Selasa, Disember 06, 2011

Membawa anak-anak ke Gua Yunus

Bersambung dari Pulau Besar yang lebih menarik untuk semua.


Pagi Ahad 20 November 2011. Setelah puas bermalam di masjid kami pun bersedia untuk berjalan.


Kenapa? Tak percaya ke? Ya! Kami memang bermalam di masjid. Sedangkan di beberapa tempat lain di Semenanjung pun kami pernah tidur di surau dan masjid inikan lagi di Pulau Besar, Melaka di mana ramai juga pengunjung biasa tidur begitu.


Perjalanan dibuat menyusuri pantai ke barat... atau lawan arah jam jika mengelilingi pulau.


Hampir ke tempat yang dipanggil Makam Tujuh Beradik kelihatan gerai agak menarik.




Di sini kami sedang melepasi kawasan Makam Tujuh Beradik.


Terus lagi melepasi satu bahagian padang golf di mana terdapatnya apa yang dipanggil Makam Nenek Kebayan.


Kami mahu ke satu bahagian pantai. Terserempak satu keluarga orang Cina yang datang dari Beijing lalu seorang bertanya arah ke pantai. Saya pun mengajak mereka berjalan sama.


Kawasan yang dimaksudkan terletak di bahagian padang golf ini.


Tu dia pantainya, Kelihatan dalam gambar belah kiri gadis Cina yang bertanya bagi pihak keluarganya. Menariknya beliau tahu berbahasa Melayu. Rupa-rupanya dia penuntut universiti di Beijing yang mengambil jurusan pengajian Melayu lalu sedang mengikuti program pertukaran pelajar dan ditempatkan di Universiti Malaya. Apabila ditanya namanya, katanya dia ada nama Melayu. "Kawan-kawan memanggil saya Maimunah," katanya. Hmm...


Kami anak beranak memang mahu mandi di pantai tapi sebelum itu mahu ke Gua Yunus. Terserempak pula satu pasangan yang mahu ke sana tetapi tidak tahu jalan. Saya pun menyuruh mereka mengikut...


Percaya atau tidak anak kecil kami Al-Rasyid memanjat sendiri beberapa bahagian batuan.


Anak-anak berhenti sebentar.


Laluan ini melepasi lereng bukit. Sampai ke bahagian paling tinggi, kami naik ke atas sebuah batu besar untuk melihat pemandangan.


Batu besar itu adalah bumbung kepada Gua Yunus. Melihat ke bawah, kita boleh nampak sebuah batu lain yang sering dinaiki orang, batu di sebelah gua.


Batu itu kini boleh dinaiki dengan tangga besi. Dahulu kita perlu menggunakan tali...


Inilah Gua Yunus yang terletak di sebelahnya. Nampak bahagian atas gua? Ia dibentuk oleh batu besar yang kami naiki tadi.


Teringat pertama kali saya masuk ke Pulau Besar tahun 2002 gitu. Terus berjalan pusing satu pulau seorang diri. Malamnya atau malam esoknya (saya dah lupa) saya memanjat lereng hingga ke Gua Yunus seorang diri dalam kegelapan malam tanpa apa-apa jenis lampu, memakai kain batik dan t-shirt, bukannya seluar... nyaris-nyaris terjatuh masuk gaung...


Gua Yunus adalah tempat kegemaran orang bertapa. Dalam lawatan tahun 2002 itu saya dapat merasakan kehadiran ramai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Paling terasa adalah di gua ini di mana saya seperti diapit dua makhluk besar... satu berbau minyak atar, satu lagi berbau kemenyan kalau tak salah ingatan.


Kini saya tidak mempedulikan lagi kehadiran makhluk-makhluk halus. Kedatangan saya ke Pulau Besar jauh lebih santai berbanding dulu-dulu. Isteri dan anak-anak juga santai sama.


Pemandangan dari hadapan gua...


Meloncat dari batu ke batu, ini adalah pandangan dari batu ke gua...




Pemandangan dari batu dekat air laut pula...


Zoom in. Nampak kan bandaraya Melaka?


Haziq kemudian ikut turun ke bawah. Rasyid nak ikut juga tapi saya tak bagi. Bahaya...


Namun saya membenarkannya panjat tangga naik batu sebelah gua. Dia dapat memanjat sampai ke atas tanpa bantuan. Saya cuma mengekori dari bawah untuk memastikan keselamatan.


Duduk menikmat pemandangan di atas batu bersama keluarga (yang kat belakang tu orang lain yek...) . Alhamdulillah! Ia adalah percutian ringkas tapi amat bermakna.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan