Isnin, Julai 23, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Jakarta-Bogor-Bandung

OK. Hari ini 3 Ramadhan kita teruskan cerita Pulau Jawa. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Banjir kilat, Masjid Istiqlal dan makam Mbah Periuk.


Selasa 8 Mei 2012. Saya melihat keadaan di satu bahagian bandar raya Jakarta.


Kalau tak salah ingatan letaknya ke selatan sedikit daripada daerah Jakarta Selatan. Yang saya ingat nama jalan dalam gambar iaitu Jalan Panglima Polem... kerana nama Panglima Polem itu merujuk pada satu jawatan panglima besar turun-temurun dalam kesultanan Aceh. Dan malam sebelumnya kami menginap di hotel berwarna-warni yang kelihatan.



Ini pula isteri saya dan anak-anak bersama kawan lamanya Hanim, kawan di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) 20 tahun lalu. Mereka sudah lama tidak berjumpa, baru di Jakarta ini bersua kembali. Sebenarnya selepas menziarahi makam Mbah Periuk (rujuk Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Banjir kilat, Masjid Istiqlal dan makam Mbah Periuk) kami anak beranak dijadualkan mahu bermalam di rumah Hanim di Jakarta Selatan. Namun urusan kami di makam cuma selesai lewat malam dan Hanim yang kepenatan menunggu pun mendapatkan bilik hotel buat kami sementara dia berehat kerana ada urusan penting di tempat kerja awal esoknya.


Hanim adalah seorang peguam penting yang mengetuai firma lebih 20 orang peguam bawahan. Syarikatnya adalah satu-satunya milik orang Malaysia di Jakarta maka boleh kata semua syarikat-syarikat Malaysia yang berurusan di Jakarta menggunakan khidmat mereka. Selepas selesai urusan beliau baru dapat meluangkan masa bersama kami walaupun buat sementara. Kami ikut naik keretanya ke tempat kerja di mana dia turun dan kemudian pemandu membawa kami ke tempat lain.


Adapun hari itu sudah cukup 3 malam kami menginap di Jakarta. Sampailah masa untuk meninggalkan kota besar ini lalu pemandu menurunkan kami ke stesyen kereta api terdekat.


Kami mahu ke selatan...


Terus ke stesyen Bogor yang terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar raya Jakarta.


Tujuan kami ke sini adalah untuk menjejakkan kaki sebagai syarat kemudian mendapatkan kereta api ke Bandung. Rupa-rupanya kereta api untuk ke bandar peranginan tersebut tidak terdapat di Bogor. Sebaliknya ia terdapat di Jakarta. Takkan nak patah balik pulak?


Kata orang kalau tak mahu berpatah balik kami boleh menaiki bas. Dari stesyen kereta api pun kami menaiki van ke terminal bas yang terletak 2-3 km perjalanan ke bahagian lain Bogor.


Maka sampailah ke terminal.


Apabila diberitahu bas di kiri ini menuju ke Bandung kami pun terus membeli tiket.


Tidak lama kemudian bas pun berlepas.


Isteri dan anak berehat dalam bas. Di luar sana kelihatan jalan yang diambil besar dan elok, lebuh raya bertol...


Kemudian saya dapat melihat bas menghampiri sisi timur Jakarta iaitu di Bekasi. Ah... patah balik ke Jakarta rupanya walaupun dari sisi lain sedangkan saya berhajat untuk mengambil jalan selatan dari Bogor sebelum menghala timur ke Bandung.


Setelah beberapa lama baru saya tahu. Kalau mahu mengambil jalan yang saya lihat dalam peta ada melalui sisi sebuah gunung berapi saya harus mendapatkan bas ke Sukadana terlebih dahulu. Dari sana baru ambil bas ke Bandung. Tak mengapalah. Dah naik pun bas ini, ikut sahajalah. Di sini kelihatan kami makan dan minum setelah sampai.


Bas tamat perjalanan di stesyen barat bandar raya Bandung sekitar 4:30 petang waktu tempatan. Ingat. Di sini sebelum jam 6 sudah masuk waktu Maghrib. Keadaan lepas hujan menambahkan rasa kedinginan kota yang terletak lebih 2,000 kaki tinggi dari paras laut. Tadi apabila melihat kembali peta rasa terkilan juga tidak mengambil jalan selatan dari Bogor ke timur tapi tak mengapalah. Perjalanan kami masih jauh. Sampai ke Bandung ini baru lebih sedikit dari setengah perjalanan keseluruhan Pulau Jawa 1-14 Mei...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan