Selepas membuat artikel 'separa' raya
Suasana awal raya kira-kira 30 jam lepas sekarang kita boleh kembali kepada aktiviti menjejak sejarah.
Tengahari Khamis 1 September 2011, hari raya ketiga tiba-tiba timbul rasa untuk membawa anak dan isteri mencari jejak sejarah di satu tempat. Perjalanan membawa ke satu pintu tali air. Kelihatan di atas aliran masuk ke satu bahagian Sungai Muar.
Pemandangan ke kiri iaitu arah bertentangan. Kelihatan tali air yang sebenarnya bukan tali air. Nanti akan diceritakan sebabnya...
Papan tanda menyebut pintu air Pantai Layang.
Di bahagian bertentangan ada denai ke sebuah jeti. Lihat artikel The jetty at Pulau Penarik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Perjalanan diteruskan ke hadapan sehingga kelihatan lagi satu 'tali air'.
Kelihatan juga sebuah lagi pintu. Ketika ini kami sudah masuk ke satu simpang kiri.
Perjalanan diteruskan mengikut jalan kampung melawan arah jam. Terlihat pula pondok dengan bentuk ukiran yang saya suka panggil 'lidah terjulur' ini, bentuk yang biasanya cuma terdapat di sekitar Perak, sebahagian Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Apakah ada yang tersirat?
Terserempak lembu-lembu. Rasyid seronok melihat.
Sambil mengikut jalan, 'tali air' terus kelihatan.
Kemudian kelihatan satu jambatan.
Saya pun masuk mengambilnya...
Pandangan ke kanan dari tengah jambatan.
Pandangan ke kiri.
Ke hadapan jalan membawa ke satu taman perumahan. Saya berjalan hingga ke jalan besar yang ternyata terletak di kawasan Serom, Ledang, dahulu sebahagian dari daerah Muar. Cukuplah untuk tahu kedudukan tempat sebelum masuk kembali ke kawasan 'tali air' tadi.
Jalan kampung melengkok lagi. Kali ini mula kelihatan banyak kereta diletakkan.
Nampak satu lagi jambatan. Sekali lagi saya masuk untuk memastikan kedudukan.
Pandangan ke kanan.
Pandangan ke kiri.
Ke hadapan jalan ditutup kepada kenderaan sedangkan boleh kelihatan ramai orang berpakaian cantik berhari raya. Saya sudah boleh mengagak di manakah ini..
Oleh kerana jalan tadi ditutup kami mesti mengikut laluan tepi keluar ke pekan yang dipanggil Sungai Mati. Semasa berpusing balik untuk kembali ke jalan 'tali air' saya mengambil gambar jalan tadi dari arah bertentangan. Rupa-rupanya rumah terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman sedang diadakan. Beliau memang berasal dari Sungai Mati.
Perjalanan menyusuri 'tali air' lawan arah jam diteruskan. Rasanya ada pembaca yang sudah mula dapat mengaitkan nama Sungai Mati dengan 'tali air' ini. Tidak jauh selepas meninggalkan jambatan isteri terlihat sesuatu di seberang.
Zoom in camera. Nampaknya ada kepok makam. Tak pa. Kita teruskan dahulu ke hadapan.
Ke hadapan lagi kelihatan satu lagi jambatan. Kali ini saya tidak mengambilnya.
Berhadapan jambatan kelihatan papan tanda menyebut tempat ini sebagai "Pulau Penarik". Sudah nampakkah corak penceritaan ini membawa ke mana wahai para pembaca budiman?
Tidak lama kemudian sampailah kami kembali ke pintu air yang mula-mula tadi. Ternyata 'tali air' yang dilihat pada pintu air kedua dan pintu air ini adalah 'tali air' yang sama. Maka fikirkan. Tali air yang bukan tali air membentuk separuh pusingan (hampir satu pusingan sebenarnya), tempat bernama Sungai Mati, ada pula tempat bernama Pulau Penarik. Apakah kaitan semua ini?
Kami menyeberang lagi pintu air tadi tetapi ke arah bertentangan untuk masuk ke jalan ini.
Singgah sebentar di rumah suluk yang pertama kali saya jejaki semasa hujung minggu pertama bulan Ramadhan iaitu kira-kira sebulan lalu. Berjumpa lagi mursyidnya. Rujuk artikel Tempat suluk di Pantai Layang dan legasi Temenggung Muar yang dibuat 2 minggu lalu.
Adapun salah satu sebab saya ke sini lagi adalah untuk mencari makam orang yang dipanggil Datuk Pasir Diraja Sayyid Jaafar, ayahanda kepada Temenggung Muar pertama dan datuk serta moyang kepada temenggung-temenggung seterusnya. Ketika pertama kali sampai ke sekitar ini awal Ramadhan itu saya teringat ada kerabat Temenggung Muar dikatakan dimakamkan di sini tapi tak ingat siapa. Balik ke rumah kemudian baru menyemak kembali.
Apabila ditanya kepada mursyid beliau pun tidak tahu siapakah itu Sayyid Jaafar yang pernah memerintah NEGERI Muar lebih 300 tahun lalu. Namun beliau tahu di satu tempat wujud beberapa makam lama yang terpisah dengan tanah-tanah perkuburan lain sekitar itu. Saya pun mencarinya di sekitar satu hutan buluh. Lihat artikel Makam lama di (Old tombs at) Teluk Kemang, Ledang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Hutan buluh itu terletak di tepian Sungai Muar. Dari satu bukaan antara kehijauan pokok-pokok dapat dilihat menara telekomunasi yang saya cukup cam. Kerana letaknya begitu dekat dengan rumah ibu bapa di Kampung Temiang, di seberang sana sungai!
Puas berlegar-legar mencari kesan sejarah kami kembali ke rumah ibu bapa.
Itupun saya sebenarnya mahu menyambung adventure dengan melihat kawasan tepian sungai bertentangan hutan buluh tadi. Tetapi apabila lalu di hadapan rumah kelihatan beberapa orang saudara datang bertandang jadi eloklah meluangkan masa bersama mereka terlebih dahulu.
Kemudian baru mencari kawasan yang dimaksudkan.
Di sekitar ini ada pondok kecil tepi sungai di sebalik hutan bakau tempat saya suka menyendiri 4-5 tahun lalu. Tetapi tidak dapat dan tidak ingat jalan masuknya sebaliknya terjumpa jalan masuk ke jeti kecil lain.
Tak mengapa. Saya membawa anak dan isteri ke menara telekomunokasi yang dilihat tadi.
Saya pernah memanjatnya seorang diri hingga ke punca tanpa sebarang alat bantuan dan keselamatan semata-mata untuk melihat kawasan sekitar, dalam keadaan sakit badan dan terasa seperti sudah patah tulang rusuk dan belakang akibat terjatuh dari pokok, terhempas mendarat pada belakang badan dari ketinggian 10-12 kaki. Baru hari ketiga raya ini dapat memastikan duduk letak tempat berdasarkan apa yang dilihat dari atas juga dari bawah. Lihat artikel Views from on top a telecommunication tower in Muar... yang dibuat 4 tahun lalu. Baca penerangan pada Text for Views from on top a telecommunication tower in Muar....
Seterusnya tergerak untuk melihat tepian Bukit Treh. Kali ini terlihat satu laluan yang tidak pernah ternampak sebelum itu, terus berlari menuju ke sana sementara isteri dan anak menunggu dalam kereta.
Masyaallah! Sudah bertahun-tahun saya cuba mencarinya tetapi boleh pula terjumpa ketika mahu melihat bukit sepintas lalu. Inilah mulut gua di Bukit Treh tempat orang dahulukala masuk untuk meminjam pinggan mangkuk dari alam bunian, untuk digunakan pada hari keramaian seperti majlis perkahwinan dan kenduri kendara. Cuma selepas itu pintu gua jadi sempit atau tertutup disebabkan ada yang melanggar perjanjian.
Lewat petang itu kami ke Sungai Mati lagi tanpa dirancang. Kali ini disebabkan seorang ibu saudara kehilangan kunci kereta sedangkan cermin tingkapnya ternganga, kalau tak hidupkan enjin tak boleh tutup. Adapun keluarganya telah membawa 3 buah kereta untuk kembali ke Muar. Petang itu 2 kembali ke Kuala Lumpur tinggal dia dan anak sulung yang ingin menetap satu lagi malam dengan satu kereta. Rupa-rupanya kunci kereta itu ada pada anak bongsunya yang mahu kembali ke KL. Nasib baik kereta yang dinaiki anak tersebut baru menghampiri Tangkak, belum masuk tol lebuhraya.
Kesian melihat ibu saudara tersebut, lagipun saya pernah menumpang duduk lama di rumahnya di Ampang, saya pun menawarkan diri untuk mengambil kunci. Jumpa di Bukit Kangkar, lalu di Sungai Mati. Kembali dari sana saya mengambil peluang untuk melihat makam yang kepoknya dilihat semasa melalui 'tali air' tadi. Lihat artikel Makam kerabat Johor di Sungai Mati? (Tomb of Johor royalties at Sungai Mati?). Dan sekadar untuk menyatakan malam itu kami kembali kepada aktiviti 'normal' berhari raya. Lihat A night at Kim Leng.
Sekarang kita kembali kepada kenapa tadi ada disebut tentang tali air yang bukan tali air, kaitan dengan Sungai Mati dan Pulau Penarik. Tapi saya rasa ada baiknya ia dikupas dalam satu artikel baru...