempoh motosikal elok sehingga kami berkahwin saya cuma ada membawanya sendirian balik ke kampung di Muar dan berjalan di sekitar itu sahaja. Maka tidak menghairankan jika nanti timbul rasa saya harus mengembara jauh sendiri menaiki motosikal itu, mengembara mencari pengalaman baru sambil mengimbau kenangan pengembaraan-pengembaraan lama yang pernah dilalui bersama kenderaan kepercayaan yang kini berusia 15 tahun.
Asalnya saya merancang mahu keluar sebelum masuk malam Nuzul Quran 17 Ramadhan. Tetapi timbul hal-hal lain yang perlu diselesaikan sebelum saya boleh mengembara meninggalkan keluarga, antaranya kerosakan kereta sehingga perlu dilakukan top overhaul. Saya tidak boleh meninggalkan rumah selagi kereta yang menjadi kegunaan isteri tidak siap diperbaiki. Jumaat minggu lepas, selepas waktu Maghrib baru ini selesai. Sebagai tanda bersedia untuk berjalan saya pun menyiapkan artikel Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang gambar-gambarnya telah diletakkan lebih awal petang.
Alhamdulillah, perjalanan dapat dimulakan pada tarikh yang sesuai. Saya keluar hari Sabtu di mana malamnya masuk 23 Ramadhan dengan niat cuma akan kembali 27 Ramadhan iaitu semalam. Biar diberitahu, selain malam pertama di rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang saya telah bermalam di masjid Tanah Rata, Cameron Highlands diikuti surau di Kampung Temong, Kuala Kangsar, masjid pekan di Lumut dan masjid Kampung Bahagia di Teluk Intan. Selain singgah di beberapa lagi surau dan masjid saya mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam termasuk beberapa yang saya tidak pernah singgah sebelum ini, antaranya makam Tok Sego Aceh di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan dan makam Laksamana Aceh di Kampung Pulau, Lambor Kiri.
Pada awalnya saya risau juga membawa motosikal besar berusia 15 tahun berjalan jauh kerana takut timbul masalah kerosakan di tengah jalan. Ya. Masalah memang timbul apabila enjin tiba-tiba mati tidak lama selepas meninggalkan rumah iaitu selepas Serendah. Hampir sahaja saya berpatah balik untuk mencari mekanik di Rawang kalau tidak kerana mengingatkan azam tidak pernah menyerah dan berpantang undur apabila melangkah. Dengan kuasa Allah tidak lama kemudian enjin dapat dihidupkan kembali. Perjalanan pun diteruskan dengan mendaki dahulu Bukit Fraser sebelum ke Raub. Sedar tak sedar akhirnya motosikal ini dapat menempuh jarak lebih 1,400 km malah dapat memanjat sehingga ke puncak Gunung Brinchang yang terletak pada ketinggian 2,031 meter atau 6,666 kaki dari paras laut.
Antara cabaran yang dihadapi adalah tayar belakang motosikal meletup di Kampung Batu Tiga, dekat Damar Laut, Lumut. Bayangkan. Semasa pengembaraan dimulakan pun tayar dah licin, botak. Tetapi untuk menjimatkan belanja saya sanggup memakainya untuk beberapa tempoh. Pengalaman lalu menunjukkan tayar motosikal itu boleh dipakai sehingga 3 bulan walaupun sudah botak teruk sehingga nampak benang. Cuma kali ini saya terlebih banyak melalu tempat-tempat lasak agaknya. Selepas keluar dari satu jalan kampung yang penuh batu-batu kasar di Kuala Medang 45 km gitu ke utara Raub hari Ahad saya dapati benang tayar mula timbul di satu bahagian.
Dengan tayar sebegitulah motosikal dibawa mendaki Cameron Highlands melalui jalan baru di Sungai Koyan. Dengan tayar itulah juga ia turun ke Simpang Pulau sebelum berpusing ke Gopeng, Batu Gajah, Papan, pinggir Ipoh hingga ke Sungai Siput mengambil jalan dalam ke Trosor dan Jawang lalu ke Kuala Kangsar. Jadi apalah hendak dihairankan jika ia boleh meletup selepas mengambil beberapa lagi jalan lasak? Insyaallah cerita akan dipanjangkan selepas hari raya. Semoga dengan berkat cerita pengenalan ini dibuat Jumaat teakhir Ramadhan akan timbul semakin banyak ilham dan petunjuk yang berguna nanti. Wassalam... :]
Nota : Selepas solat Jumaat baru saya tersedar. Hari ini 17 Ogos genaplah umur anak saya Muhammad Alauddin Johan 6 bulan. Menariknya dia lahir 17 Februari pun pada hari Jumaat, awal pagi sebelum Subuh...
Alhamdulillah, seronok mengembara dengan motor besar ni.... semoga sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t. Selamat hari raya , maaf zahir dan batin...
BalasPadam