Rabu, April 25, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh

Masuk hari seterusnya penceritaan perjalanan ke Pantai Timur 26 Mac-4 April 2012, hari ketiga. Bersambung dari Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - dari Janda Baik ke Raub, Kuala Lipis dan Gunung Senyum.


Selepas meninggalkan Gunung Senyum senja hari Selasa saya ada terfikir untuk bermalam di rumah ibu saudara di Kuantan. Kemudian timbul gerak hati agar berjalan terus ke Dungun, Terengganu lalu bermalam di rumah seorang kenalan dan esoknya Rabu 28 April kami pun keluar untuk menziarahi tempat-tempat.


Dungun menjadi pilihan kerana ia tidak sempat disinggahi dalam perjalanan saya dan keluarga ke Pantai Timur sebelum itu iaitu dari penghujung 2010 hingga ke awal 2011.


Sejak perjalanan lama itu saya menyimpan hasrat untuk menziarahi makam seorang Sultan Siak yang mangkat di Dungun.


Alhamdulillah baru kali ini dapat. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Yahya Siak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian kami pergi ke pekan Kuala Dungun yang terletak berdekatan bandar Dungun...


Saya mahu mengambil gambar-gambar Sungai Dungun untuk dijadikan koleksi dan artikel baru dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH, bemula di kompleks perikanan.


Jeti kompleks menawarkan sudut pemandangan menarik. Lihat Dungun river from the Kuala Dungun fisheries complex.


Ini diikuti lawatan ke satu kawasan lebih berdekatan kuala. Lihat Dungun river closer to the estuary.


Dari Kuala Dungun kami pun mengambil jalan ke Tanjung Jara.


Ada jambatan panjang menyeberangi Sungai Dungun...


Seperti biasa saya mengambil gambar. Lihat Dungun river from the Kuala Dungun bridge.


Kemudian pusing-pusing di sebuah kampung bernama Raja Wali sebelum ke Tanjung Jara.


Seterusnya kami mengikuti garisan pantai ke selatan...


Kelihatan sejumlah kawasan berpagar sepanjang pantai.


Saya tidak tahu apakah fungsinya...


Jalan tepian pantai membawa ke sebuah bukit.


Kalau ikutkan perangai gila saya, kereta mahu 'didera' menaiki bukit yang jalannya kelihatan curam. Kata isteri, cukup-cukuplah tu. Agak-agaklah nak berjalan jauh apa lagi kereta kecil kami sebenarnya sarat dengan pelbagai barangan. Kami pun beralih ke sebuah teluk berdekatan. Lihat Dungun river and the open waters at Teluk Bidara.


Kesian isteri dan anak-anak terpaksa menemani seorang bapa yang mood dan kepalanya begini. Nampak aje apa yang terasa menarik terus mahu berhenti mengambil gambar, kadang-kadang memakan masa lama. Terima kasih Sayang kerana sabar dengan kerenah Abang. Untuk anak-anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan Muhammad Alauddin Johan, kamu berdua mungkin belum faham. Tetapi ini adalah sebahagian dari perjuangan yang orang dewasa pun boleh menghadapi masalah untuk faham... 


Tak cukup itu saya mengambil gambar sungai di satu kawasan yang betul-betul menghadap pekan Kuala Dungun. Lihat Dungun river right across Kuala Dungun. Kemudian masuk ke bandar Dungun lalu mengambil gambar sebuah masjid dan sebuah surau. Lihat Masjid (Mosque of) An-Naim, Sura Jetty, Dungun dan Surau (Small praying hall of) Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Dungun. Selepas itu baru kembali ke rumah tempat kami menginap untuk memenuhi janji makan tengah hari di rumah... makan tengah hari lambat daaa...


Jika tidak kerana janji tentu kami sudah bertolak meninggalkan Dungun lebih awal. Tak mengapa. Orang menjemput kita pun menerima. Perjalanan disambung menghala ke Kuala Terengganu selepas jam 3 petang, hampir jam 4 rasanya. Singgah sebentar di Rantau Abang dan sekitarnya...


Kami memilih jalan pantai melalui Marang. Seperti halnya di Dungun saya juga mahu mengambil gambar Sungai Marang untuk koleksi bermula di jambatan sebelum bandar. Lihat Marang river at the town bridge.


Selepas menyeberangi jambatan terlihat masjid ini pula. Kelihatan muka isteri agak gelisah apabila saya turun lagi untuk singgah dan mengambil gambar. Lihat Masjid (Mosque of) Sultanah Nur Zahirah, Marang. Kemudian saya membawa kereta masuk ke kawasan pekan lama semata-mata untuk mendapatkan sudut pandangan berbeza Sungai Marang iaitu berdekatan kuala. Lihat Marang river near its estuary and Views from the tower at Marang river estuary.


Saya tahu isteri gelisah kerana saya sering mengambil masa agak lama untuk memastikan gambar-gambar yang diambil cukup memuaskan. Kalau tak puas saya akan buang dan ambil gambar baru dan proses ini diulang dari beberapa sudut pandangan. Di Rusila saya turun lagi untuk mengambil masjid yang katanya menjadi tempat utama Tuan Guru Hadi Awang dari parti PAS mengajar agama. Lihat Masjid (Mosque of) Rusila.


Oh. Lupa nak beritahu. Semasa di Dungun lagi kami mendapati meter kereta menunjukkan saya telah memandu lebih 700 km sejak meninggalkan rumah hari Isnin. Masyaallah! Itu baru sampai di Dungun. Walhal perjalanan terus dari rumah harus memakan jarak paling banyak pun 400 km. Tapi kami selalu sangat pusing ke merata tempat... 

Ini adalah gambar masjid baru di Chendering, selatan sedikit dari lingkungan bandar raya Kuala Terengganu. Semasa kami ke Pantai Timur penghujung 2010 ke awal 2011 membawa Rasyid yang ketika itu baru berumur setahun lebih masjid sedang dibina. Rupa-rupanya ia siap dan dirasmikan Disember 2011. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu.


Johan pula sampai ketika berumur 41 hari gitu. Alhamdulillah dia tiada masalah dibawa berjalan jauh, mungkin kerana sejak dalam perut lagi kami sudah membawanya ke merata tempat termasuk untuk perjalanan Medan-Banda Aceh November 2011 yang dibuat ketika isteri sedang mengandungkannya enam bulan setengah... kemudian dibawa pula menaiki feri ke Pulau Bentan sebulan kemudian. Lihat artikel Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" dan Koleksi Kembara Johor-Riau.


Sampai ke Kuala Terengganu kami terus berkejar ke Cabang Tiga kerana saya mahu mengambil gambar masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Ku Tuan Besar.


Di hadapan sisi masjid terdapat makam empunya nama ataupun gelaran. Saya pun menziarahinya, sudah agak lama tidak singgah di sini. Untuk pengetahuan Tok Ku Tuan Besar adalah ayahanda kepada ulamak besar Terengganu bertaraf wali penghujung abad ke 19 Masihi iaitu Tok Ku Paloh.


Seterusnya kami berkejar ke kawasan hadapan muzium negeri untuk mencari jambatan ke sebuah pulau di tengah Sungai Terengganu yang dipanggil Pulau Sekati. Lihat artikel Terengganu river near the state museum. Terlupa pula jambatan sudah dialih ke tempat lain. Nasib baik jumpa. Sampai ke jambatan pun hampir masuk waktu Maghrib, cukuplah cahaya untuk mengambil gambar elok. Lihat Crossing the Terengganu river to Pulau Sekati.


Isteri dah tak larat berjalan apalagi apabila perlu menjaga anak. Saya sajalah yang menyeberangi jambatan  panjang sehingga masuk ke pulau.



Alhamdulillah dapat juga mengambil gambar masjid. Lihat  Masjid (Mosque of) Pulau Sekati, Kuala Terengganu.


Keluar dari pulau singgah ke makam Tok Ku Paloh sebentar...


Kami ke Terengganu Waterfront lalu singgah berehat sambil makan malam kerepok lekor yang baru dibeli di Losong.


Selepas pusing Kuala Terengganu, sempat makan dua plastik telur penyu yang dikongsi bersama Rasyid (tak sangka dia pun suka!) kami pun berkejar ke Jerteh lalu bermalam di sana. Maka selesailah cerita buat masa ini! Ucapan terima kasih harus dirakamkan untuk saudari Jaa Ruslan dan ibunya serta ahli keluarga lain kerana sudi membenarkan kami bermalam di rumah mereka di Dungun walaupun permintaan untuk bermalam cuma dibuat selepas kami menghampiri Kuantan dari Gunung Senyum. Walhal Jaa malam itu harus menaiki bas untuk kembali ke Shah Alam di mana dia baru sahaja sebulan dua memulakan pengajian. Ibu dan adik-adiknya melayan dengan baik. Merekalah yang memberitahu arah ke makam Sultan Yahya Siak  dan mengajak kami makan tengah hari di rumah.

Tu dia... nak melepaskan cerita ini pun begitu memenatkan - sehari suntuk hingga malam saya sibuk menyiapkan 10 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 8 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kemudian baru dimulakan artikel dan, jam 1.15 pagi baru sampai ke perenggan ini! Itu belum disemak segala isi. Kalau semak tak tahu selesai jam berapa. Bayangkan nak membuat cerita pun begitu memenatkan, apatah lagi perjalanan sebenar yang dibuat bersama isteri dan anak-anak kecil yang terpaksa juga menanggung penat lelah! Dan pagi ini jam 8.30 saya harus berada di Wisma Sejarah bersebelahan Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur untuk satu wacana besar berkenaan pahlawan Melayu lama Hang Tuah. Cukup...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan